Mengapa Dr Dzul pun tidak melihat ke Kelantan?

Oleh DINSMAN

Ahad pagi 22 Mei saya menghadiri seminar “Membina Negara Sejahtera” anjuran Pemuda PUM (Persatuan Ulama Malaysia) di Dewan Sivik, Petaling Jaya, dengan satu tujuan: Hendak melihat bagaimana pemikiran para pembicaranya mengenai “Negara Sejahtera”. Apakah ada di antara mereka merujuk kepada Kelantan ataupun tidak.


Saya percaya “Negara Sejahtera” itu adalah istilah lain yang digunakan oleh penganjurnya, kerana sebab-sebab tertentu, untuk maksud “Negara Islam”. Dan ternyata memang betul. Itulah maksud mereka.

Sesi paginya suatu forum yang pembicaranya terdiri daripada Datuk Nakhaie Ahmad (bekas Pengerusi Yadim), Dr Rumaizuddin Ghazali (pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia) dan Ustaz Zamri Hashim (Timbalan Mufti Perak). Seorang lagi pembicara ialah Dr Dzulkifli Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor, yang baru tiba ketika pengerusi forum selesai memperkenalkan para pembicara yang lain itu.

Walaupun baru tiba, dia diminta memulakan bicara (kerana dia akan meninggalkan majlis lebih awal, untuk hadir ke program ketiganya pula selepas itu). Dr Dzulkifli berbicara dalam aspek ekonomi. Ternyata dia memang menguasai topik bicaranya.

Apabila dia memilih untuk berbicara dengan pendekatan realiti semasa, yakni tidak hanya berlegar di sekitar teori, tentulah kita menjangka dia akan mengkritik amalan ekonomi yang sedang dilaksanakan oleh pimpinan Najib. Itu biasalah, walaupun dia memilih untuk berbicara dengan ungkapan-ungkapan yang bernada intelektual, bagi membezakannya dengan ceramah-ceramah politiknya.

Dan di akhir bicara 20 minitnya itu (semua pembicara dihadkan demikian), selepas menyebut Ibn Khaldun sebagai tokoh yang pemikirannya mengenai ekonomi jauh mendahului dan lebih unggul daripada pemikir-pemikir ekonomi Barat seperti Adam Smith dan John Meynard Keynes dan lain-lain, Dr Dzul merujuk kepada Buku Jingga. (Dia antara yang terlibat secara langsung dalam menyiapkan buku itu).

Dan saya menunggu untuk mendengar walaupun sedikit dia merujuk kepada amalan ekonomi yang dilaksanakan oleh pentadbiran Islam pimpinan Tok Guru Nik Aziz di Kelantan, sebelum dia mengakhiri bicaranya. Dan akhirnya dia menutup bicaranya tanpa merujuk walau sedikit pun kepada Kelantan.

Saya pun tertanya-tanya lagi – kenapa? Dan soalan ini tak sempat saya nyatakan dalam majlis itu, juga sewaktu bersalaman dengannya ketika dia berjalan keluar dewan. Maka demikianlah saya terfikir untuk timbulkannya dalam ruang ini.

Ada banyak perkara, pada fikiran saya, yang boleh diangkat oleh Dr Dzul daripada amalan pentadbiran Kerajaan PAS di Kelantan itu, bagi menjelaskan ciri-ciri ekonomi Islam (Negara Islam) yang berbeza dengan amalan ekonomi bukan Islam, baik namanya Kapitalis, Sosialis, Komunis atau apa jua pun.

Sekurang-kurangnya Prof Shaharir Mohd Zain telah menganalisa amalan ekonomi di bawah pentadbiran Tok Guru Nik Aziz di Kelantan itu dengan menyebutnya sebagai “Ekonomi Kebahagiaan”, yang berbeza dengan “Ekonomi Pembangunan”. Dalam bukunya Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman (Edisi Kedua, 2011), dia mengatakan:

“Nik Aziz sebenarnya mempunyai pemikiran ekonomi keIslamannya yang tersendiri, selain daripada mengutamakan ekonomi kebahagiaan daripada ekonomi pembangunan (yang diperolehnya menerusi tafsirannya sendiri terhadap beberapa ayat al-Quran sesuai dengan taraf ulamanya), yang setengahnya telah cuba dilaksanakan dengan batas-batas kudrat politik, kewangan dan ilmu yang ada padanya. Pemikiran ekonominya yang agak berlainan dengan sarjana-sarjana ekonomi Barat dan bahkan sarjana Islam lain sekalipun, ialah tentang konsep pembangunan, takrif ekonomi serta konsep kemiskinan dan strategi memperbaiki keadaannya.” (hal.34)

Mengikut Prof Shaharir, semua hal itu telahpun dihuraikan oleh Surtahman dan Norfadzilah, dalam tulisan mereka yang disiarkan oleh Jurnal Usuluddin (2004), berjudul “Pemikiran Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam ekonomi”.

Dalam hal takrif ekonomi, kata Prof Shaharir, “takrif Nik Aziz cukup berbeza dengan takrif Barat yang diterima umum (seolah-olah sudah tiada salahnya lagi!), kerana katanya sumber ekonomi itu tidak terhad; pengurusan yang menyeleweng daripada kehendak Islam sahajalah yang menyebabkan sumber itu terhad.” (hal.35)

Mengikut Prof Shaharir, pandangan ekonomi Nik Aziz itu jika dikembangkan oleh sarjana ekonomi, tentunya akan mengubah hampir semua teori ekonomi kini.

Di situlah terkilannya saya. Kenapakah para sarjana ekonomi kita tidak memberi perhatian kepada perkara ini? Dr Dzulkifli Ahmad adalah seorang sarjana di kalangan pimpinan PAS yang menguasai ilmu ekonomi, (walaupun dia diamanahkan mengetuai Lajnah Kesenian dan Kebudayaan PAS). Tulisan-tulisannya menganalisa ekonomi semasa, selalu dapat kita ikuti dalam akhbar ini (edisi English).

Forum di Dewan Sivik Petaling Jaya Ahad lalu saya fikir sangatlah sesuai sekiranya Dr Dzul menarik perhatian khalayak umum kepada pemikiran ekonomi Nik Aziz dan juga amalan ekonomi itu yang berlaku di Kelantan sepanjang pemerintahan PAS di sana selama 20 tahun. Rujukan itu dengan sendirinya juga akan membuktikan kewibawaan PAS untuk mentadbir negara ini, bukan sahaja dalam hal keagamaan tetapi juga dalam hal ekonomi.

Apakah Dr Dzul tidak membuat rujukan ke Kelantan itu kerana dia menganggap dasar dan amalan ekonomi di bawah pantadbiran Nik Aziz itu tidak membawa apa-apa kejayaan atau kebaikan kepada rakyat Kelantan selama ini?

Saya tidak fikir itu alasannya. Saya percaya Dr Dzul tentu mempunyai alasan tersendiri yang munasabah untuk dia tidak membuat rujukan tersebut. Maka ingin jugalah saya mengetahui alasannya itu.

Sesungguhnya Kelantan adalah satu kejayaan PAS yang telah terrbukti dan boleh dilihat sendiri oleh semua orang. Kenapa orang-orang PAS tidak mahu berbangga dan memanfaatkannya dalam kempen untuk menjatuhkan kerajaan Umno-BN?

Mohon maaflah kerana saya menimbulkan lagi persoalan begini. (Saya pernah menimbulkan-nya sekali sebelum ini). Dan saya fikir saya akan terus timbulkan lagi persoalan seperti ini di masa akan datang, sekiranya tidak ada orang membuktikan yang pandangan saya mengenai Kelantan di bawah pimpinan Tok Guru Nik Aziz ini adalah salah.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

No comments

Powered by Blogger.