Panas!! Pengarah Pelajaran Kelantan Kempen Untuk BN?

Ramai guru di sini mengeluh panjang kerana dipaksa hadir pada program Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) bersama pemimpin Umno di sebuah sekolah baru-baru ini. Lebih mengejutkan lagi mereka dikehendaki menandatangani kedatangan di majlis yang dinamakan sebagai ‘makan colek’ di dewan sebuah sekolah menengah. Program berkenaan diadakan jam 10 hingga 12 malam yang menyaksikan pengarah JPN, pemimpin Umno menghentam kerajaan negeri, PAS dan membangkitkan semula isu Ladang Rakyat. Guru terbabit yang enggan nama didedahkan memberitahu beliau terpaksa hadir kerana perlu menandatangani kedatangan pada majlis berkenaan. “Kalau tidak dipaksa hadir berapa kerat sangat guru-guru di sini yang mahu datang.


Namun kerana terpaksa saya datang juga biar pun sudah agak lewat malam. “Tidak pernah berlaku lagi dalam sejarah seorang pengarah datang berkempen secara terang-terangan berceramah bersama pemimpin Umno di sini,” katanya. Beliau yang berpengalaman mengajar di luar Kelantan memberitahu terkejut dengan kerenah politik begitu kuat menguasai sektor pedidikan di negeri ini.Sedangkan katanya banyak negeri tempat beliau mengajar pengarah naik pangkat bukan kerana politik, sebaliknya kelayakan.

“Di negeri ini saya diberitahu mereka yang menguasai JPN sejak 1990 dilantik kerana ihsan politik dan bukan kelayakan sebenar. “Sebelum ini saya hanya dengar rakan-rakan yang menceritakan situasi itu, namun apabila balik mengajar di negeri sendiri barulah saya tahu kerenah politik begitu dahsyat,” katanya.

Menurutnya selepas pengarah berceramah, Timbalan Ketua Umno Gua Musang, Datuk Nozula Mat Diah pula berucap dengan menggunakan peluang menghentam PAS dan kerajaan negeri. JPN Kelantan sekarang diketuai Hussain Awang difahamkan berasal dari Machang.

Seorang lagi guru mendakwa dalam ucapan di majlis berkenaan Hussain merayu guru-guru yang hadir memastikan keluarga mereka menyokong Umno dan BN pada pilihan raya akan datang. Program makan colek itu difahamkan pada peringkat awal mengundangkan Tengku Razaleigh Hamzah, namun beliau digantikan Nozula.

Politik Umno menguasai JPN begitu ketara ketika di bawah Datuk Shafie Ismail dan Rahman Ali. Kedua-dua pengarah terbabit dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan. Malah ketika JPN di bawah Shafie guru-guru dipaksa menandatangani kedatangan hadir pada program bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

No comments

Powered by Blogger.