JAIS tumpaskan “Skuad Berani Mati”

BANGI, 27 Nov – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berjaya menumpaskan satu kumpulan ajaran sesat yang dipercayai melatih ahli “Skuad Berani Mati” dalam satu serbuan di sebuah surau persendirian di Kampung Sungai Tangkas, semalam.

Mereka dikatakan sanggup melakukan jenayah membunuh demi urusan jihad, lapor Berita Harian.

Hasil penelitian anggota penguatkuasa JAIS hampir setahun lalu memantau perkembangan perngikut-pengikut ajaran sesat terbabit, mereka yang terlibat berumur sekitar 29 hingga 55 tahun membabitkan 21 pengikut, di tangkap seusai mengadakan ’solat Jumaat’ pada pukul 12 tengahari, di surau berkenaan yang dipercayai menjadi markas ajaran itu.

Ketua Penguat Kuasa Agama Negeri Selangor, Mohamad Rais Rasid, berkata ajaran sesat itu diperkenalkan Mohd Madigol Abd Aziz yang dikenali sebagai Nurhasan Al-Ubaidah Lubisdi dari Jawa Timur, Indonesia pada 1941.

Ajaran dipercayai disebarkan di Hulu Langat oleh Abdul Wahab Jantan, 41 yang berasal dari Kajang sejak tahun 2000 di surau terbabit, yang dibina hasil kutipan yuran pengikutnya.

Bagaimanapun, Abdul Wahab gagal dikesan kerana dipercayai berada di Solo, Indonesia. Isterinya, Ramizah Shaari, 51, ketika ditemui di rumah yang terletak bersebelahan surau terbabit memberitahu suaminya itu berada di Solo atas urusan perniagaan broker.

Mohamad Rais berkata, apa yang mengejutkan, pengikut ajaran itu melakukan beberapa penyelewengan yang memesongkan akidah termasuk perlu bai’ah iaitu sumpah taat setia kepada pengasas selain mendakwa hanya pengikut Islam Jamaah saja sebagai Islam sebenar manakala orang lain dianggap kafir.

“Ajaran yang sudah difatwakan sebagai ajaran salah dan sesat pada 24 September 1998 itu turut menolak hukum Ijma dan Qias, najis mughallazah tidak perlu disamak serta binatang yang mati di dalam perkampungan orang Islam Jamaah tidak perlu disembelih dan halal dimakan.

“Mereka juga hanya perlu melakukan sembahyang Jumaat di rumah dengan menyatakan sembahyang Jumaat di masjid hanya adat saja, tidak perlu meletakkan al-Quran di tempat yang suci kerana tiada al-Quran yang betul di dunia dan boleh mengampunkan dosa dengan mengisi borang tebus dosa yang disahkan oleh pemimpin, ” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Operasi yang dijalankan membabitkan 34 anggota JAIS, 30 anggota polis Kajang serta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) itu turut menahan orang kuat kepada pemimpinnya, Amir Herman Amirruddin yang bertindak mengimamkan solat Jumaat yang dijalankan di surau persendirian itu.

Selain mengadakan solat Jumaat di surau persendirian tanpa kebenaran mufti, kumpulan ini juga dipercayai menjalankan nikah sindiket diwalikan oleh pemimpin dengan hanya mengisi beberapa borang yang disaksikan oleh pengikutnya.

Mohamad Rais berkata, setakat ini JAIS mengadakan kerjasama dengan pihak Imigresen bagi menahan pemimpin ajaran itu di mana-mana lapangan terbang atau laluan lain bagi mengelak berlakunya penularan semula ajaran itu di Hulu Langat.

Beliau berkata, semua pengikut ajaran sesat yang ditahan itu dibawa ke Mahkamah Syariah Hulu Langat bagi tujuan jaminan tahanan
sementara dan direman sehingga Selasa ini bagi tujuan pendakwaan.

No comments

Powered by Blogger.