Ustaz Azizan mahu Kedah menang lawan Pahang, esok

PENDANG, 26 April (Hrkh) - Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak mahu pasukan bola sepak Kedah meneruskan kemenangan dalam pertemuan dengan pasukan Pahang di Stadium Darul Aman malam esok.

"Saya minta depa (pemain) jaga maruah Kedah. Kita dah champion, esok kalah atau menang depa akan dapat piala.

"Esok Tuanku (Sultan) pun akan turun. Jadi, jaga jangan seronok sangat. Esok nak terima piala tengok-tengok kalah, malu tu," ujarnya dalam menjawab persoalan oleh wartawan mengenai pertemuan Liga Super antara Kedah dan Pahang malam esok.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menjelaskan bahawa dengan kejuaraan tersebut Kedah akan menerima RM500,000 dan piala.

Oleh itu, beliau menasihatkan pemain agar tidak terpesona dengan kelebihan diri sendiri sebaliknya bermain dengan bersungguh-sungguh.

"Saya yakin dengan anak-anak kita yang main ni. Kelmarin dia orang menang 6-2 dengan (mengalahkan) Melaka. Sekarang siapa lawan Kedah pun teruk," ujarnya yang menyebabkan semu wartawan ketawa.

Ditanya wartawan kebanggaannya dengan kejayaan itu, Ustaz Azizan mengiyakannya.

"Ya saya cukup bangga, saya Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah. Jadi kejayaan ni kena teruskanlah mana boleh berhenti tengah jalan," jelasnya. - mns

No comments

Powered by Blogger.