Apa Muslihat Muhyiddin Pecat Pengarah Umcedel?



Tindakan Kementerian Pendidikan memberi tekanan kepada Pengarah Kajian Pusat Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya atau Umcedel, Prof Dr Mohamad Redzuan Othman agar meletakkan jawatan hanya kerana kebanyakan kajian yang dijalankannya tidak memihak kepada UMNO dan kerajaan, mengejutkan banyak pihak dan memberi tamparan baru kepada kerajaan pimpinan Najib Razak.

Dalam masa yang sama, khidmat beliau sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial turut tidak diperbaharui dan ini memberi gambaran jelas bahawa kerajaan amat memandang serius mengenai kajian Umcedel selama ini.

Di sebalik UMNO dan kerajaan dikritik kerana tindakan itu, Najib sebagai Perdana Menteri juga turut tidak terlepas daripada tempias sasaran kritikan ramai. Apatah lagi, perletakan jawatan secara paksaan atau pemecatan itu mengundang solidariti daripada bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saiffuddin Abdullah yang turut meletakkan jawatan dengan segera sebagai Felo Penyelidik Kanan di Universiti Malaya.

Keadaan ini segera menenggelamkan semua janji keterbukaan, sedia menerima teguran, era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir, berubah sebelum rebah dan segala macam retorik lainnya yang pernah disuarakan oleh Najib sebelum ini. Ternyata bahawa semua ungkapan manis itu hanyalah untuk mengabui mata rakyat, sedangkan hakikatnya sebagai anak bangsawan, Najib tetap tidak lari daripada sukakan pujian dan sanjungan.

Itulah antara kritikan yang banyak kedengaran sekarang ini.

Namun sebelum semua kritikan kepada Najib itu mahu diambil kira, kita haruslah melihat bahawa ini merupakan tindakan Kementerian Pendidikan yang diterajui oleh Muhyiddin Yassin. Ia mungkin mendapat restu UMNO dan Najib dan mungkin juga diluar pengetahuan Perdana Menteri.

Kiranya semua tindakan Muhyiddin membenarkan tekanan kepada Dr Mohamad Redzuan mendapat restu daripada Najib dan UMNO, memang ini merupakan malapetaka kepada negara kerana kerajaan nampaknya tidak suka dikritik, tidak suka dikata tidak popular dan tidak suka kebebasan akademik, sebaliknya hanya mahukan pujian serta sanjungan sahaja.

Jika itu hakikatnya, maka benarlah segala kata-kata keterbukaan dan kebebasan yang dilafazkan Najib selama ini hanyalah palsu belaka sedangkan beliau lebih kembang hatinya jika dihamburkan kata-kata manis yang bersalutkan pujian dan sanjungan.

Namun, jika tindakan terhadap Dr Mohamad Redzuan itu hanyalah keputusan persendirian Kementerian Pendidikan, sikap Muhyiddin haruslah diragui iaitu apakah muslihat beliau berbuat demikian? Apakah beliau juga ingin mengampu dan membodek Najib setelah baru-baru ini dihebohkan beliau akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kedudukannya tidak lagi diperlukan oleh Najib?

Meskipun khidmatnya disambung lagi dan tiada rombakan kabinet melibatkannya atau mana-mana pemimpin UMNO, apakah Muhyiddin masih tidak yakin dengan masa depannya dalam kerajaan sehingga perlu juga mengampu dan membodek bagi meneruskan kelangsungan masa depan politiknya?

Atau mungkinkah tindakan Muhyiddin ini bertujuan untuk memalukan Najib dan kerajaan kerana apa-apa pun kesan daripada pemecatan Pengarah Umcedel itu, yang paling menanggung bebannya ialah Perdana Menteri dan kerajaan juga? Tidak dapat dinafikan, bahkan sekarang ini pun, kesalahan lebih diletakkan kepada Najib, UMNO dan kerajaan berbanding Muhyiddin sebagai Menteri Pendidikan.

Bila UMNO dan kerajaan yang dikecam dan persalahkan, tentulah Najib yang disasarkan kerana beliau ketuanya sedangkan Muhyiddin mungkin sedang tersenyum saja.

Walaupun tindakan pemecatan Dr Mohamad Redzuan ini tidak boleh diterima dalam konteks kebebasan akademik dan merangsang pemikiran kritis, tetapi tidak mustahil ia juga dijadikan medan untuk diambil kesempatan bagi mencapai tujuan yang lain daripada yang sebenarnya.

Sebelum UMNO dan kerajaan memberi reaksinya, adalah perlu Muhyiddin terlebih dahulu memberikan jawapan terhadap pemecatan Dr Mohamad Redzuan ini untuk mengetahui kejujuran atau muslihat di sebaliknya. (SH 30/06/2014)

No comments

Powered by Blogger.