Memanah Mungkin Digugurkan Daripada Program 'Road To London 2012' - Ahmad Shabery

SEPANG, 28 Nov (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menimbangkan kemungkinan untuk menggugurkan acara sukan memanah daripada program 'Road To London 2012' berikutan pencapaian kurang memuaskan skuad memanah negara ketika beraksi pada Sukan SEA di Laos, Sukan Komanwel di New Delhi dan Sukan Asia di Guangzhou.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pertimbangan tersebut dibuat berikutan kegagalan skuad memanah membawa pulang sebarang pingat dari Guangzhou.

"Kita amat kecewa apabila acara yang disenaraikan dalam program 'Road To London 2012' gagal menunjukan pencapaian positif dan perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku," katanya kepada pemberita ketika menyambut ketibaan ketua kontinjen negara Datuk Zolkples Embong dan atlet karate yang baru tiba dari Guangzhou, China.

Selain memanah, tiga lagi acara sukan yang berada di bawah program 'Road To London 2012' ialah badminton, berbasikal dan terjun.

Ahmad Shabery berkata selepas menerima laporan post mortem, kajian akan dibuat terhadap acara sukan yang mempunyai keupayaan menyumbang pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik 2012.

Beliau berkata KBS berkemungkinan besar akan memasukan sukan menembak bagi menggantikan sukan memanah ke dalam program 'Road To London 2012'.

Skuad menembak negara berjaya menunjukkan pencapaian positif di Guangzhou apabila berjaya membawa balik satu pingat gangsa menerusi Nur Suryani Mohamed Taibi dalam acara 10m Air Rifle Wanita.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap pencapaian buruk dan memalukan skuad olahraga negara yang gagal meraih sebarang pingat di Guangzhou.

"Bagi membaiki keadaan tersebut, kita akan melakukan rombakan besar kepada rancangan pembangunan atlet olahraga selepas menerima laporan post mortem," katanya.

Skuad olahraga negara gagal mempertahankan pingat perak yang diperoleh oleh Roslinda Samsu, empat tahun lepas menerusi acara lompat bergalah wanita dan Noraseela Monhd Khalid dalam acara lari berpagar 400m wanita.

Malaysia memperbaiki kedudukan pungutan pingat pada temasya kali ini dengan berada di tangga ke-10 di kalangan 45 negara dengan mengumpul sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa.

Sembilan pingat emas negara disumbang menerusi acara wushu (satu pingat emas), berbasikal (satu), boling (dua), karate (dua) dan skuasy (tiga).

No comments

Powered by Blogger.