Majlis Perundingan Melayu (MPM): insiden Wartawan Diarah Keluar

Saya wartawan bangsa Malaysia, mengapa bezakan saya? — G. Manimaran

27 FEB — Buat pertama kali penulis melangkah ke Kelab Sultan Sulaiman yang terletak di tengah-tengah ibu negara. Ketika melangkah ke pekarangan premis, penulis dapat merasai udara semangat perjuangan orang-orang Melayu, lebih-lebih ia terletak dalam lingkungan Kampung Baru, penempatan milik kaum Melayu.

Kelab Sultan Sulaiman memikul detik-detik bersejarah yang membawa kepada penubuhan Umno, menguburkan usaha menubuhkan Malayan Union dan kemudian kemerdekaan negara.

Walaupun hari ini merupakan cuti mingguan, penulis memutuskan untuk membuat liputan pelancaran Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang ditubuhkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Program ini menarik perhatian penulis lebih-lebih ekoran perubahan landskap politik yang disaksikan dua tahun lalu.

Tanggal 8 Mac ini merupakan genap dua tahun negara melalui tsunami politik.

Tsunami politik itu secara langsung dan secara tidak langsung telah mencetuskan pelbagai reaksi yang kita sedia mengetahui dan sedia maklum.

Sebagai penulis yang sudah dua dekad berkecimpung dalam dunia kewartawanan, pengalaman pagi ini cukup merimaskan, malah cukup membimbangkan.

Mengapa kita masih mahu melabelkan kita ini orang Melayu, orang Cina dan orang India? Mengapa tidak kita melihat sebagai satu bangsa Malaysia yang diilhamkan Wawasan 2020 dan kini slogan 1 Malaysia dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.


LATAR BELAKANG

Penulis dibesarkan di sebuah ladang yang penduduknya terdiri daripada kalangan masyarakat pelbagai kaum. Penulis meneruskan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, yang rata-rata mengutamakan aspirasi nasional dengan bahasa kebangsaan. Penulis pernah berkhidmat di Kumpulan Utusan selama 16 tahun. Penulis pernah berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di universiti-universiti awam yang pelajarnya pelbagai kaum. Penulis pernah terlibat dalam makmal 1 Malaysia akhir tahun untuk menghimpunkan input bagi menyemai perpaduan dan integrasi negara.

Ketua tempat saya bekerja, dari dulu hingga sekarang, adalah seorang Melayu. Mereka tidak pernah membezakan saya ini seorang keturunan India. Saya pernah menyelia staf bawahan saya. Saya tidak pernah melihat mereka mengikut warna kaum dan agama.

Banyak lagi yang boleh diketengahkan bahawa penulis adalah anak bangsa Malaysia.

Sepanjang dua dekad penglibatan dalam dunia kewartawan, penulis selaku wartawan yang bertanggungjawab dan beretika, jika tidak amalkan tapisan kendiri dan menyiarkan segala apa yang diperkatakan oleh sumber berita — sama ada dikeluarkan orang perseorangan, NGO atau ahli-ahli politik secara bulat-bulat, sudah tentu ia sudah lama menyumbangkan kepada kerumitan, kesulitan atau masalah-masalah yang tidak perlu.

Penulis pernah membaca dan menghasilkan tulisan yang bersangkut paut dengan insiden berbaur perkauman. Ini termasuklah insiden bekas ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail dan bekas pegawai khas perdana menteri Datuk Nasir Safar baru-baru ini, sebagai antara contoh. Begitu juga tindakan seorang perwakilan pada mesyuarat agung tahunan MIC tahun lalu yang mahu mengenakan kalungan selipar.

Kami sebagai penulis mengecam tindakan-tindakan sedemikian.

Tetapi apabila ia dialami hari ini, ia sesuatu yang sungguh mengejutkan. Mengapa ia harus berlaku sedangkan penulis hanya menghadirkan diri pada pelancaran Majlis Perundingan Melayu (MPM) selaku Editor Bahasa Malaysia The Malaysian Insider demi menolong masyarakat Melayu dengan mengetengahkan luahan dan suara mereka untuk tatapan kaum-kaum lain, juga kepada pihak berkuasa.

Kata orang “tak kenal, maka tak cinta”. Jika kita hendak menulis sesuatu isu atau perkara dengan mendalam, kita sebagai penulis harus menghayati masalah dan isu seseorang, sesuatu kaum dan sesebuah organisasi.

Justeru, dengan berbuat demikian kita boleh menghasilkan penulisan yang bermutu, adil dan bertanggungjawab. Malah, kehadiran penulis juga bertujuan memberi liputan seimbang selepas tercetusnya pelbagai pandangan tuduh-menuduh dan menuding jari ke arah pihak-pihak tertentu dan kaum lain di negara ini sejak 8 Mac 2008.



DIARAH KELUAR

Sekurangnya-kurangnya sebagai wartawan yang lahir di negara ini selepas Merdeka, yang mempunyai perasaan cintakan negara dan turut mahu menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara, penulis melangkah ke Kelab Sultan Sulaiman dengan niat baik.

Tetapi niat baik difahami dari sudut serong oleh beberapa individu tertentu yang mengaku mereka wakil sekretariat MPM. Akhirnya ia mencetuskan persepsi negatif terhadap MPM walaupun sebenarnya ia ditubuhkan dengan tujuan tertentu.

Selepas kira-kira 20 minit berada dewan, penulis dibawa keluar dari dewan majlis dan diminta tidak membuat liputan. Ada anggota sekretariat mengatakan bahawa “ini majlis kami, kita bincang masalah suami isteri, tidak mahu orang lain mendengar dan bimbang akan membuat berita mengelirukan”.

Penulis faham kehendak mereka.

Justeru, jawapan penulis juga mudah, “jika begitu anggaplah majlis ini majlis tertutup dan wartawan lain yang berada dalam dewan juga harus dimaklumkan ini dan diminta keluar sekali”.

Penulis tersentak apabila dikatakan mereka adalah wartawan kalangan Melayu dan tidak akan menghasilkan berita sensitif.

“Saya buat keputusan (mereka akan kekal di dewan),” kata seorang lagi wakil sekretariat. Penulis cuba menjelaskan tujuan kehadiran dan pendirian bahawa mahu memberikan laporan seimbang mengenai MPM tetapi tidak diambil peduli.

Penulis tidak ingin menceritakan panjang perkataan-perkatan lain yang digunakan dalam perbualan dengan sekretariat. Penulis tidak mahu mencetuskan suasana tidak senang di kalangan masyarakat pelbagai kaum negara ini.

Pokoknya, negara sudah lebih lima dekad mengharungi ranjau perjalanan dan pergeseran kaum. Penulis secara peribadi beranggapan bahawa kita sudah lama telah melepasi garis pemisahan kaum apabila melabel orang lain.

Antara yang berucap pada majlis pelancaran ialah Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, Presiden Mubarak Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Professor Datuk Dr Kamaruddin Kachar yang juga bekas Ketua Pengarah BTN berucap pada majlis pelancaran itu. Presiden Cuepacs Omar Osman juga hadir.

Penulis sudah lama mengenali Ibrahim Ali. Beliau seorang yang lantang bersuara, dan penulis pernah menemu bual beliau selaku ketua Perkasa untuk The Malaysian Insider beberapa minggu lalu. Pernah menemu bual beberapa kali selaku wartawan.

Atas kapasiti itu, Ibrahim secara peribadi menghubungi penulis untuk menjelaskan bahawa sekretariat tidak membuat sebarang keputusan melarang mana-mana wartawan daripada liputan pelancaran MPM.

“Saya sangat sedih, minta maaf dengan apa yang berlaku... saya kesal dengan apa yang berlaku... ini bukan keputusan MPM,” kata beliau yang berjanji akan mengambil tindakan ke atas mereka yang membuat keputusan sendiri itu.

Setiausaha MPM Dr Hassan Mat juga melahirkan pandangan yang serupa.

“Saya memang ada dimaklumkan kehadiran saudara dan dikatakan bahawa mereka telah meminta saudara keluar, tetapi saya sebenarnya telah meminta mereka membenarkan saudara terus berada dalam dewan.

“Tetapi ada seorang dua pegawai buat keputusan sendiri, tidak mengikut apa yang saya kata... ini bukan keputusan MPM... saya meminta maaf bagi pihak MPM,” kata beliau kepada penulis menerusi perbualan telefon.

Penulis perlu mengakui sikap-sikap negatif begini tidak melibatkan semua orang Melayu di negara. Penulis juga mempunyai ramai kawan daripada kalangan Melayu dan yang beragama Islam. Penulis menganggap mereka sebagai sebahagian daripada anggota bangsa Malaysia.

Kita kena memahami mereka dan menghormati mereka. Itu yang penulis lakukan selama ini. Misalnya sempena sambutan Maulidur Rasul semalam, penulis meluangkan lebih dua hari untuk menghantar mesej selamat menyambut Maulidur Rasul dan masih ada rakan-rakan yang perlu dikirimkan perutusan.

Dalam suasana sebegini kita masih ada golongan yang berfikiran sempit, yang merosakkan segala usaha kerajaan dan dasar negara.

Sebab nila setitik, rosak susu sebelangga!

Tidak kira kaum dan agama, kita tidak harus ada golongan “Little Napoleon” yang menghina dan menyinggung kaum lain.

Bolehkah kita berubah? Saya wartawan anak bangsa Malaysia, bukannya dari India.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.