WikiLeaks dedah kaitan Eskay dengan Mahathir, gerakan pemisah Thailand

KUALA LUMPUR: Laman web Wikileaks telah membocorkan maklumat bahawa salah seorang Trio Datuk T, Datuk Shazryl Eskay Abdullah mempunyai hubungan dengan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Malah lebih mengejutkan Eskay juga dikatakan mempunyai pengetahuan dan kaitan dengan gerakan pemisah Thailand yang berselindung di Malaysia.

Eskay berkongsi maklumat mengenai pergerakan kumpulan pemisah tersebut dan aktiviti yang dijalankan kepada pegawai kedutaan AS berpangkat tinggi, dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 5 Febuari 2006.

Butiran mesyuarat itu dihantar dalam satu kabel rahsia oleh Penasihat Politik Mark D Clark kepada Jabatan Negara AS di Washington, sebelum dibocorkan oleh WikiLeaks.

“Eskay boleh muncul dan berhubung dengan kumpulan pemimpin-pemimpin lama pemberontak dan kumpulan simpati dari selatan Melayu Thailand.

“Pandangannya tentang pemberontakan ialah yang paling terperinci kami pernah dengar sepanjang lima hari perjalanan di utara Malaysia dan dijejaki dengan tepat berdasarkan maklumat dan pendapat-pendapat daripada pihak yang dipercayai.

“Beberapa rakyat Malaysia mencurigai Eskay dengan pertubuhan pemisah Melayu dan mengatakan Eskay telah terlibat dalam perniagaan kontroversi pada masa lalu,” kabel itu dipetik.

Ekay yang merupakan bekas Konsulat terhormat Thailand di Malaysia menggemparkan negara pada Mac lalu apabila menayangkan satu rakaman video lucah mengaitkannya dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau terlibat bersama bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik yang juga penyokong setia Mahathir dan bekas bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim.

Pimpinan Pakatan Rakyat mengecam usaha tersebut sebagai satu lagi siri konspirasi terhadap Anwar.

Ia dibuktikan apabila kerajaan bertindak melindungi mereka, termasuk tidak ada tangkapan terhadap blogger yang menyebar video lucah terbabit.

Eskay juga terlibat dalam kes saman terhadap pengarah urusan Merong Mahawangsa Sdn Bhd terhadap projek jambatan bengkok yang menghubungkan Johor dan Singapura- salah satu ilham Dr Mahathir.

No comments

Powered by Blogger.