Petronas Untuk Rakyat

Parlimen akan bersidang sekali lagi mulai pertengahan Mac ini. Salah satu perkara penting yang saya harap Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat akan bangkitkan ialah memberitahu rakyat tentang tindakan Barisan Nasional yang menidakkan pembahagian hasil minyak dan gas di antara negeri dan Petronas. Isu ini bukan saja terbatas kepada hak-hak negeri seperti Kelantan terhadap hasil tersebut tetapi juga merangkumi soal pengurusan Petronas itu sendiri. Apakah pendirian pihak pengurusan Petronas dalam soal tuntutan negeri Kelantan? Petronas disebut sebagai syarikat bertaraf antarabangsa yang mempunyai pengurusan bertaraf dunia, yang tidak tunduk kepada telunjuk politik. Kalaulah ini benar, maka inilah masanya Petronas menunjukkan kebebasannya membuat keputusan. Tetapi mengapa Petronas diam membisu?

Hakikatnya, Petronas mesti tunduk kepada arahan Perdana Menteri. Inilah kuasa yang diberi kepada PM di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974. Tujuan asal dibuat begitu ialah supaya pengurusan Petronas tidak dipengaruhi oleh pihak politik yang lain seperti UMNO; maka sebab itulah arahan PM saja yang perlu diikut. Model pengurusan seperti ini yang juga sulit dalam banyak hal, sesuai pada masa Tun Razak tapi tidak wajar lagi di zaman anaknya kini. Jauh beza anak dengan bapa. Tun Razak mahu Petronas dijaga untuk kepentingan anak cucu rakyat Malaysia, bukan saja kepada kerajaan yang memerintah. Tun Razak tidak akan membenarkan orang orangnya mengambil kesempatan meraih untung dari Petronas. Dia juga tidak boros orangnya. Tapi anaknya jauh berbeza. Semasa Najib jadi Menteri Pertahanan, perbelanjaan Kementerian Pertahanan melambung 160 % di antara tahun 2001 dan 2008. Sejarah akan berulang kalau rakyat tidak berhati-hati. Rakyat bimbang dengan apa yang akan dibuatnya dengan Petronas.

Kesimpulannya, Hassan Merican sudah tidak ada lagi dalam Petronas. Sekurang-kurangnya dia dianggap CEO dan Presiden Petronas yang lebih bebas dan berkebolehan tinggi. Apa akan terjadi kepada Petronas sekarang? Siapakah yang ada dalam Badan Penasihat yang berani mempertahankan integriti pengurusan Petronas kalau PM sudah membuat arahan? Cara pengurusan dan kuasa luas PM dalam Akta 1974 itu sudah tidak sesuai lagi dalam keadaan sekarang. Dalam keadaan perniagaan global .Biarlah Petronas lebih bertanggung jawab, lebih telus dan lebih mementingkan generasi akan datang daripada kepentingan UMNO dan BN . Ini lah tuntutan politik naru tanah air.

Saya amat berharap supaya Ahli-Ahli Parlimen kita berjuang bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan Petronas dari bahaya akan datang; bahaya yang sedang dicipta oleh kepimpinan UMNO dan BN sekarang. Kita jangan lupa pesanan orang tua tua agar jangan pagar yang makan padi. Isu ini bukan sekadar untuk kepentingan Kelantan saja. Ia adalah untuk kepentingan semua rakyat Malaysia dan masa depan anak cucu kita.


http://myzaidibrahim.wordpress.com/


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Kerjasama anda kami dahulukan dengan ucapan terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.