Melayu pecah: Kerajaan enggan dengar input rakyat juga punca, kata pakar


Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Bersetuju dengan pandangan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, Profesor Madya Mohammad Agus Yussoff menegaskan perpecahan Melayu yang didakwa semakin parah turut disebabkan tindakan kerajaan tidak mahu mendengar pandangan berbeza daripada rakyat.

Selain itu tegas pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), perpecahan Melayu juga berpunca daripada tindakan kerajaan mengetepikan hak orang Melayu sepertimana yang berlaku di Kelantan.

“Saya setuju sangat dengan padangan Harussani tapi saya nak tambah lagi dua iaitu perpecahan Melayu juga berpunca dari sikap kerajaan yang tidak mahu buka telinga dan dengar pandangan yang berbeza daripada rakyat... kalau kerajaan tidak mahu orang Melayu berpecah, kerajaan perlu dengar dan terima pandangan yang berbeza sebab itu punca orang Melayu berpecah tapi masalahnya kerajaan takut nak dengar.

“Berpecah orang Melayu ini juga sebab diskriminasi dan ketidakadilan kepada orang Melayu itu sendiri seperti mana yang berlaku di Kelantan sebab itu perpecahan ini berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dalam Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti baru-baru ini, Harussani berkata perpecahan di kalangan Melayu berlaku disebabkan pentadbiran negara yang cukup lemah, rasuah dan tidak amanah.

Harussani juga berkata, orang Melayu berpecah selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

Tegas Agus, perpecahan Melayu boleh dielakkan sekiranya kerajaan menerima setiap kritikan dan pandangan berbeza yang dikemukakan oleh sesiapa sahaja termasuk Pakatan Rakyat.

“Sedangkan kerajaan boleh lakukan pelbagai cara dan saya takut perpecahan orang Melayu ini akan meruntuhkan negara, kita ada ramai ahli akademik dan pembangkang yang memberikan pandangan tapi kerajaan tidak mahu dengar.

“Sekarang kita lihat tiada lagi orang Melayu yang berani untuk beri pandangan yang berbeza dengan kerajaan, ini yang menyebabkan kelemahan orang Melayu... kerajaan perlu berani mendengar pendapat yang berbeza,” katanya. Tambah beliau:

“Tiada guna adanya ahli akademik kalau semua jadi pak angguk.”

Agus menambah isu perpecahan Melayu bukan isu politik dan pandangan Harussani perlu diambil berat.

“Ini bukan isu politik, ini pandangan mufti untuk beritahu kenapa orang Melayu lemah dan berpecah.

“Saya setuju dengan pandangan Harusani itu, ia adalah pandangan yang baik tapi kerajaan tidak mahu terima,” katanya.

Pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu tampil membuat penjelasan sama ada bersetuju atau tidak dengan pandangan Harussani itu.

“Apa yang dikatakan Harussani itu antara sebab mengapa wujud perpecahan, barangkali perdana menteri perlu mengeluarkan kenyataan balas sama ada beliau setuju dengan pandangan mufti Perak itu atau tidak.

“Penjelasan harus diberikan supaya tiada lagi spekulasi lain kerana ia keluar daripada Harussani,” katanya.

Jelas beliau, banyak faktor yang menyebabkan perpecahan orang Melayu berlaku bukan hanya tiga perkara yang dibangkitkan Harussani.

“Bagi saya perpecahan orang Melayu itu mungkin berpunca daripada parti politik macam PAS dan Umno dan saya rasa kalau kedua-dua parti ini duduk bertemu perkara ini boleh diatasi.

“Sebab isunya sekarang adalah Melayu-Islam, utamakan perpaduan dan ketepikan fahaman politik dan titik imbangan itu, ini bukan kerjasama politik tapi untuk perpaduan orang Melayu,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.