apabila kerajaan bertindak macam israel???


PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk mendapatkan gambaran jelas serta perkembangan terkini berhubung projek monorel dalam negeri.

Beliau berkata pertemuan itu penting kerana beliau ingin tahu perkara sebenar dan tidak mahu konflik berhubung isu monorel itu menjadi bertambah serius dan lebih teruk.

"Saya tidak akan membuat sebarang kenyataan berhubung isu itu dengan hanya merujuk kepada akhbar atau media kerana dua akhbar utama (Bahasa Inggeris) hari ini melaporkan dua versi yang berbeza berhubung perkara itu.

"Saya akan berjumpa dengan Tan Sri (Nor Mohamed) untuk mengetahui perkara dan mendapatkan penjelasan sebenar berhubung isu itu, saya tidak mahu konflik ini menjadi lebih serius," katanya ketika mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung isu monorel di Pulau Pinang, di sini, Ahad.

Lim berkata sehingga hari ini tiada langsung perbincangan antara kerajaan negeri di bawah pentadbiran Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diterajui DAP dan kerajaan persekutuan berhubung projek monorel itu.

"Beri peluang kepada kami untuk berbincang dengan kerajaan persekutuan. Bagi kerajaan negeri, kami memang memberi keutamaan kepada projek-projek kerajaan persekutuan dalam negeri," katanya.

Semalam, Nor Mohamed dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan tidak akan melaksanakan projek monorel di Pulau Pinang jika ia tidak mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri.

Katanya projek berkenaan perlu mendapat kerjasama dan kelulusan daripada kerajaan negeri sebelum boleh dilaksanakan kerana ia melibatkan penggunaan tanah di negeri itu.

Projek monorel yang bernilai RM1.2 bilion itu adalah antara projek mega dalam Rancangan Malaysia Ke9 (RMK9) membabitkan pembinaan landasan sepanjang 51.2 kilometer dan dijangka melengkapkan lagi jaringan sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Lim kecewa dengan keputusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang akan menghentikan pemberian dana pembangunan tahunan kepada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri di lima negeri yang diterajui kerajaan Pakatan Rakyat.

"Saya kecewa dengan keputusan itu dan berharap pihak kementerian berkenaan menimbang semula keputusan itu kerana ia melibatkan rakyat di negeri-negeri terbabit," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan, menteri berkenaan Datuk Noh Omar berkata kementeri itu menghentikan pemberian dana pembangunan berkenaan berikutan negeri-negeri berkenaan tidak memberikan kerjasama kepada kementerian, oleh itu lebih baik ia disalur melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara) supaya rakyat terus mendapat faedah. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.