Suruhanjaya Siasat Umno: Calon PM Mula Bersuara


Oleh Salahudin Ayub

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) tertarik dengan kenyataan berani Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mencadangkan sebuah suruhanjaya ditubuhkan untuk menyiasat punca kekalahan Umno dalam pilihan raya umum yang lepas. Beliau secara terbuka menyindir Presiden Umno dengan mengatakan jika Kerajaan BN pimpinan Pak Lah boleh menubuhkan suruhanjaya kehakiman dan suruhanjaya anti rasuah, mengapa tidak boleh menubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat Umno. Kenyataan ini pada pandangan DPP Pusat bukanlah satu cadangan, tetapi sindiran tajam kepada Presiden Umno yang sedang didesak berundur itu.

DPP Pusat juga tertarik dengan respon positif yang ditunjukkan oleh Rais Yatim yang cenderung mengikut cadangan bekas bosnya, Tengku Razaliegh Hamzah yang mahukan sistem kuota dihapuskan dalam Umno.

Semenjak Umno Gua Musang mengadakan mesyuarat agung luar biasanya, sudah ramai pemimpin Umno bersuara menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kepemimpinan pengasas Islam Hadhari itu. Malangnya sebahagian besar mereka melihat halangan utama untuk menjatuhkan Pak Lah ialah sistem kuota yang menghendaki sokongan 30 peratus sebagai kelayakan bertanding jawatan Presiden Umno. Ketika pemimpin bahagian Umno sudah sibuk bercakap soal krisis kepemimpinan ini, Rais Yatim adalah antara pemimpin Umno yang kelihatan setia kepada Pak Lah, mungkin kerana skandal lamanya dengan seorang warga asing yang dikatakan mengunci mulut Rais Yatim. Sebaliknya, pemimpin tertinggi Umno seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin terus lantang bersuara bagi mengimbangi Datuk Seri Najib Razak yang tersepit dengan isu Altantuya.

Kenyataan Tun Dr Mahathir yang menamakan Muhyiddin atau Rais sebagai calon Perdana Menteri telah merancakkan lagi persaingi ini. Semalam Rais Yatim mengambil sikap berkecuali dengan mengucapkan terima kasih kepada Tun Maharhir, tetapi menafikan beliau mahukan jawatan itu. Selepas menyedari adanya sokongan untuk beliau mendapatkan jawatan tertinggi itu, bekas Timbalan Presiden PMS46 itu mula melahirkan suara yang sama dengan beberapa lagi calon Presiden Umno iaitu Ku Li dan Muhyiddin. DPP Pusat percaya Rais masih berharap untuk naik lebih tinggi kerana Pak Lah pernah menikam kumpulan mereka (Team B) dalam pemilihan Umno 1987.

Inilah masa terbaik untuk Rais sekurang-kurangnya berganding dengan Ku Li untuk kali kedua bagi merampas dua kerusi utama Umno, sekali gus kerajaan. DPP Pusat merasakan tidak mustahil pandangan Tun Mahathir kini mendapat perhatian bekas pemimpin Team B untuk kembali menguasai Umno setelah Pak Lah dilihat gagal dalam agenda Hadharinya.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

No comments

Powered by Blogger.