Ketua Cawangan UMNO Kata SPRM ‘Ular Sawa’

Oleh: SALIHIN LADJA MURA

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sebelum ini terpalit dengan pelbagai insiden yang memalukan disifatkan sebagai ‘Ular Sawa’ yang hanya makan apabila lapar dan berlingkar tidur setelah kenyang


Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian daripada Bahagian Silam, Kunsul Nahul menegaskan sifat ‘Ular Sawa’ SPRM telah menghakis keyakinan para pembayar cukai yang membayar gaji Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan semua pegawai kanan SPRM yang disifatkan sebagai ular menelan ekor sendiri.

Kunsul yang sebelum ini telah memfailkan laporan rasmi di hadapan lima panel yang ditubuhkan SPRM pada 15 Oktober 2009 terhadap tiga kes iaitu semakan semula dan siasatan kes Michael Chia Tien Foh; Semakan Semula Kes Rasuah Adun Tempasuk Kota Belud; Semakan dan Siasatan Kes Wisma Bandaraya yang menamakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman sebagai tertuduh, mendakwa panel yang ditubuhkan langsung tidak berfungsi dan mengamalkan sindrom ‘Bangau Oh Bangau’ dalam menjalankan tugas mereka.

Menurut Kunsul, beliau menerima sepucuk surat ‘Rahsia’ bil SPRM/BCP:20/37/25 bertarikh 3 November 2009 daripada Sekritariat Jawatankuasa Aduan SPRM yang memaklumkan bahawa;

“Untuk makluman, Sekritariat Jawatankuasa Aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima tiga (3) aduan tersebut pada 15 Oktober 2009. Mesyuarat Khas Jawatankuasa Aduan SPRM bil 6/2009 pada 2 November 2009 telah memutuskan bahawa Jawatankuasa ini tidak mempunyai bidangkuasa untuk mengambil tindakan terhadap aduan tersebut. Sehubungan itu, mesyuarat memutuskan untuk merujuk aduan tersebut kepada Panel Penilaian Operasi SPRM untuk tindakan selanjutnya.”

“Persoalannya, saya telah mengemukakan surat aduan rasmi kepada lima panel yang ditubuhkan SPRM dan bukan hanya kepada Jawatankuasa Aduan, sebaliknya kepada Pengerusi Panel Penilaian Operasi, Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Pengerusi Jawatankuasa Aduan, Pengerusi Panel Penilaian Operasi, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah; tetapi kenapa hanya Panel Jawatankuasa Aduan sahaja yang menjawab surat aduan rasmi saya?”, tanya Kunsul yang menyifatkan kelima panel yang ditubuhkan hanya membazirkan wang rakyat.

Jika Panel Jawatankuasa Aduan, kata Kunsul terpaksa merujuk kepada Panel Penilaian Operasi dan begitulah seterusnya kepada tiga panel lain, apakah sebenarnyha fungsi kelima panel berkenaan yang ditubuhkan untuk menasihat, memantau dan memastikan perjalanan SPRM tidak tergelincir daripada landasan penubuhannya.

“Sewajarnya, bubarkan sahaja SPRM yang semakin lemah dan dihinggapi budaya rasuah terutama gagal menjalankan siasatan terhadap Musa Aman yang secara terang-terangan memiliki bangunan Wisma Bandaraya dan menyewakan bangunan berkenaan kepada Kementerian dan jabatan kerajaan, sedangkan Musa adalah Menteri Kewangan yang bertanggung jawab membayar sewa dan masuk ke kocek beliau sendiri. Bukankah ini rasuah?,” ujar Kunsul lagi yang sebelum ini membela Musa Aman terhadap 81 Dalil yang difailkan Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Tegas Kunsul, jika kes Wisma Bandaraya yang dilengkapi dengan bukti yang nyata gagal disiasat, bagaimana SPRM mahu menghapuskan rasuah di Sabah kerana kerajaan Negeri Sabah adalah sebuah kerajaan yang mengamalkan rasuah dalam pentadbiran dan diketuai oleh Ketua Menteri yang terpalit dengan pelbagai Skandal Rasuah dan salahguna kuasa.

“Sebagai ahli dan Ketua Cawangan UMNO, saya khuatir UMNO terpaksa gulung tikar dan pulang ke Semenanjung Malaysia jika kes rasuah ‘buaya darat’ dan ‘jerung’ gagal ditangani SPRM,” ujar Kunsul yang berjanji tidak akan berhenti membongkar amalan songsang Kerajaan Negeri Sabah yang selama ini dilindungi SPRM.

Kata Kunsul, jika bukan ahli UMNO yang menegur pemimpin UMNO, siapa lagi yang mampu menegur mereka yang semakin menjadikan UMNO sebagai ‘harta peribadi’ dan ‘gedung kekayaan’ dan menyifatkan mereka ini sebagai ‘Pengkhianat’ kepada bangsa Melayu dan Bumiputera Sabah.

(sabahkini)

No comments

Powered by Blogger.