Melayu yang kerjanya makan Melayu

Oleh Kassim Muhammad

‘Melayu’ sebagai komoditi .‘Melayu’ itu jenama yang biasa dijual-beli di pasaran. Bergantung pada tempatnya, ‘Melayu’ itu boleh ― dan laku jika diniagakan. Biasanya di kebanyakan tempat, hanya ‘Melayu’ yang diterima sebagai bahan perdagangan dan cagaran. Untuk itu ramai yang berlumba-lumba supaya cepat-cepat, lekas-lekas dan segera pula menjadi ‘Melayu.’

Ramai juga yang marah-marah kerana katanya segala yang buruk-buruk tentang ‘Melayu’ itu dijaja sepanjang masa, di mana saja, seolah-olah tak ada lagi yang baik tentang ‘Melayu’.

Usman Awang pernah bersajak tentang ‘Melayu’ dan sesekali sajak penyair yang romantis-kritis ini dipetik oleh pemimpin yang mahu tingkatkan aroma ‘Melayu’nya.

‘Melayu’ laris dan laku untuk memperolehi tender, diskaun dan konsesi walaupun yang memohonya sudah berlipat kali jadi jutawan. Halaman rumah sudah penuh dengan kereta-kereta mewah sehinggakan tak ada lagi tempat untuk memakir armada keretanya.

Seorang anak sering juga melihat betapa mudahnya sang bapa menjana rezeki kerana hubungan keramat ‘Melayu’nya. Lebih bagus, jika bapa itu Ketua Bahagian kerana itulah lubuk dan lesen besar buat mencengkau dana.

Ramai yang berniaga dengan lesen jenama “Melayu’ dan dengannya memperolehi kontrak berjuta-juta supaya dijual kepada Cina dengan memakan persen. Kerja makan dan tidur tetapi menjadi kaya kerana lesen besar “Melayu’ adalah kerja paling mudah dan inovatif.

Anehnya masih ramai ‘Melayu’ berbangga dan tebal muka menjadi kaya raya walaupun tanpa bekerja. Untuk terus mendapat kontrak, habuan dan dana, ketaatan mutlak adalah syarat yang paling utama.

Menjadi kaya tanpa perlu bekerja ini dan menambahkan lemak perut dan lemak-lemak di bawah dagu adalah perjuangan mempertahankan ketuanan ‘Melayu.’

ii.

Ada ‘Melayu’ Ulu Tembeling yang bertungkus lumus menyara anak-anak supaya membesar dan menjadi manusia berguna. Namun ‘Melayu’ kerap juga dicemuh kerana katanya ke menara gading kerana kuotanya, bukan kerana ilmu, ketrampilan dan wibawanya.

Tahun yang baru lalu, Melayu dhaif Ulu Tembeling ini sudah pun menjual tanah pusakanya untuk sekolahkan anak sulungnya.

Dan para pemimpin ‘Melayu’ dari pelbagai lapisan masyarakat yang itu, masih juga menjerit-jerit bahawa ‘Melayu’ dan ketuanannya, mestilah dipertahankan. v iii.

Nah, ini pesanan ringkas, sms yang baru kuterima dari seorang teman, di Utara:

“Pagi ini dah bercupak aku maki xxxxxx tu sampai dadaku sakit.”

Usman,

Ada lagikah sajak-sajakmu tentang ‘Melayu’ yang hanya pandai menipu ‘Melayu’ ini? Jika ada, biarlah kubaca di mana-mana saja. http://barabarajiwa.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.