Isu Erdogan: Pemimpin PAS Jangan Jadi Bodoh Macam Pemimpin Umno. Sikap Berpuak Ni Penyakit UMNO

Tiada puak Erdogan dalam PAS, kata pemimpin pusat

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 25 Mei — Pemimpin-pemimpin PAS menolak tanggapan umum kononnya wujud kumpulan Erdogan dalam barisan kepimpinan parti Islam itu — bersaing dengan golongan ulama yang dilihat ‘berpengaruh’.

Sebaliknya beberapa pemimpin PAS pusat menegaskan, apa yang wujud adalah kelainan pendekatan digunakan untuk mendapatkan sokongan ahli dan rakyat.

Jelas mereka, walaupun mempunyai pendekatan berbeza, namun matlamat perjuangan mereka tetap sama.

“Asas perjuangan PAS adalah Islam, sesiapa sahaja yang berpegang kepada al-Quran dan as-Sunah boleh menjadi ahli PAS.

“Bila wujud dasar begitu akan ada pembahagian corak pemikiran. Ini bukan kumpulan, tetapi aliran pemikiran yang mungkin berbeza untuk membawa perubahan,” kata ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Khalid Samad pada forum “Melakar Masa Depan PAS” di sini malam tadi.

Ahli Parlimen Shah Alam itu menambah, walaupun pendekatan digunakan berlainan, namun matlamat perjuangan yang ingin dicapai tetap sama.

“Aliran ini akan lebih terbuka bila rakyat mula berubah ke arah lebih inklusif dan eksklusif yang mana pendekatan untuk semua yang boleh memberikan gambaran Islam lebih inklusif dan boleh diterima semua jenis manusia.

“Ia hanya perbezaan dari segi pendekatan untuk mencapai matlamat yang sama, hanya perbezaan pendekatan,” katanya.

Pandangan yang dikatakan Khalid itu sealiran dengan seorang lagi ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad yang mengatakan kumpulan Erdogan yang dikatakan wujud dalam parti Islam itu lebih menjurus kepada pendekatan yang digunakan, bukannya berbentuk peribadi.

“Saya boleh katakan yang dimaksudkan dengan Erdogan bukan personaliti atau kelompok, ia lebih menjurus kepada satu pendekatan lebih daripada mengenali peribadi.

“Siapa yang dilabel sebagai Erdogan tidak bermaksud untuk menjadi entiti dalam PAS tapi lebih kepada pendekatan yang mahukan PAS ambil pendekatan lebih terbuka,” katanya.

Jelas beliau, PAS perlu melakukan perubahan lebih agresif terutamanya dari aspek pendekatan yang digunakan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

“Ini kerana Islam bukan hanya tertumpu kepada Melayu-Islam, ini yang akan menjadi pendekatan PAS... pendekatan yang merentasi semua budaya dan agama.

“Dan, dari sudut pengadilan untuk semua, itu lebih penting daripada mengenali siapa Erdogan... istilah yang tepat bagi Erdogan adalah pendekatan yang dibawa.

“Islam bukan hanya untuk orang Melayu tapi Islam untuk semua, ia tidak bersangkut dengan latar belakang, jantina, umur, ia hanya merupakan pemikiran bukan personaliti,” katanya.

Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata melihat kepada situasi politik semasa, PAS perlu lebih bersikap terbuka untuk menerima pandangan yang dikemukakan.

“Garis yang lebih penting adalah satu pencerapan dalam menghadapi politik hari ini iaitu pendekatan yang bersedia untuk melakukan perubahan.

“Gerakan Islam mesti berani membuat isytihad dan meneruskan gerakan Islam, ini perbezaan fikiran antara Erdogan yang sentiasa bersikap terbuka, demokrasi yang dapat meletakkan kedudukan Islam lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, tiada individu dalam kepimpinan parti itu yang mencetuskan dua kumpulan iaitu ulama dan Erdogan.

“Tiada individu tertentu yang mencetuskan Erdogan.

“Tapi kita dalam PAS sedia untuk memulakan gerakan perubahan ini,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.