Azmil keluar MAS, pertukaran saham dengan AirAsia selesai

Oleh Jahabar Sadiq

http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/2011/august/09/mas-airasia-gang.jpg

KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Pengarah Urusan MAS Tengku Datuk Azmil Zaharudin digugurkan daripada jawatan itu selepas pemegang-pemegang saham syarikat penerbangan nasional itu memuktamadkan urusan pertukaran saham dengan AirAsia Berhad hari ini.

The Malaysian Insider difahamkan satu jawatankuasa eksekutif diketuai Tan Sri Azman Yahya akan mengendalikan hal ehwal MAS manakala operasi harian pula akan diuruskan oleh oleh Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Bhd Mohd Rashdan Mohd Yusof, yang juga ahli lembaga syarikat itu.

Azmil akan menyertai Khazanah sebagai pengarah eksekutif berkuat kuasa 12 September 2011.

Di bawah proses pertukaran saham ini, pemegang saham utama AirAsia, Tune Air Sdn Bhd akan menukar 10 peratus pegangannya dalam syarikat penerbangan tambang murah itu untuk mendapatkan 20.25 peratus dalam MAS, yang dihimpit tekanan kewangan, di bawah perjanjian yang dinamakan Rangka Kerja Kerjasama Komprehensif.

Sebelum urusan pertukaran saham, Tune Air merupakan pemegang saham terbesar dalam AirAsia dengan 26.28 peratus pegangan manakala Khazanah memiliki 69.33 peratus saham dalam MAS.

Lembaga MAS juga akan menyaksikan beberapa wajah baru antaranya bekas ketua eksekutif IJM Datuk Krishnan Tan dan ketua eksekutif Astro Datuk Rohana Rozhan dan David Lau dari Shell Malaysia.
Dalam kenyataan dikeluarkan petang ini, MAS secara rasmi mengumumkan pelantikan Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah, Tan, Rohana dan David sebagai pengarah bukan eksekutif.

Rashdan juga dilantik sebagai pengarah eksekutif dan kesemua pelantikan itu berkuat kuasa hari ini, kata kenyataan itu lagi.

Lembaga MAS juga mengumumkan pelantikan Tan Sri Anthony Francis Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas berkuat kuasa 11 Ogos ini.

Dalam pada itu lembaga juga mengumumkan peletakan jawatan Datuk N. Sadasivan, Keong Choon Keat, Datuk Seri Panglima Mohd Annuar Zaini, Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Datuk Sukarti Wakiman dan Martin Gilbert Barrow sebagai pengarah bukan eksekutif bebas berkuat kuasa 7 dan 8 Ogos.

“Lembaga juga mengumumkan peletakan jawatan Azmil sebagai pengarah urusan, berkuat kuasa hari ini,” kata kenyataan itu.

Sebelum dilantik sebagai pengarah urusan Azmil merupakan ketua pegawai kewangan MAS.

Selain itu, menurut lembaga, jawatankuasa eksekutif akan dipengerusikan oleh Tan Sri Md Nor Yusof dan anggotanya terdiri daripada Azman, Rashdan, Fernandes dan Kamarudin.

No comments

Powered by Blogger.