Umno-BN Sentiasa Cari Jalan Renggangkan Hubungan Antara Kaum

SHAH ALAM 2 Sept – Tindakan pimpinan Umno-Barisan Nasional mempolitikkan isu kehadiran Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching bagi menyampaikan sumbangan di Surau Al-Huda di Kajang Sentral 22 Ogos lalu adalah keterlaluan dan memalukan umat Islam dalam semangat Ramadhan al-Kareem.

Apatah lagi tindakan pantas Nie Ching memberi penjelasan dan memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan seluruh umat Islam jika kehadirannya itu telah menyinggung perasaan umat Islam sepatutnya diterima semua pihak dengan hati terbuka dan bijaksana.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata tindakan Nie Ching sepatutnya telah memadamkan sebarang unsur prasangka terhadap mana-mana pihak.

Menurut beliau, ini juga menunjukkan komitmen pemimpin Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan isu yang lebih besar dan mutakhir yang boleh mengganggu gugat kestabilan negara antaranya jenayah pembuangan bayi, rogol, rasuah dan jenayah sosial lain.

Jenayah-jenayah inilah yang sebenarnya menghina kesucian agama Islam dan umatnya.

Faekah berkata umat Islam diajar bersyukur kepada Allah di atas limpah kurniaNya dan berterima kasih kepada kebaikan manusia.

Beliau juga menyifatkan tindakan menyerang Nie Ching yang menyerahkan sumbangan untuk membaiki pagar surau begitu terpesong dari ajaran Islam dan memalukan umat Islam.

“Saya khuatir jika tindakan ini tidak dikawal, ia akan melebarkan jarak pemahaman antara kaum dan agama yang sememangnya gagal ditangani secara bijak oleh pemerintah BN.

“Kerajaan Selangor memandang serius perkara ini dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas pihak yang sengaja mewujudkan ketegangan dalam hal agama mahupun kaum,” katanya dalam satu kenyataan media Isnin lalu.

Tambah Faekah, kerajaan negeri Selangor pada masa yang sama, mengamalkan politik matang dengan meletakkan kepentingan rakyat teramai mengatasi ideologi politik itu sendiri.

"Kita sentiasa merai dan mengalu-alukan mana-mana pihak untuk mengimarahkan masjid dan surau dengan aktiviti keagamaan dan kebajikan.

"Berpaksikan prinsip inilah,kerajaan Selangor dengan hati terbuka membenarkan pemimpin dari kerajaan Pusat menganjurkan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan di masjid dan serta surau di negeri ini bagi mengimarahkan rumah Allah sepanjang Ramadan," jelas Faekah.

Beliau menegaskan kerajaan Selangor mengambil pendirian bahawa sumbangan kepada golongan miskin dan memerlukan bantuan ketika ekonomi kian mencengkam ini adalah lebih penting dan melangkaui fahaman politik kepartian.

“Saya menggesa semua pihak berhenti dari membuat telahan dan tohmahan jahat kepada mana-mana pihak yang akhirnya akan memberi kesan negatif kepada kefahaman agama Islam itu sendiri. Jangan sampai kesucian Islam dicemari semata-mata kerana sikap prejudis yang mengatasi akal dan budi,” tambahnya.

No comments

Powered by Blogger.