Rakyat Malaysia di Singapura, bawa balik angin perubahan- Rafizi

KUALA LUMPUR: Angin perubahan yang melanda Singapura, diharap akan memberi kesan kepada hampir setengah juta rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, ini kerana majoriti rakyat Malaysia di Singapura terutama warga Johor, akan kembali untuk membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang.

“Kita berharap angin perubahan yang melanda Singapura, dibawa balik oleh rakyat Malaysia yang berkerja di sana, terutama oleh rakyat Johor pulang ke negeri kubu kuat Umno-Barisan Nasional.

“Saya pasti BN tidak tidur lena selepas ini memikirkan gelombang rakyat yang semakin kuat selepas PRU pada 2008,” kata Rafizi ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Beliau mengulas kemenangan parti pembangkang, Parti Pekerja (WP) yang berjaya memecah tradisi pilihan Raya Singapura yang selama ini didominasi parti pemerintah negara itu, Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Rafizi, yang juga Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor menyifatkan kemenangan parti Pekerja Singapura sebagai kejayaan besar.

Katanya, ia menggambarkan hasrat rakyat Singapura yang membuak-buak untuk menolak parti pemerintah yang sejak puluhan tahun rakus memegang kuasa.

Keadaan itu, tambahnya, sama seperti situasi politik yang berlaku di Malaysia.

“Apabila terlalu lama memegang tampuk pemerintahan, mereka lupa menjaga kebajikan rakyat dek kerana mengejar kemajuan yang mengkayakan sesetengah golongan sahaja.

“Kalau dulu, Parti Tindakan Rakyat (PAP) berjaya takutkan pembangkang sehingga tiada calon yang berwibawa mahu menyertainya. Tetapi apa yang berlaku sekarang, calon-calon pembangkang juga terdiri daripada golongan profesional yang membantu mendapatkan sokongan daripada rakyat Singapura,” ujarnya.

Kata beliau, masalah yang dihadapi Singapura mempunyai persamaan dengan Malaysia terutamanya dari segi isu ekonomi dan peningkatan kos hidup.

“Malaysia dan Singapura ada beberapa persamaan terutamanya isu dan kempen pembangkang. Isu yang ketara disuarakan oleh golongan muda adalah mengenai pengagihan ekonomi kerajaan yang tidak sekata kerana hanya segolongan sahaja yang mampu merasai kekayaan.

“Walaupun Singapura lebih maju dua kali ganda daripada Malaysia kerana mencatatkan tangga kedua tertinggi di Asia dalam bidang ekonomi, namun isunya tetap sama kerana taraf hidup yang terlalu tinggi terutamanya harga hartanah sehingga tidak mampu dibeli golongan muda,” katanya.

Dalam pilihan raya Singapura yang berlangsung minggu lalu, Pembangkang menang kawasan Pilihan Raya Kawasan Tunggal (SMC) sebanyak enam kerusi dari 87 kerusi yang dipertanding.

Bilangan kerusi yang dimenangi Parti pemerintah PAP pula merosot dari 82 kepada 84 kerusi semasa pilihanraya 2006.

Jumlah undi popular keseluruhannya jatuh dari 67% kepada 60% dalam tempoh yang sama.

Dalam satu saingan paling sengit, Menteri Luar Singapura George Yeo dan empat calon PAP yang lain tewas kepada Parti Pekerja di dalam Kawasan Pilihan Raya Kumpulan (GRC) Al-Junied, memaksa beliau tersingkir dari kabinet.

Kawasan Aljunied, yang mempunyai 143,000 pengundi itu jatuh kali pertama ke tangan pembangkang, sepanjang sejarah politik negara itu.

No comments

Powered by Blogger.