Tian Chua: SPR serah kepada Speaker Dewan Rakyat

Oleh Debra Chong

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan persoalan berkaitan dengan status Chua Tian Chang sebagai Ahli Parlimen Batu kepada Speaker Dewan Rakyat memandangkan tarikh akhir untuk mengadakan pilihan raya kecil sudah pun berakhir.

Pagi tadi, wakil rakyat itu yang mesra dikenali sebagai “Tian Chua” berkata beliau masih seorang wakil rakyat yang sah walaupun Mahkamah Rayuan telah mengetepikan rayuannya berhubung hukuman dikenakan atas tuduhan menggigit seorang polis empat tahun lalu.

Kata Chua , beliau masih lagi anggota Dewan Rakyat kerana pihaknya dan pendakwa raya tidak pernah membuat sebarang rayuan ke atas keputusan yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi, sebaliknya hanya membuat rayuan sama ada beliau telah melakukan kesalahan sebagaimana dituduh iaitu menggigit polis.

Bagaimanapun menurut timbalan pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, hanya Speaker Dewan Rakyat adalah kuasa untuk memutuskan perkara itu.

“Terpulang kepada Dewan Rakyat dan Speaker akan menentukan statusnya,” kata Wan Ahmad kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Saya mahu menekankan bahawa keputusan bukan lagi dengan SPR kerana soalan mengenai pilihan raya kecil sudah tidak timbul lagi,” kata beliau sambil menambah Speaker perlu meleraikan persoalan ini sekarang sebelum pilihan raya umum, yang disebut-sebut akan dipanggil bila-bila masa dari sekarang.

Kata Wan Ahmad, persoalan mengenai status dalam pilihan raya umum akan datang sama ada boleh bertanding atau tidak terletak di tangan Speaker.

“Jika Tian Chua diputuskan tidak layak kerana didenda RM2,000, maka beliau dilarang daripada bertanding pilihan raya selama lima tahun,” katanya lagi.

Pertengahan Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Ghazali Cha mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Tian Chua, yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret berhubung tuduhan mencederakan anggota polis pada 2007 dan mengantikannya denda RM2,000 atau dua bulan penjara.

Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan beliau tidak mendapat pengampunan.

Ketika itu, Pengerusi DAP Karpal Singh yang juga seorang peguam berkata, sebagai contoh, pada 1975 anggota Parlimen DAP Fan Yew Teng terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Menglembu setelah beliau dihukum penjara enam bulan dan didenda RM2,000 kerana disabitkan kesalahan mengikut Akta Hasutan.

Karpal berkata mengikut Perkara 53 perlembagaan itu, seseorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan serta-merta jika beliau tidak merayu mengenai keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari.

No comments

Powered by Blogger.