Pegawai Menteri Berlagak Sombong

Oleh Qayum Rahman

Sikap serta lagak sombong pegawai khas kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika menerima memorandum daripada mangsa tembakan polis Norizan Salleh amat mengecewakan pengadu.

Norizan ditemani peguam N Surendren dan wakil rakyat Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum setelah kes beliau diabaikan oleh pihak polis.

N. Surendren berkata pegawai khas tersebut yang mewakili Datuk Seri Hishammuddin tidak beradap sopan melayan kehadiran Norizan yang hanya ingin menyampaikan memorandum bantahan kepada menteri atau timbalan menteri terhadap tindakan polis melepaskan tembakan tanpa sebab sehingga hampir meragut nyawanya.

"Sejurus mengetahui hasrat Norizan pegawai tersebut terus beredar tanpa mendengar apa yang ingin diperkatakan Norizan," kata peguam itu.

Tambah beliau biar pun gagal menyerahkan memorandum kepada menteri Norizan bersetuju untuk terus membawa isu beliau kepada Perdana Menteri agar tindakan tegas diambil terhadap polis yang menyebabkan kecacatan seumur hidup kepada beliau.

"Kita mahukan tindakan segera diambil terhadap polis yang melakukan cubaan bunuh terhadap Norizan dan polis terbabit harus diambil tindakan tegas supaya perkara sedemikian tidak pula berulang kepada pihak lain," ujar Surendren.

Hadir sama Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Kapar S.Manikavasagam, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga Rodziah Ismail, ADUN Teratai Jenice Lee, Ketua Penerangan KEADILAN Latheefa Koya dan beberapa wakil NGO.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Kerjasama anda kami dahulukan dengan ucapan terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.