#MH 17: RINGKASAN URUSAN JENAZAH HANCUR BERCAMPUR NON-MUSLIM
Jika telah bercampur dan tidak boleh dikenali di antara Muslim dan non-Muslim, maka menurut ijtihad Imam Syafie disolatkan semuanya walau bercampur dan tidak dapat dipastikan lagi, walaupun jumlah yang muslim kurang berbanding non-muslim. Dengan hujjah solat ke atas jenazah muslim itu wajib. Oleh kerana solat ke atas orang bukan Islam itu ditegah di dalam Islam, mazhab Syafie menyarankan niat solat ke atas mayat bercampur itu dengan mengikat iaitu :-
“Aku solatkan ke atas jenazah ini JIKA dia seorang Islam”
Berikut adalah teks dari kitab fiqh silam :-
قال الشافعي ) رحمه الله تعالى( : وإذا غرق الرجال أو أصابهم هدم أو حريق وفيهم مشركون كانوا أكثر أو أقل من المسلمين صلى عليهم ، وينوي بالصلاة المسلمين دون المشركين ، وقال بعض الناس : إذا كان المسلمون أكثر صلى عليهم ، ونوى بالصلاة المسلمين دون المشركين ، وإن كان المشركون أكثر لم يصل على واحد منهم ( قال الشافعي ( لئن جازت الصلاة على مائة مسلم فيهم مشرك بالنية لتجوزن على مائة مشرك فيهم مسلم
Ertinya : Imam Syafi'i berkata: Ketika beberapa lelaki tenggelam atau tertimpa runtuhan bangunan atau kebakaran dan di sana bercampur baur dengan orang kafir sama ada lebih ramai atau kurang dibandingkan dengan orang-orang muslim, maka boleh solat ke atas orang-orang tersebut dengan niat solat ke atas orang Islam. Ada sebahagian berpendapat: “Boleh menyolatkan hanya jika orang muslim lebih banyak dari pada orang kafir, tetapi kalau orang kafir lebih banyak hukum mensolatkannya tidak boleh”.
Imam Syafi'i berkata: “Kalau boleh menyolatkan seratus orang Islam yang di dalamnya terdapat satu orang musyrik dengan niat, maka diperbolehkan pula mensolatkan satu orang muslim yang di dalamnya terdapat seratus orang musyrik dengan niat. Itu kalau orang kafir atau orang musyrik tersebut tidak bisa dikenali lagi. (Imam al-Muzanni, Mukhtasar al-Muzanni ‘ala al -Umm )
Bagi yang tidak berada di sana, boleh dilaksanakan solat ghaib.
Adakah Perlu Mandikan Anggota Bercampur?
Imam Syafie juga berpendapat bahawa mayat yang tidak lengkap tubuhnya, termasuk mayat yang telah terpotong anggota tetap wajib dimandikan, dikafankan, dan disolatkan. Tiada bezanya di antara mayat yang lengkap dengan yang tidak. Justeru, wajib memandikan anggota tubuh si mayat yang terdapat itu seperti wajibnya memandikan mayat yang lengkap anggota badannya. Pendapat yang serupa juga disebutkan oleh Imam Ahmad bin Hambal, dan Ibnu Hazm. Imam Syaf’i berkata: “kami mendapat berita bahawa di waktu perang berunta(Jamal), seekor burung menggugurkan sepotong tangan manusia di Mekah (tangan itu adalah tangan Abd Rahman Bin ‘Itab bin Asid).
Tangan itu dapat mereka kenali dengan cincin. Maka tangan itu mereka mandikan dan shalatkan, dan hal itu adalah di depan para sahabat”
Imam Ahmad, berkata: “Abu Ayyub mensolatkan sepotong kaki, sedang Umar mensolatkan tulang-belulang”
Justeru, sekiranya didapati mana-mana satu anggota dan tidak menjadi luruh atau tanggal dengan sebab dimandikan maka wajiblah dimandi dan disolatkan. Dan jika ianya menjadi luruh sedangkan anggota-anggota itu adalah sebahagian daripada anggota tayammum maka wajiblah ditayammumkan anggota itu dan disembahyangkan keatasnya.
Sekiranya tiada kemampuan atas sebab terlalu ramai atau wujud halangan undang-undang dan sebagainya seperti orang yang terbakar sehingga menjadi debu atau yang dimakan binatang buas, tenggelam di dalam laut atau lubang yang tidak dapat dikeluarkan atau ditemukan. tidak perlu dimandikan lagi. Menurut pendapat para ulama silam, orang Islam yang mati dalam kebakaran yang habis seluruh tubuhnya menjadi debu tidaklah wajib dimandikan, dan mengikut pendapat yang muktamad namun boleh disolatkan.
Saya mengucapan setinggi-tinggi takziah kepada ahli keluarga mereka yang terlibat, semoga tuan puan dikurniakan kesabaran berpanjangan. ٍSama-sama berdoa untuk keampunan dan rahmat buat mangsa beragama Islam.
اللهم اغفر له وارحمه، وعافه ،واعف عنه ،وأكرم نُزُله ، ووسع مُدخلهُ ، واغسله بالماء والثلج والبرد ، ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس ، وأبدله داراً خيراً من داره ، وأهلاً خيراً من أهله وزوجاً خيراً من زوجه، وأدخله الجنة ،وأعذه من عذاب القبر ( ومن عذاب النار )
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
FB : DrZaharuddin
No comments
Post a Comment