Integrasi Nasional oleh YAB Tun Dr. Lim Chong Eu, Pengasas Ekonomi Pulau Pinang
Integrasi Nasional: Cabaran bagi Malaysia yang berbilang Kaum
Biodata YAB Tun Dr. Lim Chong Eu:
Tun Dato’ Seri Dr. Lim Chong Eu dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1919 dan dikurniakan empat orang anak. Pendidikan awal Tun Dato’ Seri ialah di Penang Free School, menjadi Queen’s Scholar pada tahun 1937 dan memperolehi ijazah perubatan dan surgeri daripada Edinburgh University pada tahun 1944. Setelah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan (Flt. Lieutenant) dengan Malayan Auxiliary Air Force, beliau telah memulakan perkhidmatan perubatan swasta.Sebagai seorang ahli politik, Tun Dato’ Seri telah memegang beberapa jawatan utama dalam parti politik: sebagai Setiausaha Agung Radical Party, Presiden MCA, Setiausaha Agung UDP, Presiden Gerakan, berkesudahan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang (1969–1990).
Sebagai Ketua Menteri, Tun Dato’ Seri juga menjadi Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang. Pada masa yang sama, beliau juga menyumbang sebagai Pengerusi dan Penasihat kepada beberapa badan profesional, sukan dan kebajikan.
Tun Dato’ Seri Dr. Lim telah dikurniakan gelaran “Tun (SSM)” oleh D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan gelaran “Dato’ Seri (DUPN)” oleh Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang. Beliau juga telah dikurniakan pingat oleh Presiden Persekutuan Republik Jerman dan oleh Maharaja Akihito dari Jepun. Tun Dato’ Seri juga dianugerahkan “Honorary Doctorate of Laws” oleh Universiti Sains Malaysia dan “Doctorate in Honoris Causa” oleh Edinburgh University. Pada masa ini, Tun Dato’ Seri juga dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia.
Tun Dato’ Seri adalah juga seorang peminat sukan dan pada masa ini aktif dalam bidang perniagaan sebagai pengerusi syarikat dan juga penasihat beberapa buah syarikat.
Ucapan YAB Tun Dr. Lim Chong Eu di Universiti Sains Malaysia
Saya menganggap jemputan yang diberikan kepada saya oleh Universiti Sains Malaysia untuk memberi ucapan kepada hadirin yang penting dan disegani, begitu berharga kepada saya.
Saya menganggap sidang hadirin semua penting memandangkan saudara saudari baru sahaja menyertai universiti ini dan saudara saudari semua mempunyai masa yang lama untuk melihat keadaan sebenar yang terbentang di hadapan saudara saudari. Saudara saudari juga dianggap penting kerana saudara saudari mempunyai banyak kelebihan dibandingkan dengan orang lain kerana saudara saudari bekerja dengan universiti ini, khususnya dalam hal menilai dan membentuk cara hidup yang berbagai-bagai dalam negara kita yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum.
Oleh kerana itu sebagai warganegara negara ini, saudara saudari bertanggungjawab menyatu dan menggabungkan ciri-ciri masyarakat pelbagai kaum kita membentuk negara Malaysia yang kuat dan tidak berpecah belah.
Apabila Dato’ Profesor Ishak Tambi Kechik mencadang-kan tajuk syarahan ini, beliau telah bermurah hati menyatakan bahawa saya bolehlah bercakap tentang Integrasi Nasional daripada perspektif yang luas dan bebas.
Ini bermakna, saya dapat menggunakan pengalaman politik saya sambil memperkatakan dengan lebih banyak tentang aspek heuristik, iaitu keadaan masa depan Malaysia. Jadi secara kasarnya, saya cuba melakarkan dengan luas tentang pengalaman hidup saya di Malaysia sepanjang tempoh 25 tahun yang lepas.
Ini akan membawa kita semula ke belakang, iaitu sekitar tahun 1970, yang menandakan bermulanya kerja-kerja pentadbiran saya di Pulau Pinang. Walau bagaimanapun, saya juga akan merujuk peristiwa dan isu pada zaman kemerdekaan.
Dengan mengenal pasti beberapa pengajaran asas yang didapati daripada peristiwa zaman itu, saya berharap kita dapat menumpukan perhatian kita kepada 25 tahun yang akan datang, untuk melihat bagaimana prinsip-prinsip yang telah kita tetapkan perlu dipelihara dan dipertahankan untuk membolehkan kita menuju dan mencapai Wawasan 2020.
Saya akan cuba menghubungkan pengalaman saya yang lepas untuk menentukan beberapa faktor yang meyakinkan yang telah menyatukan masyarakat kita menjadi masyarakat yang bebas dan merdeka. Saya percaya ikatan-ikatan ini berguna dalam usaha meneruskan proses integrasi nasional masyarakat kita pada masa akan datang.
Secara asasnya, dengan melihat kembali sejarah pembangunan dan pertumbuhan Malaysia, ditambah lagi dengan penglibatan saya dalam pembangunan ekonomi sosial di Pulau Pinang, saya akan cuba menggambarkan beberapa ikatan dalaman yang telah menghubungkan komuniti pelbagai etnik negara kita, lalu membentuk identiti Malaysia yang kuat sebagaimana yang kita alami sekarang.
Mematuhi, Menghormati dan Mengekalkam Perlembagaan
Apabila kita merangka dan mengisytiharkan Perlembagaan Persekutuan bertulis yang menyatukan masyarakat kita, kita telah pun meneliti hak-hak asasi setiap individu rakyat Malaysia. Pada masa yang sama juga kita mengiktiraf kepelbagaian kaum, bahasa dan agama asal masyarakat yang membentuk negara kita Malaysia.
Saya menggunakan istilah “asal” untuk merujuk pewarisan kaum, begitu juga dengan latar belakang kebudayaan orang kita. Contohnya, saya sering kali dirujuk sebagai orang Cina dari segi kaum ataupun berbangsa Cina. Semua ini merupakan rujukan yang betul. Tetapi bagi saya, panggilan ini merupakan pengelasan yang agak ketinggalan zaman atau anakronistik.
Apabila saya semakin tua, dan mudah-mudahan semakin bijak, saya sedar bahawa dalam hal pewarisan darah Cina ini, saya sendiri tidak begitu mengetahui tentang identiti kecinaan ini dibandingkan dengan orang lain yang hanya membaca dan belajar tentang orang Cina, yang sebenarnya terdiri daripada kumpulan kaum yang berbeza-beza.
Hakikatnya, nenek moyang saya berasal dari Hosan di Xiamen, dalam Wilayah Fuqian. Sejak persaraan saya daripada kegiatan politik yang aktif, saya telah berjaya mengesan salasilah keturunan Lim selama 3 juta tahun sehingga zaman Hebei. Daripada kajian ini, saya sedar bahawa saya sebenarnya merupakan sebahagian daripada bangsa Cina yang berselerak, yang dahulunya menetap di Singapura dan kemudiannya di Pulau Pinang. Dengan itu saya seorang rakyat Malaysia yang asal budayanya dikesan daripada mikrokosma penyelerakan bangsa Cina.
Kelahiran saya di Pulau Pinang, dan ibu bapa yang berbangsa Cina secara genetiknya, tidak bermaksud bahawa saya mempunyai pewarisan Cina yang lebih. Sebenarnya, latar belakang saya pada asasnya diperolehi daripada keturunan masyarakat campuran Pulau Pinang.
Semasa saya masih kecil, sistem kolonial British mahukan pemikiran intelektual saya berkembang secara mempelajari bahasa Inggeris. Namun begitu, ciri-ciri kebangsaan kedua-dua ibu bapa dan datuk nenek saya menunjukkan bahawa personaliti saya sendiri dipenuhi dengan ciri-ciri cara hidup orang Cina yang telah mereka tanamkan sejak saya masih kecil.
Daripada merekalah saya belajar menerima kenyataan adanya Tuhan. Ini bukanlah bermaksud mengetahui Tuhan tetapi hanya pengakuan asas dan penerimaan adanya Tuhan secara rendah hati. Saya diajar supaya bersikap jujur kerana sikap inilah yang digunakan oleh orang ramai untuk menilai seseorang dan ciri ini merupakan sifat asas saya. Sifat jujur ini telah ditanam dalam diri saya, iaitu saya tidak boleh melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap orang lain sebagaimana saya tidak mahu orang lain melakukannya terhadap saya.
Pergaulan saya dengan kawan-kawan dan kehidupan akademik saya menunjukkan bahawa saya dapat berinteraksi dan berhubung baik dengan kawan-kawan semasa saya. Mereka bukan berasal daripada keluarga yang sama, bukan daripada persekitaran sosial yang sama dan juga bukan daripada latar belakang kebudayaan yang sama. Mereka juga bukan penganut agama yang sama dengan saya. Saya telah belajar tentang disiplin diri dalam usaha mendokong kebenaran dalam diri saya sendiri. Pada masa yang sama, di rumah, saya juga diajar untuk bertolak ansur dengan orang lain dan menghormati mereka.
Semasa zaman pramerdeka—kontroversi telah timbul hasil laporan McMichael. Mendiang Oliver Phipps, berbangsa Eurasia; Sonnipillai, berbangsa Sri Lanka/Burma, dan saya sendiri telah menubuhkan Parti Radikal, dengan alasan bahawa seseorang individu mengambil keputusan menjadi rakyat Malaya kerana pemikiran intelektual mereka menyebabkan mereka mengambil keputusan sedemikian. Oleh itu, kami betul-betul terikat dan orang lain juga turut menganggotai kumpulan kami dalam usaha mendapatkan kemerdekaan.
Sudah tentulah semasa bermulanya Merdeka, menjadi rakyat Malaysia merupakan usaha intelektual. Usaha ini disemarakkan lagi dengan semangat yang ditunjukkan oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra. Perlembagaan negara menjadi kuasa penyatu asas yang menyatukan negeri-negeri yang berlainan dan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa.
Sejak Ogos 1957, peruntukan asas Perlembagaan Persekutuan kelihatan begitu stabil dengan sedikit sahaja pengubahsuaian dan hanya sedikit sahaja perubahan yang dibuat terhadapnya. Peruntukan Perlembagaan ini juga turut berjaya disesuaikan penggunaannya selaras dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Malaya. Dan Perlembagaan ini masih juga dikekalkan walaupun Singapura tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia kemudiannya.
Yang perlu difahami ialah, bangsa Malaysia bukan hanya dibentuk daripada perkataan dan artikel yang tertulis dalam Perlembagaan. Bangsa Malaysia berkembang hasil kerelaan mereka untuk hidup, bekerja dan mati bersama sebagai rakyat Malaysia mengikut rangka Perlembagaan. Keputusan yang menunjukkan penerimaan Perlembagaan ini dimantapkan lagi dengan prosedur demokrasi berparlimen.
Dalam konteks kewujudan dan kehidupan bangsa Malaysia, Perlembagaan Persekutuan merupakan warisan murni orang Malaysia tanpa mengira warisan etnik seseorang individu dan latar belakang agama. Oleh itu setiap warga-negara mempunyai tugas asas untuk menghormati, mematuhi dan memelihara Perlembagaan Malaysia.
Baru-baru ini kita telah mengadakan Pilihan Raya Umum yang kesembilan. Hasil pilihan raya ini, setiap wakil dalam kerajaan, pada peringkat Persekutuan dan Negeri telah pun mengangkat sumpah untuk memelihara Perlembagaan. Semua perwakilan yang dipilih oeh rakyat juga turut bersumpah untuk bekerja dan berkhidmat kepada orang ramai di Parlimen dan juga pelbagai komponen Perundangan Negeri.
Maksud dan implikasi semua undang-undang yang termaktub dalam masyarakat Malaysia dan kuasa demokrasi Kerajaan, adalah berdasarkan sumber dan komitmen daripada wakil yang dilantik seperti sepatutnya untuk mempertahankan dan memelihara Perlembagaan. Perwakilan ini diundi oleh rakyat, ini bermaksud rakyat juga perlu menunjukkan komitmen yang sama. Saya menggesa sidang hadirin sekalian supaya memikirkan hakikat ini.
Orang ramai selalu mengandaikan bahawa Perlembagaan Persekutan dan pelbagai Perlembagaan Negeri difahami oleh semua rakyat negara ini. Sebenarnya, untuk memahami Perlembagaan ini, usaha yang serius diperlukan oleh setiap rakyat Malaysia supaya mereka benar-benar memahami dan membiasakan diri dengan dokumen kenegaraan yang penting ini dan proses perlembagaan dalam negara yang mengamal-kan Sistem Demokrasi Berparlimen.
Kita tidak perlu menumpahkan darah dalam usaha mendapatkan kemerdekaan. Walaupun begitu, saya masih dapat mengingati dengan jelas perbalahan dan perbahasan yang intelektual dan emosional. Perbahasan seperti ini terpaksa diatasi demi membolehkan kita mencapai Perpaduan Nasional bagi tujuan menerima Perlembagaan Persekutuan sebagai bukti asas kenegaraan kita.
Generasi Malaysia yang lebih muda perlu diajar secara khusus tentang pentingnya artikel dan peruntukan perlem-bagaan kita. Kita perlu melakukan perkara ini semua untuk meningkatkan lagi azam kita mengekalkan Perpaduan Nasional dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menghormati dan Mengekalkan Rukunegara
Kemerdekaan yang dicapai pada Ogos 1957, benar-benar membebaskan rakyat negara ini daripada cengkaman tradisi. Kita berazam menunjukkan kebolehan kita menentukan masa depan kita sendiri yang bebas daripada kongkongan dan eksploitasi penjajah. Kita juga berazam menamatkan pemberontakan subversif yang dilakukan oleh pengganas komunis. Kita semua membaktikan diri untuk memenuhi harapan rakyat kita bagi mencapai pembangunan sosial dan ekonomi mengikut cara kita sendiri.
Pembebasan tekanan sosial ekonomi yang hebat di negara Malaysia merupakan fenomena yang mengagumkan. Namun begitu, sifat kemanusiaan yang ada pada masa itu runtuh dalam bulan Mei 1969.
Beberapa buah buku dan disertasi tentang titik perubahan pensejarahan negara kita yang dahsyat itu telah diterbitkan. Bagi saya, kejadian tersebut menunjukkan bahawa kita masih lagi terperangkap dengan tinggalan dikotomi “pemikiran penjajah”. Sesetengah sektor dalam masyarakat kita masih lagi berpegang pada sikap yang boleh memudaratkan Perpaduan Nasional.
Semasa zaman penjajahan, pendapat kerajaan masa itu ialah, bangsa yang berbeza tidak boleh bergaul bersama. Ini ialah asas polisi pemerintahan “pecah dan perintah” yang mengekalkan kekuasaan dan keangkuhan “Mat Saleh”, yang menurut mereka, tanpa campur tangan kuasa asing, walaupun secara mengeksploitasi, pasti bangsa yang berbeza dalam negara ini berpecah dan bergaduh antara satu dengan lain.
Bertolak daripada peristiwa tragis tahun 1969, elemen pelbagai kaum, agama dan budaya yang berbeza di Malaysia, akhirnya mendapat satu ilham baru dan bergiat semula membaktikan diri ke arah mengekalkan Perpaduan Nasional.
Kita sedar bahawa huru hara dan kekacauan yang berlaku antara kaum atau adanya sektor yang mempunyai kepentingan sendiri akan memusnahkan sikap kenegaraan kita. Kita perlu mengembalikan keadaan harmoni dan persefahaman sesama kita. Kita perlu menyatukan kepentingan dan aspirasi kumpulan berbilang kaum untuk memupuk komuniti kebangsaan yang sedang berkembang.
Kita perlu sentiasa ingat bagaimana ketika Perlembagaan digantung untuk satu jangka masa yang singkat, allahyarham Tun Abdul Razak dan allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, memerintah negara ini di bawah Majlis Gerakan Negara. Mereka membaktikan diri mereka membina kehidupan baru dan memulakan pemerintahan baru bagi negara kita. Dengan menggunakan contoh-contoh dan pengajaran yang ada, mereka menggesa rakyat negara ini untuk menerima maksud yang tersirat bagi perkataan-perkataan yang tertulis dalam Perlembagaan.
Dalam perhimpunan yang gemilang, yang dihadiri oleh rakyat Malaysia tua dan muda, kita harus ingat bahawa dengan wujudnya prinsip-prinsip Rukunegara dan parameter yang luas dalam Dasar Ekonomi Baru, allahyarham Tun Abdul Razak telah memulihkan kembali sistem demokrasi berparlimen secara membatalkan Majlis Gerakan Negara dan mengadakan semula persidangan Parlimen.
Semangat meletakkan Rule of Law di bawah Parlimen dan Ahli Mesyuarat Dewan Negeri yang telah dipilih mestilah sentiasa menjadi asas tindak tanduk kita sebagai rakyat Malaysia. Inilah yang dinamakan semangat patriotik.
Semangat patriotisme ini mesti ditanam dan dikekalkan oleh semua orang di Malaysia tanpa mengira asal keturunan etnik, warisan budaya dan kepercayaan agama mereka. Rukunegara menjelaskan komitmen asas bagi setiap rakyat Malaysia untuk mengekalkan perpaduan nasional dengan tujuan memastikan progres pada masa hadapan.
Dengan menerima semangat kewujudan bersama pelbagai komuniti etnik yang disatukan oleh perlembagaan, prinsip-prinsip Rukunegara membawa daya perubahan bersama yang telah membina masyarakat Malaysia sebagaimana yang didapati pada hari ini.
Menerusi Majlis Perpaduan Negara yang diterajui oleh Mendiang Tun Sambanthan, “Persefahaman, Muhibah dan Tolak Ansur” menjadi moto yang membawa makna kepada Perpaduan Nasional. Setiap rakyat Malaysia mesti sentiasa bertangungjawab menentukan dan menentukan semula makna ciri-ciri kebangsaan bagi dirinya dan juga bagi masyarakat secara keseluruhan, dengan itu seterusnya memberi pengertian kepada cara hidup orang Malaysia.
Dahulu terdapat beberapa slogan seperti “Bersatu dalam Pelbagaian”, “Semua bangsa berkongsi matlamat yang sama”, “Integrasi Nasional” dan sebagainya. Slogan ini menggalak-kan kita hidup dan bekerja bersama. Hari ini kita mempunyai satu konsep yang menarik untuk dipelihara dan menjadi asas kehidupan kita. Slogan itu ialah “Kita adalah Satu Keluarga”.
Keluarga Malaysia akan sama-sama bergerak menuju ke depan demi merealisasikan Wawasan 2020. Ia akan menjadi wawasan yang sama bagi semua rakyat Malaysia, yang kemudiannya, jika tidak sebelumnya, Malaysia akan berdiri sebaris dengan negara-negara maju. Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah membuka jalan untuk kita ikuti bagi beberapa tahun ke hadapan.
Untuk merealisasikan objektif wawasan ini, seharusnya menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia menghormati dan mengekalkan semangat Rukunegara. Inilah semangat yang menjadi tunjang kepada struktur masyarakat pelbagai etnik yang bersatu di negara kita.
Dengan adanya semangat ini, kita dapat melancarkan Dasar Ekonomi Baru dengan jayanya, yang telah membawa kita kepada pencapaian sosial yang baik dan pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan sejak dua setengah dekad yang lalu. Menerusi semangat inilah, kita harus terus berusaha menyatukan rakyat kita dalam usaha membentuk masyarakat berbilang bangsa Malaysia yang maju untuk menuju masa depan.
Dengan adanya semua hala baru yang penting, seperti sifat semula jadi sistem demokrasi yang kita amalkan, membolehkan kita mengutarakan kritikan yang tajam sebagai bantahan kepada Dasar Ekonomi Baru.
Bagi saya, dan setelah ditinjau kembali semua keadaan yang berlaku, tujuan penting Dasar Ekonomi Baru ialah untuk memastikan penyebaran yang sekata bagi kekayaan negara dan menawarkan peluang yang sama rata kepada masyarakat negara ini. Penekanan yang diberikan terhadap penyertaan bumiputera disebabkan, kalau mengikut hakikat politik, hampir keseluruhan rasa ketidakadilan sosial dan pembaha-gian ekonomi yang tidak sama rata lebih dirasakan oleh masyarakat luar bandar. Di kawasan ini, golongan bumi-putera lebih banyak terlibat dalam hal ini.
Dasar Ekonomi Baru tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan. Malahan, perubahan politik partisan daripada Perikatan menjadi Barisan Nasional dalam tahun 1972 menunjukkan bahawa Dasar Ekonomi Kerajaan, yang dilaksanakan menerusi Rancangan 5 Tahun telah menekankan perkembangan dan pertumbuhan sosial ekonomi bertujuan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum atau tempat tinggal.
Yang berlaku sekarang ialah, kerajaan negara ini dibentuk menerusi spektrum politik partisan yang luas. Dasarnya dikekalkan menerusi bentuk pemerintahan unit iaitu menerusi konsensus. Oleh itu, kerajaan pada asasnya bertanggungjawab meningkatkan taraf hidup semua etnik dan taraf sosial penduduk negara ini.
Perlembagaan negara yang dibuat menerusi konsensus ini bermaksud bahawa sebahagian besar aspirasi golongan minoriti perlu dinilaikan semula dengan sebaiknya dalam usaha memantapkan keutamaan nasional bagi menghasilkan pelaksanaan pentadbiran yang adil dan saksama.
Pendekatan baru secara demokrasi dalam memenuhi aspirasi sosial ekonomi komponen pelbagai etnik dalam masyarakat Malaysia mungkin menjadi model pentadbiran yang dapat dicontohi oleh negara-negara lain. Penerimaan prinsip-prinsip kewujudan bersama rakyat berbilang bangsa membolehkan kumpulan rakyat ini berkembang bersama. Pembangunan bersama seperti ini akan membolehkan rakyat berbilang bangsa ini membentuk bangsa Malaysia yang kuat, stabil dan aman.
Percubaan perubahan yang dilakukan ke atas sistem sosial dan ekonomi negara ini telah terbukti berjaya. Namun begitu, dua dekad yang lalu, polisi yang begitu kontroversi telah menjadi halangan kepada kemajuan yang cuba dicapai oleh Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus mengambil pengajaran daripada keadaan politik dan sosial yang telah ada untuk membolehkan kita terus maju ke depan.
Pendidikan–Rendah, Menengah, Tinggi dan Global
Pada ketika ini, saya ingin berundur satu langkah lagi ke dekad 1960-an. Dalam tempoh dua dekad yang dibatasi oleh pencapaian Kemerdekaan, dua isu utama yang mencabar iltizam kita terhadap intergrasi nasional, yang kerap didebatkan dengan hangatnya, ialah isu Hak Kerakyatan dan Pendidikan.
Saya berasa insaf dan serius apabila memikirkan bahawa satu generasi telah pun berlalu. Pada tahun 1960-an saya telah berkhidmat dengan allahyarham Tun Abdul Razak yang menjadi Menteri Pendidikan pada masa itu. Beliau membimbing rakyat negara kita menyeberangi pergolakan pendapat umum untuk membentuk Dasar Pelajaran Baru yang boleh diterima.
Kini, anak beliau pula, iaitu Y.B. Datuk Seri Najib, telah dilantik sebagai Menteri Pendidikan baru. Berkat kepimpinannya, generasi muda rakyat Malaysia akan dipandu ke arah kemajuan nasional dan sejagat menuju masa depan.
Dalam ceramah ini, saya akan cuba menjelaskan beberapa perbezaan tentang “apa yang telah berlaku” dan “apa yang akan berlaku” dalam masyarakat kita.
Seperti yang telah saya perkatakan, prinsip Hak Kerakyatan akhirnya selesai dengan termaktubnya pengisy-tiharan Perlembagaan Persekutuan. Kita perlu mengakui bahawa peruntukan dua pertiga majoriti dalam Parlimen untuk meminda Perlembagaan merupakan satu ukuran tepat terhadap kestabilan hak kerakyatan penduduk kita.
Kepelbagaian penduduk kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, kebudayaan, bahasa dan warisan ugama bermakna perdebatan tentang pendidikan dari segi sosial, ekonomi dan politik melahirkan pelbagai suara dan pendapat yang mengelirukan.
Apabila peruntukan pada Dasar Pendidikan 1960 diperkatakan, maka kekecohan timbul di semua pelusuk masyarakat. Masa yang begitu lama diperlukan sekiranya kita ingin menghuraikan semula masalah yang dihadapi serta penyelesaian yang telah dibuat pada dekad tersebut.
Saya berharap mencukupilah apabila saya mengenang kembali cara saya menerangkan isu ini kepada isteri saya. Isteri saya dilahirkan di Hubei, manakala saya pula dilahirkan di Pulau Pinang. Saya berkata padanya, anak-anak kami akan lebih fasih berbahasa Melayu daripada kami berdua tetapi kefasihan mereka berbahasa Cina mungkin tidak sebaik dirinya dan kefasihan mereka berbahasa Inggeris mungkin tidak sebaik saya. Namun begitu, mereka semua adalah rakyat Malaysia dalam erti kata sebenarnya. Menurut konteks allahyarham Tun Hussein Onn, mereka adalah sebahagian daripada “Generasi Rakyat Baru”.
Pada waktu itu, saya tidak dapat menjangkakan sikap cucu-cucu saya. Apa yang berlaku adalah mereka kini lebih cekap berbahasa Melayu, Cina dan Inggeris daripada ibu bapa mereka. Yang paling membanggakan ialah tahap pengetahuan komputer mereka tidak mampu ditandingi oleh ibu bapa dan datuk nenek mereka!
Satu faktor yang melemahkan dalam kehangatan perdebatan tentang pendidikan ialah bilangan pelajar yang semakin bertambah. Mendiang Encik Lim Lian Geok berasa amat bimbang tentang kekurangan kesedaran pada pihak pentadbiran bahawa masalah bilangan dan saiz kelas dengan sendirinya akan menambahkan lagi masalah, khususnya di sekolah-sekolah menengah aliran Cina. Kini, masalah akibat terlalu ramai murid dalam sesebuah kelas dan masalah terlampau ramai murid dalam sesebuah sekolah masih lagi kita hadapi.
Kebimbangan yang dialami oleh tokoh pendidik berfahaman etnik telah terus terhakis oleh sikap dan watak generasi baru rakyat Malaysia. Kejayaan Y.A.B. Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan contoh kepimpinan serta kemahiran berbahasanya telah menghilangkan sama sekali kebimbangan tersebut. Saya rasa, cukup sudah saya memperkatakan tentang revolusi pendidikan yang telah kita alami dalam tempoh masa 38 tahun selepas Merdeka.
Satu demi satu, kita berjaya mengatasi masalah yang berbagai-bagai dalam isu pendidikan. Pertumbuhan berterusan populasi dan bertambahnya kerumitan yang dihadapi untuk menyediakan kemudahan pengajaran yang mencukupi serta untuk meningkatkan dedikasi dan kualiti tenaga pengajar dalam profesion pendidikan, sudah tentu bermakna bahawa usaha yang sama-sama kita gemblengkan untuk menyelesaikan masalah tersebut akan terus tercabar pada masa hadapan.
Perkara yang perlu kita sedar ialah matlamat untuk menyediakan pendidikan yang mencukupi untuk anak-anak kita akan sentiasa menjadi satu perjuangan yang sukar dan berlanjutan. Walau bagaimanapun, kita tidak harus membiar-kan isu pendidikan menghancurkan masyarakat kita.
Sudah semestinya masih banyak lagi masalah yang lebih kompleks akan kita tempuhi. Pada tahun 1950-an, 1960-an dan mungkin juga 1970-an, tidak ada seorang pun yang dapat menjangkakan revolusi global besar-besaran yang dibawa oleh cip silikon serta teknologi maklumat dan rangkaian jaringan cyberspace.
Kita harus berbangga dengan kenyataan bahawa sistem pendidikan kita telah menyebabkan kita berjaya mengem-bangkan semua perkhidmatan yang diperlukan untuk memerintah sebuah negara moden. Melalui pengalaman yang diperolehi dalam sistem pendidikan kita, kita telah berjaya menjana semula serta menghidupkan semula keadaan masyarakat kita. Kita dapat belajar di samping mengajar diri sendiri dalam kita membentuk diri kita sebagai rakyat Malaysia.
Bagi saudara-saudari yang baru sahaja berkhidmat di Universiti Sains Malaysia, anda perlu sedar bahawa Universiti yang bersejarah ini telah dibangunkan oleh kita sendiri. Saudara saudari akan berasa seronok mengajar dan memberi tunjuk ajar kepada rakyat Malaysia yang berdedikasi untuk membantu meneroka ke segenap pelusuk pengetahuan. Saudara saudari perlu yakin bahawa sekiranya anda menggunakan masa formatif ini dengan sebaik-baiknya, maka pengetahuan yang diperolehi akan mengiringi anda di mana sahaja anda berada di dunia ini.
Pengajaran penting yang kita pelajari daripada sejarah pendidikan ialah rakyat Malaysia, iaitu mereka yang dilahirkan di sini dan mendapat latihan dalam negeri, senang bekerjasama dengan institusi pendidikan biarpun yang terulung di dunia. Rakyat Malaysia berupaya menerajui pembangunan ekonomi dan sosial kebangsaan ke arah satu parameter terbaru dalam bidang pertanian, perdagangan, industri, pendidikan, kesihatan, telekomunikasi, bekalan tenaga di samping perkhidmatan prasarana asas yang lain. Dalam semua bidang yang disebutkan tadi, rakyat Malaysia yang mendapat latihan dalam negeri telah mampu berkhidmat malah berupaya memperlihatkan kecemerlangan.
Walau bagaimanapun, isu Pendidikan akan terus didebat-kan. Sepanjang usia kita, menjelang setiap generasi, kita akan terus berbalah tentang perkara ini. Sudah semestinya setiap generasi itu akan sentiasa berharap dan berusaha ke arah masa depan yang lebih cemerlang untuk generasi yang berikutnya.
Hal ini sedang berlaku di Malaysia. Hal yang serupa juga berlaku di serata dunia. Namun begitu, kita di Malaysia tidak harus membiarkan perbezaan pendapat tentang sistem pendidikan memecah belahkan kita. Sesungguhnya, kebimbangan kita tentang pendidikan harus menjadi satu daya kerohanian yang utama untuk menyatukan masyarakat pelbagai etnik ini.
Nilai Moral, Sosial dan Individu
Bagi saya, ujian pendidikan yang paling penting ialah meneliti sejauh manakah kejayaan setiap generasi rakyat Malaysia dalam menyampaikan nilai-nilai moral, keagamaan dan kebudayaan kepada generasi berikutnya.
Seharusnya terdapat satu keluwesan penting dalam mencari matlamat dalam proses ini kerana sikap rakyat Malaysia berbeza-beza sebagaimana kualiti pelbagai etnik seseorang warganegara serta latar belakang kebudayaan dan agama keluarganya.
Namun begitu, saya berpendapat bahawa untuk mengekalkan dan membina nilai-nilai moral seseorang individu dan hubungan seseorang individu dengan keluarganya dan hubungannya dengan masyarakat dan komuniti negara secara amnya, merupakan satu cabaran yang hebat. Dengan itu, kita akan maju ke arah zaman maklumat global dan rangkaian jaringan abad dengan lebih bermakna dan pada masa yang sama, bertekun dalam membina identiti bangsa Malaysia.
Sistem pendidikan kita harus memberi penglibatan secara langsung dengan kehidupan sosial generasi muda rakyat Malaysia. Seharusnya menjadi iltizam masyarakat kebangsaan untuk mengatasi masalah perilaku sosial seperti “lepak” dan “bohsia”. Seharusnya menjadi iltizam sosial bagi orang dewasa di Malaysia untuk memerangi tingkah laku yang menyimpang seperti masalah “kongsi gelap” dan penyalah-gunaan dadah.
Isu-isu ini akan menjadi punca kontroversi pada masa hadapan. Namun begitu, isu ini akan dibayangi oleh usaha kerajaan dan masyarakat untuk menyediakan lebih banyak aktiviti berbentuk pendidikan, rekreasi dan kesukanan yang akan meningkatkan dan merangsangkan semula pencarian warga kita dalam meningkatkan perpaduan sosial masyarakat. Pendidikan merupakan satu proses berterusan bagi semua orang.
Pencarian yang akademik tentang pengetahuan saintifik dan kemahiran teknikal perlu diperolehi berserta dengan program interaktif yang lebih bersifat sosial untuk memper-baiki sikap rakyat negara kita, khususnya golongan belia.
Merealisasikan kebijaksanaan dengan memburu kebenaran adalah suatu usaha yang murni. Perasaan menakjubkan yang wujud apabila seseorang itu mengkaji butiran yang paling seni pada zarah-zarah subatom atau keluasan alam semesta berkait secara langsung dengan pengajaran yang paling mendalam dalam semua agama.
Mungkin dalam mencapai integrasi langsung dalam masyarakat Malaysia yang pelbagai kebudayaan, institusi akademik tulen mungkin terpaksa berhubung dengan lebih rapat dengan organisasi keluarga dan sosial.
Kuasa komunikasi multimedia dan cybernet global yang pervasif akan memberikan satu cabaran baru kepada generasi rakyat Malaysia masa hadapan. Pendidikan moral harus diamalkan walaupun di luar persekitaran bilik darjah dan institusi pendidikan. Ia harus mempunyai pertalian yang rapat dengan persekitaran rumah, seterusnya dengan keluarga dan juga kepada milieu sosial penduduk.
Kini, sistem rangkaian jaringan yang mempunyai objektif khusus untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti di samping meningkatkan pengetahuan am keseluruhan dalam kemahiran tertentu, telah sampai kepada beberapa kemudahan industri kita yang lebih maju. Bolehkan mereka menggunakan program yang direka khusus untuk menggalakkan penindoktrinan yang lebih kuat dalam disiplin diri dan nilai moral pada generasi tenaga kerja masa kini dan masa hadapan?
Pada masa lampau, kita telah berjaya mengatasi cabaran yang bergolak walaupun wujud suara-suara menyokong yang janggal. Pada masa hadapan, rohani dan jasmani rakyat kita mungkin dapat menemui persepaduan empati melalui sistem rangkaian jaringan multimedia berorientasikan pendidikan.
Keseluruhan sektor populasi yang pelbagai perlu mencari pertalian yang lebih kuat antara satu sama lain dengan menyebarkan nilai moral sosial sepunya kepada generasi rakyat Malaysia masa hadapan. Berdasarkan ini, kita harus sentiasa berwaspada dalam memilih pengaruh luar yang paling sesuai dengan pembangunan masyarakat Malaysia.
Di bawah kepimpinan Y.A.B. Datuk Seri Dr. Mahathir, rakyat Malaysia sentiasa diingatkan supaya menyedari bahawa sikap dan nilai budaya bangsa asing mungkin tidak sesuai dengan kemajuan kita. Dalam kita mencari tempat dalam kalangan bangsa-bangsa lain di dunia, kita mesti lebih menghargai nilai moral dan disiplin sosial kita sendiri.
Dalam kita bergerak ke hadapan dan memasuki komuniti dunia kita harus faham bahawa teknologi maklumat moden membolehkan pelbagai jenis sikap, pendapat dan nilai luaran menceroboh corak pembangunan sosial dan moral kita.
Kita harus mencari jalan yang terbaik untuk menangkis cabaran ini.Kita mesti yakin pada diri sendiri. Berdasarkan semangat Kemerdekaan yang telah membolehkan kita maju sehingga ke peringkat pembangunan kebangsaan seperti ini, kita harus sedar akan kewujudan pengaruh global. Kita harus membangun bersama-sama dengan rakan-rakan kita di serata pelusuk dunia. Namun begitu, kita harus menjauhkan diri daripada unsur-unsur yang dapat melemahkan daya integrasi yang menyatukan kehidupan moral dan sosial pelbagai bangsa rakyat Malaysia.
Memburu Kejujuran Intelek and Kewibawaan Matlamat
Sebagai intipati, kesemua nilai moral wujud daripada dedikasi dalaman untuk memburu pengetahuan dan kebenaran. Kekuatan dedikasi pada individu dan masyarakat kita ini bergantung kepada kebolehan kita meneruskan pencarian kejujuran dan kewibawaan intelek bagi memenuhi satu matlamat itu. Dengan cara itu sahaja, seseorang individu itu dapat memperolehi kebijaksanaan memupuk perkembangan rohani dan menyanjung tinggi manusia lain.
Dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, kita harus membina dan menyokong sikap kebangsaan yang menekan-kan bahawa walaupun kita bebas mengeluarkan pendapat kita sendiri, namun setiap seorang daripada kita harus mendidik diri kita supaya peka terhadap perasaan orang lain. Kita harus faham bahawa nilai masa hadapan boleh dipupuk oleh golongan majoriti mahupun golongan minoriti.
Negeri Pulau Pinang Sebagai Model
Pada tahun 1970, seiringan dengan negeri-negeri lain di Malaysia, Pulau Pinang mengalami proses yang serupa dengan memperbaiki semula Perpaduan Nasional selepas peristiwa tahun 1969. Pada masa itu, parti Gerakan ialah parti pembangkang dan merupakan satu parti minoriti.
Walau bagaimanapun, cara NOC menyelaraskan fungsi SOC menyebabkan munculnya ikatan yang lebih kuat dalam perhubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan. Saling hubungan ini membawa kepada pembentukan Barisan Nasional selepas demokrasi berparlimen diwujudkan semula.
Penyelesaian dua isu utama perlu dicari. Kadar pengangguran di Pulau Pinang adalah terlalu tinggi, iaitu sebanyak 16 peratus. Status “pelabuhan bebas” juga telah dimansuhkan.
Saya tidak akan bercakap panjang tentang kontroversi yang timbul pada masa itu. Yang perlu kita fahami ialah kewujudan ikatan baru dalam prosedur pentadbiran membolehkan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan melaksanakan satu konsep bagi membangunkan sebuah “Zon Perdagangan Bebas (FTZ)” supaya Pulau Pinang dapat membentuk satu sektor industri.
Pada waktu itu, konsep FTZ merupakan konsep yang baru diperkenalkan di negara ini. Ia juga merupakan model terbaru bagi projek serupa yang telah diperkenalkan di negara lain. Walaupun kerajaan negeri mendapat sokongan penuh daripada kerajaan persekutuan, namun pada masa yang sama, kerajaan negeri telah memperkenalkan inovasi yang dapat mengubah suai program yang telah dilaksanakan di tempat lain supaya padan dengan pola pembangunan kita.
Terdapat banyak faktor yang mendorong kejayaan kita dalam membangunkan FTZ di Pulau Pinang. Walau bagaimanapun, pada pendapat saya, dua faktor yang paling jelas ialah, pertama, keyakinan kita bahawa pekerja kita berpendidikan tinggi dan berdisiplin dan mereka mampu mengorak langkah ke arah pengindustrian. Faktor kedua ialah iltizam awal kita untuk membangunkan industri intensif buruh.
Sememangnya kami memburu apa sahaja industri yang kami dapat tarik daripada negara luar asalkan mereka berminat memindahkan teknologi mereka kepada kita. Kami memulakan industri elektronik secara kebetulan. Pada waktu itu, kami tidak tahu apa-apa langsung tentang elektronik. Sebenarnya, dunia pun belum arif tentang revolusi yang dipelopori oleh Robert Noyce dan William Shockley.
Pada waktu itu, dianggarkan bahawa di Malaysia, sebanyak RM12,000 diperlukan untuk membangunkan kerja di sektor pertanian dan lebih daripada RM40,000 diperlukan untuk membangunkan kerja di sektor industri. Dengan bantuan kepakaran Dato’ Chet Singh dan Dato’ Ahmad Khairummuzammil, kami menganggarkan bahawa kami dapat mewujudkan pekerjaan di sektor industri elektronik dengan hanya RM4,000. Oleh itu, dengan galakan yang diberikan oleh Tun Ismail Ali, Gabenor Bank Negara pada waktu itu, kami membina industri yang baru ini.
Kami bernasib baik kerana Bill Hewlett daripada Hewlett Packard (HP) telah melawat Pulau Pinang dan bersetuju dengan pendirian kami bahawa pekerja-pekerja muda kita, “sekiranya diberi peluang, dapat membuktikan bahawa mereka ini adalah sebaik pekerja lain di dunia”. Rencana kami berjalan lancar setelah HP bersetuju menempatkan operasi mereka di Pulau Pinang. Sebenarnya, Charlie Sporck merupakan orang yang mula-mula sekali muncul dalam arena ini di Pulau Pinang apabila beliau memulakan operasi National Semiconductor di sini.
Saya sendiri hairan bagaimana semua ini boleh terjadi. Memang benar kami telah berkerja kuat! Namun begitu, kami sememangnya bertuah!
Kami telah membangunkan industri tekstil melalui kilang Toray dan Textile Alliance, Kanebo, Coates. Kami mempro-mosikan industri makanan ternakan melalui kilang Zuellig dan loji pemeringkatan kilang kelapa sawit yang baru dan sebagainya. Kami juga mewujudkan industri menanam orkid dan kulat. Secara tiba-tiba FTZ bercambah dengan wujudnya kemudahan-kemudahan baru seperti kilang NS, HP, Robert Bosch, Clarion, Intel, Motorola, Hitachi, Phillips, AMD, Ruf, Aesculop dan sebagainya.
Faktor yang penting sekali ialah rakyat negeri ini yang masih muda dan berdedikasi, yang dahulunya menganggur atau bekerja sebagi penjaga tempat letak kereta atau yang mendapat latihan di Dusun Tua, telah mengambil peluang ini untuk memperlihatkan kemahiran masing-masing. Mereka begitu cepat menyesuaikan diri dengan keadaan perindus-trian.
Sebenarnya, generasi muda dalam kalangan rakyat Malaysia terus mengenepikan kekangan konsep kesatuan sekerja daripada ilham penjajah dan beranjak ke sempadan industri elektronik. Kita bukan sahaja menjadi negeri industri tetapi kita berada di hadapan dalam revolusi baru cip silikon.
Dengan apa cara jua para pekerja di FTZ Pulau Pinang tidak lama kemudian mewujudkan rangkaian baru antara kumpulan etnik di negara kita sendiri dan juga secara global, dengan para pekerja dalam bidang baru pembangunan industri elektronik.
Kesan pengindustrian ke atas masyarakat di Pulau Pinang dan juga seluruh Malaysia menunjukkan cantuman usaha yang luar biasa antara kita dengan industri global yang paling maju. Dewasa ini, lebih daripada 150,00 orang terlibat secara langsung dalam industri. Berdasarkan kesan pengganda ini bermakna 300,000–400,000 rakyat Pulau Pinang mencari sumber rezeki dalam sektor industri.
Walaupun penduduk kita bersifat pelbagai kaum, namun ahli keluarga dan masyarakat kampung serta bandar mampu mewujudkan rangkaian hubungan melalui kerjasama yang rapat dalam sektor ekonomi yang berbeza. Sektor-sektor pelancongan, perdagangan, perniagaan, pertanian, dan khidmat pentadbiran telah membaur rakyat kita ke dalam satu gabungan masyarakat yang baru.
Masa Depan–Tempatan dan Global
Saya berpendapat yang kita sekarang sedang menyaksikan transformasi baru dalam kalangan rakyat kita. Saya percaya pada masa depan sifat kepelbagaian kaum rakyat kita tidak lagi akan ditonjolkan melalui faktor ras atau lokasi.
Tentunya generasi muda Malaysia akan mengidentiti diri mereka berdasarkan pekerjaan yang mereka lakukan. Mereka juga akan menyumbang kepada corak perlakuan, kod tingkah laku, etika kerja dan mutu pencapaian yang saling berhubung kait dengan sektor yang mereka terokai.
Sememangnya perkara ini telah wujud dahulu lagi, apabila kakitangan kerajaan dan anggota polis serta pihak keselamatan membentuk satu rangkaian kakitangan awam; berbeza dibandingkan dengan pekerja dalam sektor swasta.
Apabila kita fikirkan bahawa Hewlett Packard dan Sony, yang masing-masing menggaji 8,000 pekerja, Intel dan NS pula menggaji lebih kurang 4,000–5,000 pekerja dan sebagainya, maka kita dapat memahami bagaimana caranya bas-bas kilang yang berulang-alik setiap hari mengambil dan menghantar pulang pekerja dari pelbagai ceruk-rantau di Pulau Pinang turut menggabungkan latar belakang kaum dan lokasi para pekerja ini ke dalam kelompok yang baru.
Berdasarkan keluk pembelajaran tinggi (high learning curves), standard kualiti pengeluaran antarabangsa, QCC, JTT dan kini pengurusan GIT, para pekerja kita mendapati bahawa etika kerja menyatupadukan mereka. Rangkaian kerja ini menjalin kesefahaman baru dalam kalangan mereka dengan mengatasi perbezaan etnik atau latar belakang keluarga.
Dipandang dari sudut ini kadar perkembangan industri dan ekonomi telah mewujudkan satu paduan kesedaran komuniti yang baru dalam kalangan rakyat Malaysia. Pada tahun-tahun yang akan datang kita akan sibuk berganding bahu bersama menikmati segala kemudahan industri yang ada.
Rakyat Malaysia pada abad ke-21 akan membentuk ikatan kekeluargaan baru yang lebih tertumpu dengan pekerjaan mereka seharian jika dibandingkan dengan latar belakang kaum dan kebudayaan. Walaupun rakyat Malaysia mempunyai sikap yang baru dan kuat, namun mereka akan berhadapan dengan kuasa internet yang bersifat global.
Secara kebetulan usaha industri di Pulau Pinang berkembang selari dengan perubahan besar era elektronik. Ini bermaksud komuniti Malaysia yang sedang muncul akan terdedah kepada arus penglobalan internet yang disifatkan sebagai “anarki terbesar yang bergerak di dunia”. Kestabilan negara kita akan diuji melalui fleksibiliti rangkaian global. Dengan perkataan lain, kita dibatasi oleh Perlembangan negara dan kita juga dihubungkan kepada komuniti global dengan kawalan pusat yang semakin berkurangan.
Dapatkah kita menyesuaikan diri dengan unsur era maklumat yang amat fleksibel dan cepat menyerapi kita serta rangkaian cyberspace terglobal, sambil kita terus membangunkan identiti Malaysia? Saya berpendapat kita dapat melakukannya, dengan syarat secara konsisten, kita mengkaji semula semua pengajaran yang kita telah pelajari sebagai sebuah negara yang merdeka dengan Perlembagan bertulis.
Saya berpendapat sedemikian kerana adanya semangat baru untuk hidup bersatu dalam kalangan pelbagai kumpulan kaum setelah terciptanya Rukunegara. Untuk mencorakkan pembangunan negara, Dasar Ekonomi Baru dilancarkan. Dengan membentuk Barisan Nasional, sistem kerajaan dapat ditubuhkan melalui konsensus bagi mengeratkan lagi kewujudan bersama organisasi partisan pelbagai kaum.
Kejayaan ekonomi sosial Malaysia adalah disebabkan prinsip yang tertentu yang menerima keesahan pelbagai kaum minoriti sambil kita terbentuk menjadi komuniti Malaysia yang padu dan kuat. Sebagai rakyat Malaysia, kita yakin untuk terus maju sebagai satu keluarga dalam mencapai objektif wawasan 2020. Bagaimana dan apa yang telah kita pelajari untuk berinteraksi bersama dalam tempoh 25 tahun lepas akan memberikan kita keyakinan untuk lebih maju bagi 25 tahun akan datang.
Saya percaya kita akan dapat mengatasi cabaran masa depan yang dihadapi oleh masyarakat pelbagai kaum kita kerana kita merupakan rakyat Malaysia yang bersatu teguh. Masa akan menyebelahi kita.
Pada hari ini 25 tahun yang lalu, akhbar Straits Times melaporkan:
(1) “lebih kurang 100 orang pelajar Universiti Pulau Pinang tunjuk perasaan tentang isu “pinjam” kampus daripada Maktab Perguruan Malaya di Glugor.
(2) “Mahkamah majistret pertama membebaskan Teh Ewe Lim tanpa memanggil tertuduh membela diri terhadap tuduhan mengadakan perhimpunan tanpa mendapat kebenaran polis”
Pada hari ini juga 200 tahun yang lalu, revolusi Perancis berlaku. Pada tarikh tersebut, mereka yang cintakan keamanan menyambut Hari Bastille untuk berikrar bagi “Kebebasan, Persamaan dan Persaudaraan” yang telah membebaskan 28 juta rakyat Perancis.
Berdasarkan perspektif sejarah ini, kita telah mencapai kejayaan yang besar dalam tempoh lebih 200 tahun sejak Pulau Pinang dijajah, dan 25 sejak kita merdeka. Malaysia kini hampir-hampir menjadi sebuah negara dengan 20 juta penduduk. Kita juga sedang berada di ambang era maklumat.
Kita seharusnya sedar bahawa perubahan merupakan satu ciri hidup yang kekal. Kita juga perlu memahami bahawa tekanan perubahan akan memberi kesan yang berbeza terhadap kelompok rakyat kita yang berbeza.
Pada setiap masa kita mestilah bersikap toleransi terhadap respons dan kepekaan orang lain, yang juga mengalami perubahan seperti kita. Kita mestilah bersabar. Evolusi memerlukan masa untuk mengubah masa sekarang ke masa depan.
Dengan toleransi, persefahaman dan kesabaran kita lebih yakin menuju ke arah wawasan 2020 sepertimana yang disarankan oleh Y.A.B. Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Kita akan mendapat kedudukan yang sewajarnya di kalangan negara-negara di dunia, di samping masih kekal sebagai sebuah keluarga Malaysia sepertimana yang disarankan oleh Y.A.B. Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kesimpulan–Epilog Peribadi
Dato’ Profesor Ishak Tambi Kechik pernah bertanya kepada saya tentang peranan yang telah saya mainkan. Dalam hal ini saya lebih gemar mengamalkan corak pemikiran optimisme Robert Browning—”Grow old along with me, the best is yet to be”.
Saya sendiri menganggap diri saya sebagai “seekor lebah tua yang biasa, yang terbang di persekitaran yang saya rasa sesuai untuk membuat sarang” selepas tahun 1970. Nampaknya, ramai yang bersetuju dengan pandangan saya ini. Rakyat Malaysia akan menjadi seakan-akan “lebah” yang sangat sibuk dalam jangka masa dua puluh lima tahun nanti. Dengan cara itulah saja, kita akan beroleh kejayaan pada masa hadapan.
Terima Kasih kerana mengunjung. sudi-sudi 'klik' di sini sebagai sumbangan ikhlas anda membantu kami menyelengara blog ini.

No comments
Post a Comment