DATO’ SERI IR NIZAR YANG PATUT DIPUJI DAN DICONTOHI


Ir Nizar, seorang tokoh politik daripada PAS yang namanya di kala ini menjadi sebutan pendokong-pendokong parti-parti di Malaysia, sama ada dari parti Islam atau parti non Islam.

Beliau agak tidak dikenali sebelum kemenangan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya ke 12 baru-baru ini, tetapi selepas pilihanraya, beliau bukan sekadar menjadi tokoh yang dikenali ramai, tetapi sudah menjadi seorang tokoh politik yang dipandang hebat oleh rakyat Malaysia.


Kejayaan beliau menguruskan negeri perak dengan gabungan kerajaan Pakatan rakyat yang terdiri dari DAP, PKR dan PAS merupakan satu kejutan dan pembuktian atas kebijaksanaan beliau dalam mengurus negeri. Walaupun kehadiran exco dari Parti islam adalah terendah, tetapi dengan kebijaksanaan beliau dalam mengurus negeri, selayaknya dijadikan sebagai tauladan di negeri-negeri dibawah Pakatan rakyat yang lain.

Kebijaksanaan dan keberanian merupakan asas utama dalam kejayaan beliau menguruskan negeri, disamping beliau merupakan seorang yang agak berkebolehan dan tidak menyimpan perasaan “memandang kecil” kepada semua rakyat yang menyebabkan rakyat negeri perak dan rakyat diluar perak sudah mula menyayangi beliau.

Program dialog bersama ketua-ketua Kampung dan Penghulu dibawah kerajaan Negeri perak merupakan satu tindakan Berani yang beliau sendiri hadapi.

Kebijaksaan beliau menjawab soalan-soalan “panas” merupakan satu bukti kemampuan beliau dalam mengurus negeri dengan jayanya.

Secara peribadi, Aku melihat Ir Nizar merupakan seorang tokoh Politik islam yang selayaknya diberikan pujian. Beliau benar-benar menjadikan kuasa politik yang dipegang sebagai alat utama dalam menyampaikan dakwah Islamiyyah, walaupun beliau bukanlah dari orang yang berkelulusan agama.

Pertemuan dalam satu majlis Dialog dengan ketua-ketua Kampung dan penghulu di seluruh negeri perak berjaya dijawab dengan dinukilkan kisah-kisah sahabat dan sirah perjalanan hidup Nabi SAW, yang secara tidak dirancang, beliau telah menyampaikan mesej perjuangan Islam yang telah diperjuangkan oleh PAS.

SELANGOR PATUT CONTOHI PERAK

Keadaan ini tidak berlaku di negeri pimpinan Pakatan rakyat di Selangor, yang sehingga kini, banyak perkara-perkara utama tidak diselesaikan lagi, seperti Isu Masjid dan Surau, isu-isu Kampung dan sebagainya, walaupun pihak pendokong parti diperingkat bawahan sudah “berkokok” meminta agar diselesaikan dengan segera, tetapi yang diisukan adalah isu sampingan sahaja, iaitu “isu ternakkan babi” yang bukanlah perkara utama dalam pemerintahan.

Disebabkan isu ternakkan babi ini telah diisukan sedemikain rupa, maka terpaksalah pihak pendokong-pendokong parti Islam mengkaji secara ilmiyyah agar ianya dapat diterangkan kepada masyarakat bahawa ternakkan babi itu bukanlah perkara yang bercanggah dengan Islam.

Pun begitu, secara realitinya, tindakan mendahulukan isu ternakkan babi berbanding isu-isu utama merupakan satu tindakan yang menggambarkan kelembapan kita dalam memahami keutamaan atau kelemahan kita dalam memahami “Fiqh Awlawiyyat” dalam mengurus negeri.

Memang ada dakwaan mengatakan, perkara utama ini tidak dapat diselesaikan sekarang lantaran kekurangan tenaga kerja dalam menyelesaikannya. Tetapi, sebagai pemerintah, jawapan ini tidak boleh dijadikan alasan, kerana sepatutnya telah wujud pembahagian tugas dan diwujudkan jawatankuasa tertentu yang dilantik bagi menyelesaikannya dengan sebaiknya.

Kadangkala bukan kerana pembahagian tugas yang menjadi isunya, tetapi krisis keyakinan terhadap pendokong parti juga menjadi punca kelembapan.

Apa yang pelik, mereka boleh meletakkan keyakinan kepada pendokong parti dalam menguruskan gerak kerja memenangkan mereka dan mengalahkan UMNO dalam pilihanraya, tetapi mereka tidak meletakkan keyakinan dalam mengurus gerakkerja pemerintahan setelah mereka berjaya menjadi pihak yang berkuasa.

Yang lebih sedih lagi, unsure-unsur pembahagian tugas berbentuk kroni juga berlaku. Apabila kemenangan diisytiharkan, maka kawan-kawan lama yang tidak pernah terlibat dalam usaha memenangkan pilihanraya dipanggil disamping mengenepikan petugas-petugas parti yang berkelayakkan.

Keadaan ini tidak berlaku di Perak dibawah kepimpinan Ir Nizar, tetapi agak berlaku di Selangor.

PENUTUP

Dalam Fiqh Keutamaan, perlu didahulukan perkara “fardu” berbanding perkara “sunnat” dalam menguruskan ibadat. Maka tersangat penting mendahulukan perkara dasar berbanding perkara sampingan dalam mengurus negeri.

Walaupun perbuatan mendahulukan perkara sampingan itu tidak salah dari sudut syariah, tetapi tindakan sebegitu sedikit sebanyak memperlihatkan kelemahan dalam mengurus kerajaan.

Justeru itu, perlu diperhatikan antara dua perkara, iaitu ada perkara yang penting, tetapi tidak perlu disegerakan. Ada juga perkara itu tidak penting, tetapi perlu disegerakan.

Pada pandangan mata kasarku, kejayaan dalam mengimbang perkara ini berlaku di negeri Perak dibawah pimpinan Ir Niza, tapi agak tidak berjaya di negeri Selangor.

Sekian

Wallahu ‘Alam

p/s : Jika inilah kebolehan yang wujud pada Ir Nizar. Apakah tidak ada cadangan untuk mencalonkan beliau sebagai Timbalan Presiden PAS dalam pemilihan PAS akan datang bagi membantu Dato’ Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam mengurus parti dengan lebih berjaya???

No comments

Powered by Blogger.