Pengerusi YBK ada kepentingan peribadi

SHAH ALAM: Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom mempunyai kepentingan saham majoriti dalam Tenaga Ehsan Sdn Bhd, syarikat yang dilantik untuk membangunkan tanah milik Permodalan Yayasan Basmi Kemiskinan (PYBK).

Tenaga Ehsan merupakan salah sebuah dari dua syarikat, syarikat lain ialah Shah Alam Properties Berhad, yang dilantik untuk memajukan tanah itu yang dianugerah oleh kerajaan negeri ketika di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional pada tahun 1995.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, berdasarkan data Suruhanjaya Syarikat-Syarikat Malaysia, PYBK bukanlah anak syarikat milik penuh YBK.

"PYBK hanya memiliki sebanyak 12,500 unit saham manakala pemegang saham yang lain, Prihatin Ehsan Holding Sdn Bhd memiliki 6,200 unit saham dan Fajar Synergy Sdn Bhd memiliki 6,250 unit saham," katanya pada sidang media di sini semalam.

Khalid memberitahu Zainal Abidin adalah pengarah Prihatin Ehsan dan PYBK, yang telah mencagarkan tanah yang menjadi pertikaian itu dengan nilai lebih RM100 juta.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan lokasi tanah tersebut dan berjanji akan membuat banyak lagi pendedahan dari semasa ke semasa.

Khalid berkata, kerajaan negeri akan menggunakan kuasa yang diberi kepada Menteri Besar di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi untuk mendeklasifikasikan maklumat dan membolehkan orang ramai mendapat maklumat lanjut tentang YBK.
Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Kerjasama anda kami dahulukan dengan ucapan terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.