Dr Mariah : Pinda Pengundi Agenda Tersembunyi

SHAH ALAM 26 Mei – Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud mendakwa seramai 1,120 orang pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak dipindahkan ke kawasan DUN Sungai Panjang tanpa pengetahuan pengundi tersebut.

Menurut Dr Siti Mariah, tindakan tersebut bukan sahaja menyukarkan pengundi malah ia mempunyai agenda tersembunyi memandangkan pertukaran kawasan mengundi itu turut melibatkan kawasan Parlimen dan DUN.

“Mereka telah dipindahkan SPR atas alasan pembetulan sempadan,” katanya.

“Tindakan tersebut menyusahkan rakyat kerana ada yang terpaksa mengundi lagi jauh, contohnya seperti di DUN Sungai Panjang sekali gus akan mengakibatkan mereka gagal untuk keluar mengundi. Malah ada juga yang pergi ke Pusat pengundian yang biasa tetapi nama mereka tiada, dan mereka pun balik,” katanya dalam satu sidang media di pejabat ahli parlimen Shah Alam.

Jelas Siti Mariah, beliau turut bimbang tindakan itu akan menjejaskan peluang calon PAS untuk memenangi kerusi itu, memandangkan calon parti berkenaan sebelum ini hanya tewas dengan perbezaan 117 undi.

DUN Sungai Panjang merupakan kubu kuat UMNO dan penyandangnya ialah bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo yang memenangi kerusi dengan majoriti lebih 5,000 pada 2008.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad menegaskan pihaknya mahu SPR bersikap profesional dalam menangani perkara tersebut.

“Kita mintak SPR bertindak secara profesional, maklumkan dengan telus dan lebih awal (kepada pengundi),” ujarnya.

Semalam, PAS mengemukakan satu memorandum bantahan kepada Surunhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dengan 1210 ahli PAS yang dipindah kawasan mengundi tanpa disedari atau dimaklumkan oleh mereka di ibu pejabatnya.

Rombangan PAS yang diketuai oleh AJK PAS Pusat Dr. Siti Mariah Mahmud bersama dengan enam jawatankuasa PAS Sabak Bernam tiba pada jam 10 pagi di Pejabat SPR, Putrajaya dan terus ke pejabat Setiausaha SPR untuk berjumpa dengan Datuk Kamaruddin Mohamed Baria mengenai bantahan tersebut.

Pihak SPR yang diwakili oleh Pengarah Pilihan Raya negeri Selangor Tuan Haji Dzulkifli Ab. Rahman dan juga Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria menjelaskan pekara ini tidak akan mungkin berlaku sekiranya mereka tidak membuat pemindahan sendiri.

Bagaimana pun, pihak SPR mengambil sampel lima nama dalam senarai tersebut untuk disemak oleh unit sistem SPR.

Menurut Kamaruddin yang juga merupakan bekas Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, menyatakan kebanyakan bantahan yang diterima adalah tidak berasas dan tidak diselidik terlebih dahulu oleh pihak yang membuat bantahan dan pihaknya akan mendakwa balik sekiranya bantahan yang dibuat adalah tidak berasas.

Mengulas lanjut tindakan SPR mengenakan caj RM10.00 pada setiap bantahan yang dibuat serta perlu mengemukakan bukti dan berisiko dikenakan kompaun semula oleh badan itu jika tidak memberikan kerjasama khalid berkata ia merupakan amalan berat sebelah.

“Seperti kes di Shah Alam, setiap bantahan dikenakan bayaran sebanyak RM 10. Malah, kita buat kerja SPR dengan memastikan pilihan raya telus dan bersih tetapi bila kita buat bantahan kita juga dikenakan bayaran RM 10 dan kita kena buktikan orang itu tak layak mengundi di situ,” tegasnya.

No comments

Powered by Blogger.