Jemputan Najib Kepada Pas Langkah Taktikal

A Kadir Jasin


SUDAH lebih seminggu Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, mengulang gesaan agar Pas menyertai Umno demi perpaduan Melayu dan berhenti daripada berpakat dengan DAP.

Gesaan itu diulang ucap dalam rangka lawatan pendek beliau ke Terengganu, negeri Presiden Pas, Abdul Haji Awang. Pemilihan Terengganu adalah tindakan strategik kerana wujud tanggapan dan gambaran bahawa Abdul Hadi lebih terbuka kepada idea perpaduan Melayu.

Paling-paling tidak pun, Mohd Najib dan para penasihatnya tentu tahu bahawa kenyataannya itu bukan sahaja akan memaksa Pas bertindak balas, malah seolah-olah mencurahkan lagi minyak ke dalam api.

Ini terbukti apabila Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Islam Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat, dengan pantas berkata Pas tidak bercadang memutuskan kerjasama dengan DAP.

Semua orang tahu Abdul Haji dan Nik Abdul Aziz tidak sekata dalam isu perpaduan Melayu dan kerjasama dengan Umno. Ini dituruti pula oleh Naib Presidennya, Mahfuz Omar, yang menyifatkan Umno sebagai musuh nombor satu negara dan menyamakan cadangan kerjasama Umno-Pas dengan kerjasama Fatah-Hamas.

Tindakan Taktikal Mohd Najib

Saya rasa Mohd Najib tahu kepemimpinan Pas tidak akan menyahut gesaannya. Tetapi beliau membuatnya juga bagi membebaskan Umno daripada ditutuh tidak mementingkan perpaduan Melayu.

Ia juga boleh dilihat sebagai reaksi kepada kemunculan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang berjuang mempertahankan hak Melayu di luar kerangka politik seperti Perkasa dan Majlis Perundingan Melayu.

Jika ditakdirkan Pas Pas menyahut seruan itu, namanya Mohd Najib dan Umno akan harum. Mohd Najib akan dilihat sebagai “unifier” seperti Allahyarham bapanya. Tetapi jika tidak, ia sekurang-kurangnya terus melagakan kepemimpinan Pas dalam isu perpaduan Melayu. Akhir sekali, Mohd Najib cuba meyakinkan Melayu yang hilang kepercayaan kepada politik kepartian bahawa Umno tetap mengutamakan perpaduan Melayu.

Percubaan Mohd Najib yang terbaru ini boleh juga dilihat sebagai reaksi kepada apa yang berlaku (atau lebih tepat, tidak berlaku), di majlis “makan malam perpaduan Melayu” di Istana Terengganu, di Kuala Lumpur tidak berapa lama dulu.

Mungkin Mohd Najib ingin mencuba nasib kalau-kalau beliau lebih beruntung daripada bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi yang diuar-uarkan sebagai orang tengah pertemuan Umno-Pas di Istana Terengganu itu.

Isyarat Daripada Pilihan Raya Sarawak

Tetapi Mohd Najib menanggung risiko dituduh terlalu ketara (obvious) dalam pelawaannya kepada Pas kerana Barisan Nasional baru saja dikejutkan oleh keputusan pilihan raya negeri Sarawak 16 April, dimana parti Cina BN dibelasah teruk oleh DAP.

Jika trend itu berterusan sehingga pilihan raya umum akan datang, BN mungkin kalah antara lima dan tujuh kerusi Parlimen Sarawak berbanding dua sekarang.

Apa pun tujuan Mohd Najib yang tersurat dan tersirat, kemungkinan Pas menyahutnya dengan positif adalah tipis. Pertama, pendirian Pas dalam hal ini berbelah bagi dan Mohd Najib tentu sedar reaksi mengenainya boleh memburukkan lagi dikotomi antara puak Abdul Hadi dan puak Nik Abdul Aziz.

Kedua, yang sebenarnya menjadi masalah kepada Umno pada PRU 2008 dan mungkin juga pada PRU akan datang bukanlah Pas tetapi PKR. Undi Melayu sejak 1955 lagi sudah berpecah antara Umno dan Pas. Masalah Umno sebenarnya adalah PKR. PKR adalah serpihan Umno, sama seperti Semangat 46.

PKR sekadar meniru taktik Semangat 46 tetapi dengan lebih berjaya. Kalau Semangat 46 menaja dua pakatan pilihan raya – satu dengan DAP dan satu lagi dengan Pas -- pada PRU 1990, PKR berjaya menggabungkan Pas dan DAP dalam satu pakatan.

Tanpa peranan PKR sebagai orang tengah dan pemangkin, kerjasama DAP-Pas mustahil berlaku. Perbezaan ideologi, dasar dan demografi antara Pas dan DAP terlalu luas. Jika PKR tidak lagi mampu memainkan peranan itu, kemungkinan DAP dan Pas berpisah adalah besar.

PKR pula bergantung bulat-bulat kepada Anwar Ibrahim. Pemimpin pelapisnya tidak mempunyai kedudukan yang cukup berwibawa untuk memainkan peranan seperti yang Anwar lakukan. Mereka terlalu “junior” dan kurang pengalaman berbanding veteran DAP dan Pas. Sukar membayangkan Lim Kit Siang, Karpal Singh, Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz duduk semeja dengan dipengerusikan oleh pemimpin PKR yang bukan Anwar.

MCA Tolak Negara Islam

Berbalik kepada jemputan Mohd Najib agar Pas menyertai Umno menyatupadukan semula orang Melayu, hakikatnya bukan Nik Abdul Aziz sahaja yang mencurahkan air sejuk ke atas cadangan beliau.

Parti komponen BN sendiri, iaitu MCA, tidak mahu menerima Pas dalam BN selagi Pas tidak menggugurkan dasar Negara Islamnya. Pendirian MCA dan DAP dalam isu Negera Islam serupa.

Ini adalah reaksi strategik. MCA tahu kalau Umno dan Pas bekerjasama, BN tidak memerlukan sangat undi Cina di kawasan-kawasan majoriti Melayu. Dengan itu semakin hambar dan lemahlah MCA sebagai parti Cina nombor satu BN.

Malah sebarang bentuk kerjasama Umno-Pas, seandainya berlaku, belum tentu akan membantu MCA, Gerakan dan MIC. Orang bukan Melayu tidak akan membelakangkan DAP semata-mata kerana Pas berpaling tadah. Malah sokongan orang Cina kepada DAP mungkin menjadi lebih kuat. Boleh jadi tanpa persekongkolan dengan Pas, orang Cina akan lebih komited kepada DAP.

Yang Mohd Najib harapkan mudah dikesan iaitu beliau berharap bila Pas tidak bersekedudukan dengan DAP, harapan Pakatan Rakyat menakluki Parlimen semakin tipis. Bila ini disedari oleh orang Cina, mereka mungkin kembali menyokong BN kerana mahu kepentingan mereka terus terlindung dan terjamin.

Ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Hakikat bahawa orang Cina akan menyokong “the winner” bukankah perkara baru. Tetapi itu dulu, sebelum DAP menjadi alternatif kepada MCA. Kini DAP bukan sahaja lebih kuat, malah telah menguasai Pulau Pinang dan semua kawasan bandar majoriti Cina.

Lagi pun pilihan pengundi tidak bergantung kepada pakatan pilihan raya semata-mata. Lebih penting adalah kredibiliti parti yang bertanding dan mutu calon.

Taktik melemahkan lawan untuk menang pilihan raya mungkin berkesan, tetapi belum menjamin kemunculan pemerintahan bersih, telus dan berkesan.

Jadi, adalah lebih baik parti-parti politik melihat ke dalam diri mereka sendiri daripada hanya mencari kelemahan lawan. Pengundi perlu diberikan pilihan terbaik, bukan memilih yang terbaik di kalangan yang teruk dan hambar. Wallahualam.

No comments

Powered by Blogger.