Lanjut tempoh latihan bukti PLKN gagal, kata DAP

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 27 Mei — Pemuda DAP menyifatkan alasan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memanjangkan tempoh Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah tidak berasas, sebaliknya mahu ia dikaji semula kerana didakwa telah gagal.

Sehubungan itu, Ketua Pemudanya Anthony Loke menegaskan, sepatutnya jika tempoh latihan selama tiga bulan gagal untuk menerapkan semangat patriotik seperti yang dikatakan oleh Ahmad Zahid, maka PLKN dilaksanakan sejak 2004 wajar dikaji semula.

“Beliau (Ahmad Zahid) mencadangkan agar PLKN dipanjangkan tempoh latihan kerana mendakwa tempoh tiga bulan tidak mencukupi untuk menerapkan semangat patriotik di kalangan pelatihnya.

“Kami membantah cadangan itu kerana ia bukan faktor utama sama ada program itu berjaya memupuk semangat patriotik di kalangan anak muda kita dan sekiranya menteri sendiri mengakui program itu tidak berkesan memupuk semangat patriotik, ia sepatutnya dikaji semula secara komprehensif,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ahli Parlimen Rasah itu, sekiranya tempoh latihan PLKN dilanjutkan ia secara automatik akan menambah kos mengadakan program tersebut.

“PLKN memakan belanja begitu besar, yang mencecah RM560 juta setahun. Sekiranya tempoh tersebut dipanjangkan, maka tanggungan kerajaan untuk program ini akan bertambah berlipat ganda.

“Adakah ini wajar dalam keadaan kewangan negara ketika ini yang terus mengurangkan pelbagai subsidi untuk barangan keperluan yang menghimpit kehidupan rakyat? Malah, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sendiri telah menyarankan supaya PLKN dikaji semula,” kata Loke.

Selain itu, kata beliau, pihaknya juga mempersoalkan cadangan bahawa modul baru akan diperkenalkan dalam PLKN untuk mendidik pelatih mengenai kepentingan mengundi.

“Saya mempersoalkan tujuan sebenar mengapa PLKN begitu beria-ia untuk memperkenalkan modul ini walaupun peserta PLKN belum pun layak untuk mendaftar sebagai pengundi,” katanya lagi.

Oleh itu kata beliau, jika kerajaan benar-benar ikhlas untuk mendidik orang muda tentang sistem demokrasi, ia sepatutnya dimulakan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kerana merekalah yang berhak mengundi dan merupakan golongan yang sepatutnya digalakkan untuk mengambil berat tentang perkembangan politik negara dan sistem pilihan raya dan bukannya terus dibantutkan pemikiran mereka di bawah AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti),” katanya.

Semalam Ahmad Zahid berkata pihaknya mengkaji kemungkinan untuk memanjangkan tempoh latihan PLKN.

Kata beliau, tempoh latihan tiga bulan ketika ini terlalu singkat dan tidak memadai dalam usaha membentuk sahsiah terpuji, keperibadian unggul dan memupuk semangat patriotisme.

PLKN dilancarkan pada 16 Februari 2004 oleh Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu merupakan timbalan perdana menteri, dengan kumpulan sasaran merupakan golongan remaja berumur 18 tahun.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi DAP kebangsaan Dr Tan Seng Giaw menggesa Ahmad Zahid membentangkan laporan penuh berkenaan perbelanjaan mengendalikan PLKN di Parlimen.

“Biar kita adakan perbahasan (di Parlimen) sebelum memperluaskan tempoh latihan lebih daripada tiga bulan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kepong.

No comments

Powered by Blogger.