apabila UMnO di benci...

KUALA LUMPUR 29 April - Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Cheras berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Syed Ali tidak melepaskan jawatan sebagai Ketua UMNO bahagian itu.

Peletakan jawatan tersebut diumumkan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abdul Shukor dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri semua pemimpin kanan bahagian itu.

Syed Ali, 46, memegang jawatan tersebut selama 10 tahun. Beliau tidak hadir pada sidang akhbar itu.

Mahadi menjelaskan, tindakan Syed Ali itu dilakukan atas rasa tanggungjawabnya terhadap kekalahan teruk di Parlimen Cheras pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

"Peletakan jawatan Syed Ali mendapat persetujuan UMNO Cheras termasuk peringkat akar umbi.

"UMNO Cheras sentiasa memberikan pandangan dan pendapat terhadap perkara-perkara yang perlu dikaji oleh peringkat atasan," katanya.

Menurut Mahadi, peletakan jawatan itu akan dimaklumkan kepada Pengerusi BN Cheras, Tan Sri Yee Hock Seng menerusi sepucuk surat, esok.

"Sehubungan itu, saya cabar 10 daripada 13 Ketua UMNO Bahagian di Wilayah Persekutuan untuk bertindak seperti UMNO Cheras bagi menyatakan pandangan mereka terhadap kami.

"Saya juga cabar Pengerusi BN Wilayah Persekutuan untuk bertindak seperti Syed Ali yang melepaskan jawatan kerana atas rasa tanggungjawab terhadap parti," katanya.

Ahad lalu, Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) UMNO Bahagian Cheras mendesak Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique melepaskan jawatan Ketua Perhubungan UMNO dan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan.

UMNO bahagian itu turut mahukan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ahli Parlimen Putrajaya memegang kedua-dua jawatan tersebut.

Bagaimanapun, Zulhasnan dalam reaksinya mengenai perkara itu berkata, beliau tidak memandang serius gesaan itu kerana hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang berhak membuat keputusan mengenai jawatan itu dan bukannya pihak lain.

Mahadi berkata, gesaan meminta Zulhasnan untuk meletakkan jawatan dibuat kerana UMNO Cheras kecewa dengan sikap beliau yang tidak serius memantau kerja-kerja parti dalam Parlimen Cheras.

Beliau menjelaskan, tindakan UMNO Cheras itu bukan kerana ingin melawan arus tetapi berharap pemimpin dapat mengambil tindakan daripada apa yang terjadi selepas pilihan raya baru-baru ini.

"Ahli UMNO yang lain tidak perlu bimbang sekiranya Zulhasnan meletakkan jawatan kerana ia pasti digantikan dengan yang baru hasil pemilihan peringkat atasan," ujarnya


saya nampak datuk syed ali ni seorang yang berani...biasa la tu orang kalah teruk.....datu tolong bagitau kat ramai lagi supaya letak jawatan sama-sama tau

No comments

Powered by Blogger.