Shazryl: Saya akan dedah perkara baru pasal Anwar

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 4 Mei — Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah berkata beliau akan membuat pendedahan baru mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun tegas Shazryl, pendedahan itu hanya akan dibuat selepas polis menyelesaikan siasatan dan mendedahkan siapa pelaku dalam rakaman video seks yang dikaitkan dengan Anwar.

“Saya akan dedahkan lagi mengenai Anwar tapi akan tunggu siasatan polis selesai.

“Selain itu, saya juga tunggu polis mendedahkan siapa pelaku dalam rakaman video seks itu... kemudian baru saya akan buat tindakan.

“Pendedahan terbaru ini tiada kena-mengena dengan rakaman video seks, ini soal lain,” katanya kepada wartawan selepas memberikan keterangan berhubung kekecohan yang berlaku ketika beliau melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru al-As.

Shazryl, salah seorang “Datuk T” pada 21 Mac lalu telah menggemparkan negara apabila mempertontonkan rakaman video seks itu kepada wakil media terpilih di hotel Carcosa Seri Negara.

Dua lagi “Datuk T” adalah bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Pada sidang media ringkas itu juga Shazryl juga menafikan dakwaan kononya rakaman video seks itu dibuat di Thailand ekoran klip yang disiarkan di laman Youtube mempunyai perkataan Thailand.

“Saya tidak tahu, video yang saya dapat hanya ada tarikh sahaja dan tiada perkataan-perkataan lain.

“Video itu diperoleh di Malaysia,” katanya sambil menambah terpaksa memakai baju kalis peluru ketika melakukan sumpah laknat kerana bimbang akan diserang penyokong Pakatan Rakyat yang turut berada di Masjid Amru al-As.

Beliau juga berkata baju kalis peluru adalah miliknya sendiri dan bukan ditaja mana-mana pihak.

“Ia baju saya sendiri sebab sebelum ini saya adalah konsul besar Thailand dan jurucakap untuk negara ini dalam soal keamanaan, jadi anda tahu bagaimana keadaan di sana?

“Tan Sri Rahim dan Datuk Shuib saya tidak tahu daripada mana mereka dapat,” katanya.

Mengenai keengganan Anwar melakukan sumpah laknat dan ujian poligraf, Shazryl bagaimanapun berkata “biar rakyat sahaja menilai siapa sebenar Anwar.”

“Saya tidak buat qazaf sebab saya tidak tuduh Anwar berzina, saya tanya betulkah beliau?” katanya.

Selain itu, beliau juga meminta supaya penyokong Pakatan Rakyat yang mencetuskan kekecohan ketika upacara sumpah laknat itu meminta maaf kepada umat Islam.

“Ya... ya.. mereka perlu minta maaf kerana perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku dalam masjid.

“Saya minta Allah melaknat saya, bukan saya minta melaknat orang itu... saya minta Allah laknat saya kenapa perlu halang?

“Kenapa perlu halang saya minta Allah laknat saya? Masjid bukan tempat buat kecoh,” katanya.

Shazryl pada 27 April telah memberikan sampel DNA kepada pihak polis bagi membantu siasatan rakaman video seks itu.

Mengulas keterangan yang diberikan hari ini, Shazryl berkata menerima panggilan telefon pagi tadi meminta beliau hadir ke Balai Polis Kepong untuk membantu siasatan berhubung kekecohan yang berlaku itu.

“Saya menerima panggilan telefon pagi tadi meminta saya hadir memberikan keterangan di Balai Polis Kepong berhubung kekecohan yang berlaku di Masjid Amru al-As.

“Saya hadir pada pukul 11 pagi sehingga 1.30 petang tadi. Dalam keterangan itu mereka bertanyakan bagaimana keadaan yang berlaku dalam masjid itu dan saya telah memberikan kerjasaman,” katanya.

Tambah Shazry, Rahim dan Shuib juga akan memberi keterangan hari ini.

Kekecohan yang berlaku di Masjid Amru al-As itu diketuai Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin bersama barisan kepimpinan sayap pemuda PKR itu selain mendapat sokongan penyokong Pakatan Rakyat.

Sejurus selepas solat Jumaat, mereka melaungkan takbir dan mendesak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengambil tindakan qazaf terhadap “Datuk T” sebelum membenarkan sumpah laknat dilakukan.

Selain Shamsul, turut berada dalam masjid itu timbalannya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan naib ketua Azmizam Zaman Huri.

Shazryl bagaimanapun berjaya melafazkan sumpah laknat dengan dikawal ketat polis.

No comments

Powered by Blogger.