Bukit Kepong: Perkasa mahu kempen lawan Mat Sabu jika tanding PRU-13

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 15 Sept — Sambil menggesa pentadbiran Najib mengambil tindakan tegas ke atas Mohamad Sabu berhubung kenyataannya berkaitan tragedi Bukit Kepong, Perkasa berkata timbalan presiden PAS itu “harus dihalang” jika bertanding pilihan raya umum ke-13.

Presiden Datuk Ibrahim Ali berkata, sehingga hari ini Putrajaya hanya memberi amaran dan tiada tindakan ke atas Mohamad walaupun telah didesak banyak pihak.

“Sebelum ini ada desakan supaya Mat Sabu (Mohamad) ditangkap, namun kita tidak buat begitu kerana kalau kita desak Mat Sabu ditangkap, kita akan ditertawakan.

“Kalau saya jadi Menteri Dalam Negeri, dah habis Mat Sabu . . . sebab itu kerajaan perlu bertindak bijak tapi kita (orang Melayu) perlu bersama, kita mahu tindakan diambil (ke atas Mohamad), jangan sampai rakyat hilang kepercayaan dan jangan sampai rakyat mengambil undang-undang sendiri,” katanya ketika berucap menutup Forum Merdeka Kekejaman Komunis, Mat Indera dan Kemerdekaan anjuran Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman di sini malam tadi.

Mat Sabu
Mohamad mencetuskan kontroversi apabila mengatakan bahawa pejuang kemerdekaan telah melakukan serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong yang meragut 25 nyawa semasa pemberontakan komunis pada 1950.

Beliau juga mengatakan Ahmad Indera atau Mat Indera — salah seorang individu yang dipujinya ketika ceramah pada 21 Ogos lalu di Pulau Pinang telah dikatakan sebagai seorang pejuang kemerdekaan. Tetapi ia dikecam banyak pihak terutamanya pemimpin Umno.

Semalam, Mohamad memfailkan saman ke atas Kumpulan Utusan berhubung satu laporan berkaitan dengan ucapannya itu.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, rakyat terutamanya orang Melayu perlu menolak pemimpin yang menjual maruah bangsa sendiri terutamanya Mohamad pada pilihan raya umum.

“Kita perlu halang Mat Sabu, caranya mudah sahaja iaitu pada pilihan raya umum ke-13 nanti kita perlu turun beramai-ramai untuk berkempen menentangnya,” katanya.

Selain Mohamad, Ibrahim juga mahu tindakan diambil ke atas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk S Ambiga yang didakwa beliau telah mengancam keselamatan negara.

“Perdana menteri dan menteri dalam negeri harus bertindak tegas terhadap semua petualang-petualang ini.

“Sampai bila kita harus begini, kita akan terus berjuang walaupun keadaan semakin genting, kita perlu bangkit dan kita perlu berjuang dan bersatu,” katanya.

Terlebih dahulu ketika membuka forum yang disertai empat ahli panel, Ibrahim berkata selama ini pemimpin PAS sentiasa mahu mengubah dasar perjuangan parti mengikut keadaan..

“Mat Sabu telah meminda sejarah, sebenarnya kalau kita amati secara mendalam saya tidak terkejut sebab pemimpin PAS sebelum ini juga selalu meminda amanatnya, PAS telah meminda untuk berkawan dengan orang kafir, menukar perjuangan dan (Datuk) Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS) banyak kali meminda fatwa dan terbaru Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) telah meminda laporan perubatan, jadi tidak hairan Mat Sabu meminda sejarah.

“Sekarang kita lihat Mat Sabu cuba mengalih pandangan dengan memusatkan dan membesarkan siapa Mat Indera, pengganas atau pejuang kemerdekaan,” katanya.

Jelas beliau, selain mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan, Mohamad juga telah menghina anggota polis serta dua tokoh penting negara Datuk Onn Jaafar dan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan menuduh mereka sebagai pegawai British.

“Mat Sabu mempertahankan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan, kalau kita lihat dan dengar ucapannya di YouTube isu yang sebenar Mat Sabu menghina anggota polis yang terkorban dan tercedera sewaktu mempertahankan Balai Polis Bukti Kepong.

“Mat Sabu juga menghina dua tokoh negarawan Datuk Onn Jaafar, tokoh paling utama yang menggerakkan kebangkitan Melayu menentang Malayan Union seterusnya menuntut kemerdekaan dan Mat Sabu juga menghina Tunku Abdul Rahman apabila mengatakan mereka adalah pegawai British malah Mat Sabu juga tuduh polis yang terkorban adalah alat kepada British,” katanya.

Jelas Ibrahim, isu sejarah negara bertambah kucar-kacir apabila jurucakap Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Zainal Kling yang mengatakan negara tidak pernah dijajah British.

“Isu yang dibawa Mat Sabu menjadi kontroversi dan ada pendapat seperti Datuk Zainal Kling yang mengatakan British tidak menjajah negara, lagi kucar-kacir,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.