PTPTN ganti dengan ‘Biasiswa Rakyat Malaysia’ – AMK

PETALING JAYA, 28 Nov - Angkatan Muda KEADILAN (AMK) meminta kerajaan menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) untuk digantikan dengan ‘biasiswa rakyat Malaysia’ bagi golongan mahasiswa.

Wakil AMK, Yusmadi Yusoff, menyifatkan pinjaman itu membebankan mahasiswa sedangkan pendidikan merupakan salah satu daripada hak asasi manusia.

“Hak pelajar daripada hasil mahsul negara bukan daripada tawar-menawar pak menteri, kerana hak pelajar (itu) adalah hak asasi manusia.

“Sehubungan itu, KEADILAN perlu mencadangkan (satu) biasiswa rakyat Malaysia,” katanya ketika membahaskan usul pendidikan dalam Kongres KEADILAN di sini hari ini.

Yusmadi yang juga Ahli Parlimen, Balik Pulau, berkata, pinjaman itu menyebabkan mahasiswa dicop sebagai ‘penghutang’ selepas mereka tamat pengajian.

“(Apabila) tamat belajar, sudah ada cop dekat dahi, hutang RM15 ribu. Hendak kahwin, hutang lagi. Hendak berniaga, hutang lagi,” katanya sambil disambut gelak ketawa para perwakilan.

Dalam perbahasan itu juga, beliau mencadangkan supaya timbalan presiden KEADILAN, Dr Syed Husin Ali menjadi ketua dalam bidang pendidikan dalam parti yang disifatkannya sebagai ‘Universiti Masyarakat’.

“Didiklah kami, anak muda, kami akan lawan, lawan sampai ke Putrajaya,” katanya sambil menambah ketokohan Dr Syed Husin dalam bidang akademik sudah terbukti sebelum ini.

No comments

Powered by Blogger.