Pakatan perlu sedia hadapi pilihanraya

Oleh Fazy Sahir

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Pakatan Rakyat (PR) masih melihat beberapa aspek penting dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum ke 13.

Namun, Khalid yang ditemui enggan memberitahu butiran lanjut berhubung strategi Pakatan, sebaliknya berkata persediaan itu perlu dilakukan dari sekarang.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai strategi kami (Pakatan) tetapi saya nasihatkan kita perlu bersedia daripada sekarang.

"Kita akan lihat aspek di Malaysia persediaan apa yang pemimpin dan parti harus lakukan," katanya dalam sidang media selepas persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri Pakatan Rakyat di sini.

Pakatan Rakyat merupakan gabungan DAP, PKR dan PAS menjadi kerajaan negeri di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Khalid turut menafikan persidangan kali ini membincangkan tentang persediaan pilihan raya tersebut.

Sebaliknya persidangan yang masuk kali kedua itu katanya adalah untuk membincangkan sistem pentadbiran dan politik di negeri-negeri Pakatan.

"Tiada…kami tidak bincang tentang pilihan raya dalam persidangan ini. Kami bincang tentang sistem pentadbiran dan politik negeri Pakatan dalam meneruskan cita-cita rakyat seperti apa yang kita janjikan dahulu.

"Kita bincang Pakatan sebagai kumpulan politik malah setiap menteri besar daripada kita sendiri memberi ucapan dalam bengkel yang telah diadakan hari ini.

"Persidangan ini juga mengimbas kembali usaha -usaha dilakukan Pakatan pada Mac 2008 dan kita mahu kongsi pengalaman ini bersama-sama dan bekerjasama untuk bangunkan negeri kami," katanya.

No comments

Powered by Blogger.