Ku Li akui beliau punca kekalahan BN di Kelantan?


KOTA BAHARU: Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengakui kebenaran bahawa beliau mungkin punca kekalahan Barisan Nasional (BN) di Kelantan dalam pilihan raya umum ke12 bulan lepas.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu berkata kekalahan itu mungkin disebabkan sebelum ini beliau pernah bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum 1990 ketika menerajui parti Semangat 46 menyebabkan PAS dapat menawan Kelantan daripada BN.

"Boleh jadi betul. Dah dia kata begitu, dia orang besar dia boleh katalah," katanya selepas merasmikan majlis Maulidur Rasul di Balai Islam di sini malam tadi, yang dihadiri kira-kira 2,000 orang.

Tengku Razaleigh mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 6 April lalu yang meminta beliau mencerminkan dirinya terlebih dahulu dan disebabkan Tengku Razaleigh, Kelantan jatuh ke tangan PAS dan BN tidak mampu menawan negeri itu sehingga hari ini.

Abdullah berkata bekas Menteri Kewangan itu pernah diberikan peluang untuk menerajui Umno dan BN Kelantan pada pilihan raya umum tahun 1999 tetapi usaha itu juga gagal dan selepas itu Umno Kelantan memaklumkan, Tengku Razaleigh tidak berbuat apa-apa pun atau membantu Umno negeri itu dalam pilihan raya umum lepas.

Tengku Razaleigh berkata beliau juga mempunyai alasannya kenapa BN Kelantan tewas pada pilihan raya umum 8 Mac lalu tetapi ketika ditanya pemberita beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan apabila tiba masanya.

Mengenai hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden Umno, Tengku Razaleigh berkata beliau akan terus berusaha untuk bertanding jawatan itu bagi memperbaharui hala tuju Umno.

Tengku Razaleigh percaya tidak akan berlaku perpecahan di dalam parti sebaliknya jika beliau tidak mengambil tindakan segera perpecahan di dalam parti pasti menjadi lebih teruk.

Tengku Razaleigh berkata beliau tidak perlu bekerjasama dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana terdapat perbezaan pendapat antara mereka berdua.

Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata beliau mahukan pengambilan jawatan Presiden parti itu dibuat secara demokrasi pada perhimpunan agung parti akhir tahun ini kerana ia adalah platform yang sesuai daripada meminta Abdullah meletak jawatan begitu sahaja.

Tengku Razaleigh berkata hasratnya bertanding jawatan itu adalah untuk membangunkan negeri-negeri di Pantai Timur agar rakyat di kawasan itu turut menikmati arus pembangunan seperti negeri-negeri lain.

Tengku Razaleigh, 71, kini menjadi wakil rakyat paling lama berkhidmat di peringkat Parlimen dan tidak pernah kalah sejak bertanding bagi kerusi Parlimen Ulu Kelantan pada 1974 sebelum kerusi itu bertukar nama kepada Gua Musang pada pilihan raya umum 1986.

Tengku Razaleigh juga mengulangi kenyataannya supaya sistem kuota yang diamalkan Umno dihapuskan bagi membolehkan 3.4 juta anggota parti memilih pemimpin mereka tanpa perwakilan.

Mengikut peraturan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas Umno Oktober 1988, 30 peratus pencalonan (57 daripada 191 bahagian) diperlukan untuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden (20 peratus/38 bahagian), Naib Presiden (10 peratus/19 bahagian) dan anggota Majlis Tertinggi (lima peratus/10 bahagian).

Bagi jawatan Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri pula memerlukan pencalonan 10 peratus atau 38 bahagian manakala Naib Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri (15 peratus/28 bahagian). BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.