Cadangan lantik Dr Syed Husin sebagai Canselor Unisel

PETALING JAYA, 28 Nov – Kerajaan negeri Selangor dicadang melantik Timbalan Presiden Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) Dr Syed Husin Ali, sebagai Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Wakil Srikandi, KEADILAN, Farah Afzan Faridi berkata, Syed Husin merupakan calon terbaik untuk jawatan Canselor Unisel dan memohon agar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertimbangkan cadangan ini.

”Kita pasti Dr Syed Husin boleh menunaikan hasrat pelajar Unisel,” katanya ketika membahaskan usul pendidikan pada hari terakhir Kongres Nasional Tahunan ke-7 di sini, hari ini.

Pada 20 Nov lepas, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengumumkan pengundurannya sebagai Canselor Unisel bagi memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak melalui program Permata dan kemudian pengunduran itu diperkenankan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Perwakilan KEADILAN Pulau Pinang, Mohd Rashid Hasnon pula mencadangkan agar Biro Pendidikan dan Latihan parti diperkemaskan lagi supaya segala dasar dan matlamat perjuangan parti dapat diperjelaskan secara jitu kepada anggota.

Beliau berkata, dengan masa yang ada, biro itu harus bersikap agresif memandangkan pemahaman jitu anggota terhadap dasar-dasar parti adalah satu perkara penting dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Sementara itu, perwakilan dari Johor, Abdul Shukor Ayob pula mencadangkan agar dunia akademik pelajar di universiti tidak dikekang dengan pengaruh politik.

- Bernama

No comments

Powered by Blogger.