Bonus kakitangan awam petunjuk pilihan raya umum

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh4m4eSwp9pY5v7_JpuY65ZcdF6C5TiDJvPgTrCSndG9E7jev7pLtlbYnwxOwbq1Obmbd4PKxpTURhx66mJGKQiGhbwNGRsXsl_9ekGN5JSG-q7ZHxOakBTpwBRM6mu1Ovb7RWsWGb8fRU/s320/putrajaya.jpg


Pentadbiran Najib berdepan satu cabaran dan peluang baharu apabila Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut bonus dua bulan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, isu yang berpotensi besar untuk dikait dengan politik.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, isu bonus kakitangan awam yang melibatkan lebih 1 juta orang memberi impak yang besar kepada sentimen sokongan terhadap pemerintah.

Rakyat Malaysia mengalami kos hidup yang semakin meningkat ekoran peningkatan harga pelbagai barangan keperluan sejak kebelakangan ini, sehingga kos hidup dijadkan salah satu bidang keberhasilan utama nasional oleh pentadbiran Najib.

Kakitangan awam yang sejak kebelakangan ini tidak menikmati bonus sekali lagi melahirkan harapan untuk menerima ganjaran tersebut, ekoran tuntutan terbaharu Cuepacs, yang segera mendapat reaksi daripada pelbagai pihak.

Isu pemberian bonus juga semakin diperkatakan selepas Felda mengumumkan pemberian hadiah wang tunai kepada setiap peneroka sempena hari raya sebanyak RM400, tindakan yang dilihat untuk mengambil hati peneroka.

Felda berdepan kempen negatif daripada pakatan pembangkang, diketuai Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan yang lebih dikenali sebagai Anak pimpinan aktivis PAS, Mazlan Aliman.

Felda meningkatkan kempen penerangan yang turut melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak kebelakangan ini apabila kempen Anak kelihatan semakin menerima respons positif peneroka.

Sebelum ini, perhatian kepada guru turut mencetuskan persaingan antara pemerintah dengan gabungan pembangkang, dengan Pakatan Rakyat menjanjikan ganjaran sekiranya mengambil alih pemerintahan pusat dan kerajaan memberi ganjaran untuk mengatasi janji pembangkang.

Keputusan sama ada bonus diberikan, dan jumlah ganjaran yang bakal diputuskan Putrajaya nanti dijangka mengundang reaksi segera dan meluas yang berpotensi memberi kesan kepada populariti kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib, sesuatu yang akan dilihat dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-13.

Pentadbiran Najib dijangka mengambil kira dengan serius pemberian bonus ekoran implikasi politik yang besar tindakan ini, yang bakal menjadi pemberian terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Pelbagai pihak termasuk penyokong pemerintah kini turut mendesak pemberian bonus, ketika rakyat berdepan tekanan peningkatan kos hidup dan terutama pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Cuepacs juga menegaskan pemberian bonus dan bukan pemberian-pemberian lain seperti sebelum ini, yang jumlahnya jauh kurang berbanding bonus seperti yang dituntut.

Isu gaji, kos sara hidup melibatkan harga perkhidmatan, tenaga dan bahan keperluan seperti makanan dan petrol menjadi kempen utama pakatan pembangkang sejak Pilihan Raya Umum ke-12, dan dijangka akan terus menguji pemerintah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

http://siasahdaily.blogspot.com/2011/08/bonus-kakitangan-awam-petunjuk-pilihan.html

Saiz perkhidmatan awam negara yang besar dan menelan perbelanjaan banyak menjadi satu isu yang kompleks ekoran pelbagai implikasi yang mampu dicetuskan.

Perkhidmatan awam menerima kritikan sebagai tidak memenuhi potensi dari segi kecekapan dan turut mencetuskan sentimen kaum ekoran sebahagian besar kakitangan awam ialah orang Melayu.

Kerajaan Malaysia sendiri mempunyai jumlah menteri kabinet yang ramai berbanding aktiviti dan jumlah rakyat negara ini. Sebagai contoh, dalam bidang pendidikan, selain Kementerian Pelajaran, diwujudkan juga Kementerian Pelajaran Tinggi, di samping pelbagai portfolio yang kelihatan tidak jelas dan tidak diletakkan di bawah kementerian yang sewajarnya.

No comments

Powered by Blogger.