YTL Tidak Pernah Diberi Tugasan Menawarkan Siaran TV Berbayar Guna 700Mhz

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjelaskan bahawa tiada tugasan spektrum diberi kepada syarikat YTL Communications Sdn Bhd (YTL) untuk menawarkan siaran televisyen berbayar menggunakan 700Mhz sebagaimana yang dilaporkan beberapa media.

Dalam satu kenyataan di sini, SKMM berkata lesen operasi yang diberikan kepada YTL pada 30 Ogos lepas adalah lesen individu bagi 'content applications service provider' (CASP) untuk membekalkan perkhidmatan langganan perkhidmatan Internet Protocol Television (IPTV) menggunakan 2.3GHz WiMax milik syarikat berkenaan.

"SKMM ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada tugasan spektrum diberi kepada YTL dalam jalur spektrum 700MHz bagi siaran TV berbayar, jadi beberapa laporan dan komen berhubung pemberian spektrum itu adalah tidak tepat," menurutnya kenyataan itu.

Menurutnya beberapa media membuat laporan serta komen sejak beberapa bulan lepas kononnya spektrum 700Mhz akan diberikan kepada YTL bagi melaksanakan perkhidmatan televisyen hibrid yang dirancang hujung tahun depan, dan ia juga boleh digunakan untuk meluaskan perkhidmatan jalur lebarnya.

"SKMM juga ingin menjelaskan bahawa ia sedang mengkaji satu pelan perniagaan terperinci yang dikemukakan oleh YTL untuk pelaksanaan siaran tv digital berbayar, dan bukan perkhidmatan 4G mobile sebagaimana yang dilaporkan sesetengah media," menurutnya.

SKMM berkata di bawah Rancangan Spektrum Nasional Malaysia, jalur spektrum 700MHz hanya khusus kepada perkhidmatan penyiaran, dan bukannya bagi 'Long-Term Evolution' (LTE) atau perkhidmatan 4G mobile.

"Pemilikan semua jalur spektrum masih kekal dengan kerajaan Malaysia," menurut kenyataan itu.

No comments

Powered by Blogger.