Kemenangan Saya Bukan Kerana Pengaruh Dan Sokongan Anwar, Kata Azmin Ali

PETALING JAYA, 28 Nov (Bernama) -- Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baru Mohamed Azmin Ali berkata beliau memenangi jawatan itu kerana dipilih oleh anggota parti dan bukannya kerana pengaruh Ketua Umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menafikan bahawa beliau mendapat sokongan daripada Anwar sejak dicalonkan untuk bertanding merebut jawatan itu ketika ditanya semasa sidang media di akhir Kongres Tahunan Ketujuh PKR di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata seramai 30,000 anggota parti keluar mengundi semasa pemilihan pusat yang berakhir minggu lepas dan kebolehan mereka dalam menilai kepimpinan parti tidak boleh diperkecilkan.

Beliau berkata anggota parti melihat rekod calon-calon seperti beliau yang telah bersama parti lebih sedekad dan kemudian membuat pertimbangan mereka.

"Anwar favour semua yang loyal kepada parti... takkan you nak pertikai kesetian saya," katanya lagi. Mohamed Azmin berkata beliau telah bersama PKR selama 12 tahun dengan 10 tahun daripadanya menjadi Naib Presiden parti.

Pada persaingan jawatan Timbalan Presiden itu, Mohamed Azmin menangi dengan memperoleh 19,543 undi daripada 218 cabang yang melakukan pengundian.

Beliau berkata beliau tidak ada masalah untuk bekerja dengan barisan kepimpinan yang baru termasuk Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ditanya mengenai kedudukan bekas Naib Presiden parti Mustaffa Kamil Ayub yang menjadi pesaing beliau bagi jawatan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin berkata biro politik PKR akan menentukan tugasan kepada Pengerusi PKR Perak itu dalam tempoh terdekat.

Mustaffa Kamil dalam ucapan penggulungannya, berkata beliau menerima kekalahan itu dan berikrar akan terus kekal bersama parti.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.