BN kering idea, terpaksa tiru Pakatan Rakyat


Komentar Roketkini

22 OGOS – Dalam keadaan serba daif tanpa mempunyai peruntukan dana berbilion ringgit, Jawatankuasa Bajet Pakatan Rakyat berjaya menghasilkan kajian untuk membebaskan rakyat daripada belenggu ekonomi, dengan menumpukan kepada 60 peratus isi rumah Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Dua minggu setelah jawatankuasa Pakatan tersebut membuat pengumuman itu, kerajaan Barisan Nasional tanpa segan-silu telah meniru pendekatan itu.

Semalam, kerajaan BN mengumumkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) sedang mengenal pasti langkah terbaik bagi membantu golongan berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Media melaporkan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah menyatakan kerajaan BN memandang serius perkara itu kerana mendapati golongan yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan menerima kesan secara langsung ekoran kenaikan harga barang.

Pandai tiru, malu mengaku

Walau pun BN malu untuk mengakui ia meniru cadangan pembangkang, ini tidak menjadi hal kepada Pakatan kerana ia adalah sebahagian usaha untuk mewujudkan satu budaya baru, iaitu budaya berbincang dasar dan persaingan dasar yang sihat dan ilmiah supaya kesimpulan yang baik dapat dicapai.

“Dan yang terbaik itu perlu dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan demi kebaikan rakyat,” kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong yang menganggotai jawatankuasa bajet alternatif Pakatan.

Beliau menambah, Pakatan telah pun bersedia bersikap terbuka jika BN berhasrat untuk meniru bajet Pakatan, asalkan yang beroleh faedah ialah rakyat jelata.

Liew turut berharap BN meniru idea Pakatan secara lebih meluas lagi, termasuk mengubah dasarnya kerana tumpuan masa kini terhadap kroni mereka sahaja telah menjejaskan kehidupan rakyat.

Apa pun, walau pun memang baik untuk BN meniru perkara-perkara yang baik demi kebaikan rakyat, ia agak memalukan kerana BN terpaksa mencuri idea orang lain tanpa memberi pengiktirafan yang sewajarnya.

Apatha lagi apabila disedari bahawa berbilion ringgit wang rakyat dan hasil negara digunakan untuk mewujudkan pelbagai entiti yang semakin sukar untuk dihafal nama-mana mereka seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP), Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan banyak lagi.

Begitu juga dengan program-program ekonomi yang berbunyi seperti kedai cenderamata, contohnya kedai barang 1Malaysia di bawah Projek Transformasi Kedai Runcit (Tukar), yang mana ia pula diletakkan di bawah Projek-Projek Permulaan (EPP).

Apa guna kedai 1Malaysia jika kroni bermaharajalela

Jadi apa peranan kedai 1Malaysia jika masalah ekonomi yang berpunca daripada kemelut ekonomi cpitaan BN melalui kronisme dan salah guna kuasa terus berleluasa?

Masalahnya ialah walau pun puluhan singkatan nama diwujudkan dengan belanja yang amat besar, pembaziran, salah guna sumber kewangan dan member keutamaan kepada kroni masih menjadi amalan lumrah kerajaan BN.

Liew menjelaskan monopoli yang wujud sekarang menyebabkan rakyat menderita kesan kenaikan harga dan tekanan belanja keluarga, dan ini akan berterusan bagi bulan-bulan mendatang.

Sayangnya, apabila rakyat berdepan dengan masalah serius ini, kerajaan BN bersikap seperti melepaskan batuk di tangga. Selain program-program bersifat kosmetik yang indah dengan singkatan-singkatan nama, BN seperti mana biasa apabila gagal menyelesaikan masalah rakyat, hanya mampu menyalahkan pihak luar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, dipetik media sebagai berkata, kerajaan BN tidak mempunyai kuasa menentukan kenaikan harga barang kerana ia “ditentukan oleh pasaran dunia”.

Persoalannya ialah, adakah pasaran dunia bertanggungjawab dengan keputusan kerajaan BN memberi monopoli padi dan beras kepada Bernas atau monopoli kartel MAS- Air Asia yang bakal menghadkan pilihan rakyat dan seterusnya menghadapi kemungkinan kenaikan tambang udara?

Persoalannya ialah, adakah pasaran dunia bertanggungjawab dengan keputusan kerajaan BN untuk memotong subsidi bagi barang dan perkhidmatan keperluan rakyat sedangkan subsidi untuk kroni-kroni dikekalkan?

Persoalannya ialah, adakah pasaran dunia bertanggungjawab dengan masalah korupsi, kronisme dan salah guna kuasa kerajaan BN yang menyebabkan ekonomi terbantut?

Mangsanya tetap rakyat jelata

Yang telah, sedang dan akan terus menjadi mangsa jika BN kekal berkuasa ialah rakyat jelata. Malah kalangan Melayu, khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana rendah, yang menyangka UMNO dan BN adalah pelindung mereka buat selama-lamanya adalah antara yang paling teruk dilanda kesan kemelut ekonomi negara.

Justeru, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, sewaktu melancarkan kempen anti-harga barang naik atau “Protes BN” semalam, telah meminta orang Melayu mengikis sikap acuh tak acuh berhubung isu rasuah dan salah guna dana awam.

Beliau berharap orang Melayu meniru sikap positif kaum Cina yang berani bertegas dalam pilihan raya untuk menolak calon-calon dari parti pemerintah yang tidak menunaikan amanah sebagai kerajaan yang bertanggungjawab.

Beliau turut meminta orang Melayu tidak terlalu emosi dengan bergantung kepada isu perkauman dan keagamaan yang telah dipolitikkan, sebaliknya perlu lebih sensitif kepada isu-isu pembaziran dan rasuah.

Sama ada BN mahu terus meniru idea Pakatan atau tidak, ia bukan persoalan utama. Isunya ialah sejauh mana rakyat sanggup menahan derita dibohongi BN, dan apabila BN terdesak, difitnah pula dengan isu-isu kaum dan agama. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.