Biro Agama Keadilan: Serbuan JAIS Ke Gereja – Semua Pihak Harus Saling Memahami
NOTA PANDANGAN BiPPA.
(BIRO PEMAHAMAN DAN PEMANTAPAN AGAMA – KEADILAN)
Setiapkali ada isu yang melibatkan pelbagai agama dalam negara sejak mutakhir ini pasti akan dipolitikkan dengan hebat sekali. Isu serbuan pihak JAIS di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya, adalah mengulangi insiden kepelbagaian agama yang begitu sensitif dan harus berhati-hati menanganinya. Insiden sebelum ini seperti isu lesen arak, suara azan, pijak kepala lembu, roboh rumah ibadat dan pelbagai insiden-insiden yang pasti tidak akan kesudahan pula selepas ini.
Kepelbagaian agama (Pluraliti) dalam negara ini merupakan suatu realiti yang mesti difahami oleh semua pihak. Kita perlu menerima hakikat ini secara positif dengan ketentuan Tuhan yang membawa banyak rahmat. Masing-masing agama harus memahami batasan yang dibenarkan dan sempadan yang tidak boleh dicerobohi (eksklusif). Dato Dr Siddiq Fadhil dalam Ucapan Dasar Muktamar WADAH PENCERDASAN UMMAT baru-baru ini mengungkapkan dengan jelas persoalan ini, katanya;
Bagi umat Islam pluraliti (tanawwu`, ta`addud, ikhtilaf) adalah fenomena ciptaan Tuhan yang sarat dengan hikmah. Yang mutlak Tunggal hanya Allah sendiri, sedang makhluk diciptakan beragam (mukhtalifan) dan berpasangan (azwajan). Manusia diciptakan lelaki dan perempuan, berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, berbeza-beza bahasa dan berlain-lainan warna.
Kepelbagaian tersebut diciptakan bukan tanpa makna. Pluraliti adalah tanda (ayat) yang menyiratkan hikmah dan makna untuk diteroka oleh al- alimin, mereka yang memiliki daya renung keilmuan yang tajam. Demikianlah premis yang membentuk sikap positif-apresiatif terhadap pluraliti. Kerana itu pula tidak ada masalah bagi umat Islam menghadapi pluraliti masyarakat.
Bagi umat Islam, persoalan berkaitan dengan Aqidah adalah persoalan pokok, yang tidak boleh di tolak ansur, batasan eksklusif yang harus difahami dan dihormati oleh agama lain. Islam juga menghormati hak eksklusif agama lain,
Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampai batas tanpa pengetahuan.
Surah Al-An’aam: 108)
Oleh itu Islam melarang umatnya dari mencerca Tuhan-tuhan agama lain (rujuk surah Al- An’am ayat 108), penghinaan secara terbuka terhadap agama lain boleh membawa sifat prejudis mereka terhadap Islam. Bahkan kejahatan mereka yang melampau akan merugikan umat Islam apatah lagi dalam suasana sebegini. Allah S.W.T. memerintahkan kita berdakwah Kenyataan Media Biro Pemahaman & Pemantapan Agama (BiPPA) Halaman 2/2 Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)bukannya mencela atau menghina. Apa yang kita cuba singkap daripada isu serbuan JAIS ke Gereja atas nama jamuan makan mempunyai dua maklumat yang berbeza.
Pertama; JAIS bertindak atas maklumat bahawa kitab Injil dalam bahasa Melayu diagihkan kepada orang Melayu di majlis itu, dikatakan isu ini berkaitan dengan proses penyebaran agama lain keatas umat Islam.
Kedua ; Majlis Aids Malaysia (MAC) menjelaskan bahawa majlis makan malam tersebut adalah untuk mengutip dana bagi membantu pengidap Aids. Ini adalah sebahagian dari aktiviti yang sering dilakukan oleh pihak Gereja bagi membantu pihak-pihak yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama.
Bagi pihak Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) Parti Keadilan Rakyat,berpendapat adalah lebih harmoni semua pihak samada pihak Gereja, JAIS atas pihak-pihak yang terlibat untuk mendapat maklumat yang tepat, duduk semeja dan mencari jalan penyelesaian.
Sekiranya semua pihak memahami hak inklusif dan eksklusif masing-masing ,tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Kami menyokong penuh usaha untuk bertemu muka dengan pengurusan JAIS dan Gereja Methodist Damansara Utama(DUMC) untuk mendapat maklumat yang lebih tepat bagi merungkaikan isu ini.
Semoga pendekatan ini memberi manfaat yang menguntungkan kepada rakyat Malaysia yang berbilang agama secara keseluruhannya.
YB HJ AHMAD BIN KASIM
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA)
Parti Keadilan Rakyat
No comments
Post a Comment