Mustaffa Kamil Ayub kekal dalam KEADILAN

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Pengerusi Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN), Perak, Mustaffa Kamil Ayub, menjelaskan bahawa beliau tidak akan meninggalkan parti itu walaupun tewas dalam pemilihan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden.

Bekas Naib Presiden KEADILAN yang lantang menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap proses pemilihan parti itu, berkata, beliau telah diajak bekas pemimpin KEADILAN, Datuk Zaid Ibrahim untuk menyertai parti baru tetapi menolaknya kerana mahu
kekal dalam KEADILAN.

“Kalah menang perkara biasa. Saya pernah kalah dalam pemilihan sebelum ini tetapi saya tetap berjuang dalam KEADILAN. Saya muncul kerana mahu penambahbaikan… bukannya mahu desak Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur. Jangan salah faham, sebab saya hanya bersama Zaid kerana proses pemilihan.

“Saya mahu perbaiki proses pemilihan. Saya perlu suarakan suara akar umbi. Walaupun ia mungkin pahit, kita mahukan yang terbaik. Kita mahu KEADILAN menjadi model terbaik. Aduan bukan soal melemahkan parti,” katanya pada sesi penggulungan di hari terakhir Kongres Tahunan Parti KEADILAN ke-7 di sini.

Mustaffa Kamil mengakui bekas naib presiden Mohamed Azmin Ali mempunyai kelebihan sehingga berjaya dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baru bagi menggantikan Dr Syed Husin Ali yang tidak mempertahankan jawatan itu.

BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.