Ketelusan JPP menjadi tanda tanya-Perwakilan

Oleh Jamilah Kamarudin

PETALING JAYA: Ketelusan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengendalikan proses pemilihan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) dan Majlis Pemilihan Pusat (MPP) dipersoalkan dalam sesi perbahasan ucapan dasar Presiden PKR hari ini.

Perwakilan daripada Perak Zulkifli Ibrahim dalam perbahasannya berkata, ketelusan JPP boleh dipersoalkan kerana terdapat banyak khabar yang mengaitkan jawatankuasa bebas itu dengan penglibatan dan campur tangan individu tertentu.

Sambil merujuk kepada pengalamannya sendiri, beliau mendakwa sudah mengemukakan bantahan proses pemilihan MATC dikawasannya sebanyak tiga kali kepada JPP namun sehingga sekarang beliau masih menerima respon negatif daripada JPP yang mengatakan aduan itu masih belum disiasat.

"Kita musykil adakah siasatan aduan ini akan terhenti selepas tamatnya kongres atau akan berterusan?

"Kita kritik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kita sepatutnya bagi contoh yang baik kepada SPR bahawa kita parti demokrasi parti tapi kita sendiri tidak bersikap sedemikian.

"Jangan takut untuk katakan sesuatu yang benar jika sayangkan parti," katanya sambil diiringi tepukan gemuruh para perwakilan yang lain.

Sementara itu, perwakilan daripada Sarawak Granda Anak Aing dalam perbahasannya menggesa agar pemimpin tertinggi PKR memberi lebih banyak peluang kepada ahli PKR daripada Sabah dan Sarawak untuk menempatkan diri dalam jawatan parti.

Beliau berkata perkara ini perlu dipandang lebih serius memandangkan perlunya barisan kepimpinan untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi dan dijangka berlaku pada awal tahun depan.

"Saya mewakili suara rakyat Sarawak mohon bantuan jentera daripada PKR Pusat dan negeri supaya bersiap sedia menghadapi pilihan raya Sarawak dan anggaplah ia serius sepenting Pilihan Raya Umum (PRU).

No comments

Powered by Blogger.