Apabila 'Father of All Racist' sedih dikecam rasis...

Dr Mahathir sedih dituduh rasis

PETALING JAYA, Dis 14 — Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sedih kerana dituduh rasis sedangkan usaha-usaha diambil kerajaan selama ini bertujuan membantu kaum bumiputera tanpa mengabaikan kepentingan kaum-kaum lain.

Kata beliau langkah-langkah yang telah dilaksana itu tidak bermakna ia bersifat perkauman sehingga melupakan kaum-kaum lain.

“Saya ingatkan bahawa kita bukan rasis tetapi hendak pastikan agihan yang setimpal. Kita tetapkan 30 peratus kuota bumiputera sahaja dan tidak minta lebih,” kata beliau semalam.

Kenyataan beliau itu tidak merujuk kepada mana-mana pihak secara langsung tetapi baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri melabelkan Dr Mahathir sebagai rasis kerana mempertahankan modul kurikulum Biro Tata Negara (BTN).

Dr Mahathir sebelum itu berpendapat kerajaan tidak perlu terperangkap dengan permainan politik pembangkang sehingga perlu merombak modul kurikulum yang diguna pakai oleh BTN dan telah sekian lama dipraktikkan secara berkesan di Malaysia.

Bekas Presiden Umno itu menambah bukan mudah untuk mencapai kuota itu dan bermacam-macam usaha telah dilakukan namun masih ramai yang menuduh ia sesuatu yang tidak adil untuk kaum lain.

“Saya sedih sebab kita cuba berusaha perbaiki keadaan untuk lebih stabil tetapi dituduh rasis.

“Selama ini kita hidup dengan aman damai maka kita semua dapat membangunkan negara.

“Sebab itu kemampuan setiap rakyat Malaysia menjadi lebih baik berbanding di negara lain,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia.

Keseimbangan kedudukan antara kaum amat penting bagi memastikan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara berjalan dengan baik, tambah beliau.

Bagaimanapun kata beliau banyak juga usaha kerajaan untuk memperbaiki keseimbangan itu dianggap sebagai langkah yang bersifat perkauman semata-mata.

“Kita amat bernasib baik. Kita tidak macam negara lain, selalu ada kekacauan kaum sehingga menjejaskan ekonomi.

“Sebab itu perlu ada kestabilan kaum baru pembangunan negara dapat berkembang baik.

“Untuk mencapai matlamat ini, kita mungkin dianggap rasis tetapi percayalah jika satu kaum terlalu ke depan manakala kaum lain ketinggalan jauh ke belakang, akan wujud perasaan tidak puas hati lalu mengakibatkan kesan buruk kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena sambutan Jubli Perak universiti itu di ibu negara.

Menurut beliau, penubuhan UUM 25 tahun lalu merupakan satu daripada langkah kerajaan ketika itu untuk mengimbangi kedudukan kaum bumiputera dengan kaum lain di negara ini dengan memberi penekanan terhadap aspek perniagaan.

Sumber, TheMalaysianInsider

No comments

Powered by Blogger.