kak pidah dah tak tahan nampaknya..


KOTA KINABALU: Parti pembangkang menggunakan perang psikologi dalam usaha meraih keuntungan dalam politik, kata Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz hari ini, Sabtu.

Beliau berkata permainan yang dilakukan oleh pembangkang dalam arena politik adalah untuk memberi gambaran bahawa mereka semakin memperoleh sokongan.

"Memanglah pembangkang telah menang di lima negeri yang mereka sendiri pun tidak sangka.

"Mungkin kelemahan kami yang membolehkan mereka menang. Bagaimanapun kami tidak akan memandang ringan ancaman mereka," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Wanita Umno Sabah di sini.

Beliau berkata kemenangan di kelima-lima negeri itu memberikan pembangkang dorongan dan kekuatan tambahan untuk mengambil alih negeri lain juga.

Bagaimanapun, Rafidah berkata rakyat dan Anggota Parlimen BN tidak akan terpengaruh dan akan terus berdiri teguh supaya tidak terjebak dengan janji dan strategi lain yang digunakan oleh pembangkang.

Ketika diminta mengulas cadangan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya sebuah suruhanjaya khas diwujudkan untuk mengenal pasti punca pencapaian buruk BN dalam pilihan raya lepas, Rafidah berkata penubuhan suruhanjaya itu tidak perlu memandangkan proses mengenal pasti punca kekalahan itu telahpun bermula dan sedang berjalan.

Beliau berkata bagi Wanita Umno, arahan dikeluarkan supaya mengenal pasti punca kekalahan di setiap kawasan pilihan raya dan di saluran peti undi.

"Sebagai contoh, jika kita tahu bahawa saluran empat dan lima, peti undi pengundi muda, adalah punca kekalahan BN, maka penawarnya ialah dengan meminta sayap Puteri dan Pemuda supaya mendekati golongan muda dengan lebih agresif.

"Jika ada masalah dalam lingkungan kawasan pilihan raya, maklumat itu juga akan dikumpulkan dan dibentangkan kepada presiden parti," katanya.

Beliau berkata maklum balas turut dikumpul di lima negeri yang dimenangi pembangkang. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.