Nasihat Lim Kit Siang wajar – Khalid Samad

SHAH ALAM, 29 Nov – Ahli Parlimen Shah Alam,menyifatkan amaran yang diberikan Penasihat DAP, Lim Kit Siang kepada DAP Selangor bahawa Pakatan Rakyat (Pakatan) berkemungkinan akan tewas dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang jika tidak bersatu padu adalah wajar.

Khalid Samad berkata, ketiga-tiga parti kompenan Pakatan wajar mengambil berat amaran dan pandangan tokoh politik itu agar kekalahan Pakatan di beberapa pilihan raya kecil (PRK) lepas dapat dijadikan panduan.

“Peringatan dan amaran Lim Kit Siang merupakan satu amaran yang wajar diambil berat oleh semua parti-parti dalam Pakatan dan pemimpin-pemimpin dalam pakatan rakyat.

Khalid berkata, demikian ketika dihubungi SelangorKini bagi mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang berhubung amarannya kepada DAP Selangor agar sentiasa bersedia serta bersatu padu dalam menghadapi cubaan Umno-Barisan Nasional (BN) menggagalkan usaha Kerajaan Negeri Pakatan melakukan reformasi.

Sebelum ini, Lim Kit Siang yang juga Ketua Ahli Parlimen DAP itu menyeru perwakilan supaya menyokong wakil-wakil parti yang berada dalam kerajaan Selangor sebagai tanda kesatuan yang utuh.

Beliau melahirkan rasa khuatir dengan sikap lewa sesetengah pemimpin dan ahli yang beranggapan Umno dan BN tidak mungkin dapat menewaskan Pakatan di Selangor.

Tambah Khalid, sekiranya pentadbiran kerajaan negeri-negeri pakatan rakyat dapat meneruskan prestasi cemerlang mereka, beliau yakin usaha ini akan dapat merealisasikan matlamat Pakatan menuju ke Putrajaya.

“Hargai rakyat dan mereka akan terus memberi amanah kepada kita untuk memerintah, malahan insya-Allah bukan sekadar negeri-negeri sedia ada, termasuk negeri-negeri yang lain dan juga peringkat pusat,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.