Kenyataan Nik Aziz tak akan pengaruhi keputusan pemilihan PAS

Oleh Syed Mu’az Syed Putra dan Latifah Kasmuri


KUALA LUMPUR, 27 Mei — Jawatankuasa pemilihan PAS yakin kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai keperluan pemimpin Kelantan berada di peringkat pusat tidak akan mempengaruhi arah aliran pengundian pada pemilihan kepimpinan parti itu bulan depan.

“Tidak semestinya kenyataan itu akan mempengaruhi pengundian, kalau mana yang setuju mereka (perwakilan) akan sokong dan mana yang tidak setuju akhirnya akan memakan diri.

“Saya tidak rasa kenyataan Mursyidul Am PAS itu akan mempengaruhi (pengundian), ahli PAS ini bijak dan boleh berfikir... jadi tidak mungkin mereka akan angkat dua wakil dari Kelantan untuk jawatan itu,” kata pengerusi jawatankuasa pemilihan PAS Datuk Abdul Halim Abdul Rahman pada sidang media di sini hari ini.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan berkata kepimpinan PAS Kelantan diperlukan dalam barisan kepimpinan parti itu bagi menyumbang pengalaman dan pentadbiran komponen Pakatan Rakyat.

Kata Nik Aziz, beliau menyokong penuh dua Exco Kerajaan Negeri Kelantan bertanding jawatan naib presiden.

Dua exco itu ialah Datuk Husam Musa dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Selain dua wakil rakyat itu, seorang lagi yang bertanding kerusi naib presiden kali ini ialah Salahuddin Ayub.

Salahuddin yang mahu mempertahankan jawatannya merupakan ahli Parlimen dari Kelantan, tetapi berasal dari Johor.

Ditanya sama ada wajar Nik Aziz tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbentuk kempen, Abdul Halim bagaimanapun beliau tidak mempunyai kuasa untuk menghalang.

“Saya tidak ada kuasa nak sekat, beliau (Nik Aziz) adalah Mursyidul Am PAS, tapi saya tidak bimbang dengan kenyataan itu.

“Dan, saya tidak fikir ia akan mempengaruhi perwakilan, perwakilan sudah bijak ... mereka tidak akan terpengaruh dan mereka tahu pilih mana yang layak,” kata beliau yang juga pengarah pilihan raya PAS pusat itu.

Pada sidang media itu juga, Abdul Halim menolak wujud pengaruh luar yang boleh mempengaruhi perwakilan untuk menentukan barisan kepimpinan.

“Saya tak fikir begitu sebab perwakilan seluruh negara, jalinan pengaruh daripada luar saya tidak nampak sama ada daripada PKR, DAP atau NGO tidak ada asasnya,” katanya.

Pada pemilihan kali ini seramai 1,100 perwakilan akan memilih barisan kepimpinan PAS pusat manakala 750 perwakilan untuk sayap-sayap parti Islam itu.

Keputusan pemilihan PAS pusat akan diumumkan pada 4 Jun manakala untuk sayap-sayap lain pada 2 Jun.

No comments

Powered by Blogger.