Didakwa hina Islam, Pemuda PAS mahu menteri muda Sarawak minta maaf

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Dewan Pemuda PAS Sarawak mendakwa langkah Majlis Islam Sarawak yang mahu mengawal pergerakan guru agama dari Semenanjung sebagai “satu diskriminasi” dan secara tidak langsung memberi impak ke atas kemasukan mereka ke negeri Bumi Kenyalang.

Ketua Pemudanya, Arifiriazul Paijo berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan seorang anggota Kabinet negeri kerana seolah-olah menganggap guru dari Semenanjung sebagai “ekstrem” dan mahu beliau meminta maaf.

“Sepatutnya (menteri muda) YB (Datuk) Daud (Abdul Rahman) sendiri patut berterima kasih kerana mereka telah mengimarahkan surau-surau dan masjid.

“Beliau sepatutnya mengambil contoh kesungguhan mereka dalam merencana program dan aktiviti yang bermanfaat untuk diimarahkan di masjid-masjid seluruh negeri dan bukan mempolitikkan urusan agama ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam)

Datuk Ir. Haji Daud Abdul Rahman bahawa Majlis Islam Sarawak akan mengawal pergerakan guru agama dari Semenanjung.

Daud dipetik berkata demikian dalam laporan akhbar Borneo Post hari ini.

Kata Arifiriazul, kenyataan tersebut bersifat mengecam dan amat memilukan umat Islam Sarawak kerana mereka yang dimaksudkan selama inilah antara orang-orang yang sanggup berkorban untuk membantu menyampaikan dakwah Islam di Sarawak.

Selain itu katanya, Dewan Pemuda PAS Sarawak juga mahu Daud meminta maaf secara terbuka kepada semua guru agama yang berkhidmat di Sarawak.

No comments

Powered by Blogger.