Kos perjudian atasi hasil pendapatan


SM Mohamed Idris

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong sepenuhnya kenyataan Menteri Kesihatan baru-baru ini bahawa kementerian itu menganggap perjudian satu penyakit dan ketagihan yang serius, sesuatu yang telah lama CAP perjuangkan.

Kami merasakan bahawa ini adalah satu permulaan yang baik dan satu langkah untuk menuju ke arah yang betul tetapi perundangan yang tegas diperlukan untuk mengelakkan orang ramai mendekati dan mudah untuk berjudi.

CAP ingin menarik perhatian terhadap kesan perjudian dan menggesa kerajaan menangani dengan segera masalah ini. Kami kesal dengan tindakan 'tunggu dan lihat' atau sebarang inisiatif yang menangani simptom atau kesan negatif perjudian dengan tidak mempedulikan sumber atau faktor penyebab.

Ketagihan terhadap perjudian merentasi etnik, usia, status sosioekonomi dan jantina. Berjudi untuk keseronokan atau untuk menghabiskan masa lapang dengan mudah boleh menjadi ketagih, yang kemudiannya dikaitkan pula dengan bahaya terhadap mental, sosial dan fizikal.

Wang yang sepatutnya digunakan untuk membayar bil, cukai, dan untuk lain-lain keperluan keluarga sebagai ganti digunakan untuk berjudi. Ketagihan itu telah menyebabkan hilangnya wang simpanan, tabungan pendidikan anak-anak, bayaran perumahan, tabungan persaraan, dan wang untuk urusan penting yang lain.

Mereka terpaksa berbohong kepada sesiapa sahaja atau meminjam daripada keluarga dan rakan atau lebih malang lagi meminjam daripada along untuk mengekalkan tabiat berjudi mereka.

Perjudian boleh menghancurkan atau memusnahkan hubungan, dan membawa kepada kekecewaan yang menyebabkan mereka bertindak secara haram seperti mencuri daripada perniagaan, pelanggan atau majikan mereka.

Penagih judi juga mungkin melakukan jenayah untuk membiayai perjudian mereka, menyebabkan bahaya kepada mangsa dan keluarga mereka serta diri sendiri dan melibatkan kos dalam sektor keadilan jenayah.

Kos sosial perjudian amat besar dan jauh mengatasi faedah ekonomi kepada kerajaan. Dikatakan bahawa masalah seorang penjudi memberi kesan kepada 7 - 17 orang yang lain, menunjukkan sebahagian besar penduduk menghadapi bahaya daripada masalah perjudian seperti kemusnahan kewangan, kehancuran perhubungan, keganasan rumah tangga, aktiviti jenayah, kemurungan dan bunuh diri. Kesan penagihan judi amat luas dan dalam.

CAP juga mengalu-alukan rancangan penubuhan majlis negara pada tahun ini untuk melihat pelbagai layanan dan program kesedaran pendidikan untuk menangani “masalah perjudian” di negara ini.

Bagaimanapun kami merayu kerajaan agar melaksanakan langkah yang berikut:

Tarik balik cabutan khas

Menggalakkan perjudian bukanlah jawapan kepada rangsangan ekonomi atau mengumpulkan sumber hasil kerajaan daripada cukai aktiviti perjudian.

Kerajaan perlu mengurangkan loteri dan cabutan mingguan empat nombor ekor (4-D), Toto dan lumba kuda oleh syarikat perjudian serta cabutan khas untuk mengurangkan tabiat berjudi. Kerajaan perlu dilihat menangani masalah ini sebagai ganti menghasilkan dan membolehkan ketagihan berjudi.

Pendekatan kesihatan awam

Kita perlu mempunyai pendekatan kesihatan awam yang digunakan untuk mengatasi bahaya perjudian termasuk masalah judi. Contohnya di New Zealand, Kementerian Kesihatan di sana mempunyai 'Program Kesedaran dan Pendidikan Masalah Perjudian' untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan bagi mendapatkan bantuan untuk mereka yang memerlukan.

Melalui program kesihatan awam, kerajaan boleh menyedarkan masyarakat untuk memahami bahaya perjudian dan membina sokongan awam bagi langkah mencegah dan mengurangkan perjudian, bagi menghasilkan komuniti dan keluarga yang lebih selamat.

Pada masa yang sama, kaki judi perlu diberi kaunseling dan sokongan untuk mencegah atau menguruskan tabiat perjudian mereka yang berisiko. Ini akan membantu menghapuskan bahaya yang dicetuskan oleh individu atau keluarga oleh perjudian.

Perundangan

Kita memerlukan peraturan dan perundangan yang lebih ketat dan tegas terhadap pelbagai bentuk perjudian yang telah menular dalam masyarakat moden termasuk perjudian dalam talian. Hampir kepada kasino dan amalan perjudian lain secara langsung berkaitan perjudian.

Peraturan perlu dikuatkuasakan untuk melindungi orang ramai daripada kemudahan untuk memuaskan tabiat berjudi sama ada melalui kasino, mesin judi atau melalui cabutan.

Matlamat utama 'kerajaan rakyat' seharusnya adalah untuk mengurangkan insiden perjudian dan masalah perjudian dan kesan ketagihan judi terhadap kehidupan individu dan masyarakat.

Kita perlu menimbangkan bagaimana ramainya rakyat Malaysia yang kerugian akibat berjudi - kos terhadap setiap orang tidak dapat diukur dan pertimbangan peningkatan kedai judi yang boleh didapati dan kekurangan perlindungan terhadap tabiat itu.

Kerajaan telah mewujudkan kaki judi yang telah menjadi ketagih kepadanya setiap minggu dan cabutan khas yang dibenarkan. Adalah tidak benar perjudian memacu pembangunan ekonomi dan kosnya terhadap keluarga, masyarakat dan negara mestilah dipertimbangkan dengan serius.

Lebih banyak kemudahan untuk berjudi akan menimbulkan masalah yang lebih besar, kami amat berharap kerajaan akan meletakkan kesihatan rakyat negara ini lebih utama mengatasi faedah daripada perjudian.
Penulis adalah presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

No comments

Powered by Blogger.