Beri perhatian golongan muda

Oleh Wan Saiful Wan Jan

Semasa menulis artikel ini, saya sedang dalam perjalanan ke Amsterdam dan The Hague atas jemputan Kementerian Luar Holland. Saya akan berada di sana selama sepuluh hari, sebahagiannya untuk mengkaji sistem persekolahan negara itu dan mengenalpasti apa yang boleh dipelajari oleh Malaysia.

Tetapi sebelum ke Amsterdam, saya singgah sebentar di kota London. Saya kembali ke Malaysia pada bulan Oktober 2009, setelah 17 tahun menetap di United Kingdom. Jadi saya mengambil peluang ini untuk berjumpa kembali dengan kenalan lama, terutama rakan-rakan dalam Parti Konservatif.

Sebaik sahaja saya mendarat di London, saya mendapat email mengenai satu forum anjuran Rakan Pakatan Rakyat (Friends of Pakatan Rakyat) United Kingdom pada hari Sabtu 20 November. Topiknya ialah pembabitan golongan muda dalam mendepani cabaran politik baru Malaysia. Saya mengambil keputusan untuk menghadiri forum tersebut yang diadakan di Bayswater, berhampiran Malaysia Hall London.

Ramai juga yang hadir ke forum tersebut sehingga dewan yang disediakan penuh dan ada yang terpaksa berdiri. Ada yang sanggup memandu kereta meredah kedinginan musim sejuk dari luar London untuk menghadiri majlis itu.

Forum tersebut memang menarik. YB Hannah Yeoh, ADUN Subang Jaya dari DAP memulakan bicara dengan menceritakan pengalaman beliau sebagai ahli politik muda. Beliau dipilih menjadi calon semasa berumur 29 tahun. Semasa itu, beliau tidak memegang jawatan tinggi dalam parti. Beliau diberi kepercayaan oleh DAP untuk menjadi calon walaupun masih muda berbanding pemimpin lain. Dan kini, walaupun hanya berumur 31 tahun, beliau memegang jawatan Bendahari DAP Selangor.

Seorang lagi ahli panel ialah Ginie Lim. Gadis muda berumur 29 tahun ini bertanding atas tiket PKR di Machap, Melaka, semasa berumur hanya 27 tahun. Beliau menceritakan mengenai bagaimana beliau dimaklumkan sekitar seminggu sebelum hari pencalonan bahawa beliau telah dipilih untuk menjadi calon. Dalam tempoh yang amat singkat itu beliau perlu mengumpul dana untuk berkempen, merangka strategi meraih undi dan seterusnya memperkenalkan diri kepada pengundi.

Seterusnya YB Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PKR pula menceritakan pengalaman beliau sebagai pemimpin muda dalam PKR. Beliau terlibat dalam politik parti Keadilan sejak berusia 19 tahun lagi. Beliau menjadi ADUN Seri Setia, Selangor, pada tahun 2008, semasa berumur 26 tahun. Beliau merupakan calon paling muda yang terpilih dalam Pilihan Raya Umum ke-12. Setelah menang, beliau diamanahkan menjadi Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, satu jawatan yang penting dalam petadbiran negeri.

Bukan itu sahaja. Baru-baru ini, beliau dilantik menjadi Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat dalam umur 28 tahun. Sekali lagi ini juga merupakan satu jawatan penting dalam parti di peringkat pusat.

Satu perkara yang paling jelas dalam forum mengenai penglibatan golongan muda dalam mendepani politik Malaysia itu ialah betapa walaupun di hadapan dewan diletakkan tiga bendera parti komponen Pakatan Rakyat – PKR, DAP dan PAS – tetapi hanya dua parti sahaja yang mampu menghantar wakil untuk berucap. Malangnya PAS tiada wakil.

Malahan, di kalangan yang menghadiri forum itu juga saya tidak menemui ramai peserta yang mendokong perjuangan PAS. Entah ke mana perginya penyokong-penyokong PAS di London. Sikap mereka seolah-olah tidak mengendahkan langsung kegiatan yang dianjurkan oleh parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat di United Kingdom. Adakah mereka seronok sesama sendiri sahaja sehingga tidak sedar bahawa PAS berada dalam satu pakatan bersama dua parti lain?

Kembali kepada isu barisan penceramah dalam forum. Sebenarnya sebab utama tiada wakil PAS yang berucap dalam forum tersebut ialah tidak ada sesiapa dari PAS yang datang ke London pada hari itu. Forum tersebut dianjurkan kerana kebetulan sahaja para pemimpin muda daripada PKR dan DAP itu berada di London.

Bagaimanapun, saya rasa jika sekalipun PAS dijemput secara rasmi, hampir pasti tiada pemimpin muda yang berketrampilan seperti pemimpin-pemimpin muda daripada PKR dan DAP yang boleh ditampilkan. Mungkin ada orang muda PAS yang boleh berkongsi pengalaman berkempen dan berceramah. Tetapi dalam PAS tidak ada orang semuda YB Nik Nazmi, YB Hannah Yeoh, mahupun Ginie Lim yang diberi kepercayaan untuk menjadi calon, jurucakap, apatah lagi pemimpin besar dalam parti peringkat pusat atau negeri. DAP dan PKR jauh terkehadapan berbanding PAS dalam hal ini.

Dalam menjawab persoalan yang ditimbulkan berkaitan hal ini, YB Nik Nazmi mengatakan bahawa mungkin sebab utama tiada pemimpin muda yang ditonjolkan oleh PAS ialah persoalaan perbezaan budaya. Umur PAS yang lebih tua berbanding PKR dan juga hiraki dalam parti yang lebih kuat dipegang menyebabkan sukar untuk orang muda menonjol dan memegang jawatan tinggi dalam PAS di peringkat pusat.

Pandangan YB Nik Nazmi ada benarnya. Malahan saya juga tertanya-tanya juga selama mana lagi Dewan Pemuda mahu mengambil pendekatan yang seolah-olah orang tua? Apa gunanya sebuah Dewan untuk orang muda dalam PAS jika pendekatan dan strategi tidak berjaya menarik golongan muda mendokong parti? Bilakah pencapaian pemimpin muda dalam PAS akan diukur?

Di kalangan rakan-rakan yang saya kenali, golongan muda tidak suka denagn corak gerak kerja dalaman PAS yang mengekang kreativiti dan pemikiran mereka. Orang muda mahu diberi kepercayaan untuk memimpin perubaha, tetapi, kata mereka, budaya PAS menyebabkan ini sukar berlaku.

Selama mana lagi PAS mahu membiarkan golongan muda yang mahukan perubahan menjauhkan diri dan menyalurkan ketokohan dan kesungguhan mereka ke PKR dan DAP?

Wan Saiful Wan Jan ialah ketua eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (www.IDEAS.org.my) dan bekas presiden serta mursyid HIZBI UK & Eire.

No comments

Powered by Blogger.