Tindakan polis sudah keterlaluan – Anwar

Oleh Jaynne Koh

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (PR) hairan dengan sikap polis yang beria-ia sangat untuk menjalankan siasatan mengenai isu-isu politik dengan menggunakan kekerasan terhadap orang awam dan mengugut ahli-ahli politik PR.

"Saya fikir, tindakan polis ini sudah keterlaluan," kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada para pemberita selepas 30 minit disoal siasat polis di ibu pejabat KEADILAN pagi tadi di Tropicana dekat sini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, "apa yang berlaku kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat baru-baru ini adalah suatu percubaan untuk menghalang kami dari menjalankan tugas."

"Jelaslah di bawah pentadbiran (Perdana Menteri) Najib Abdul Razak dan isterinya Rosmah (Mansor), polis bertindak lebih ganas dan mengugut kami," terang beliau.
Anwar berkata, yang terbaru, terdapat empat laporan polis terhadap saya.

Tiga laporan daripada pegawai polis sendiri dan satu laporan dari kononnya, ‘orang yang prihatin’.

"Apa ini semua? Apakah tujuan mereka? Kenapa pihak polis mengambil peduli apabila disebut tentang pembunuhan Altantuya (Shaariibuu), rasuah berupa komisyen dalam pembelian kapal selam Scorpene, enjin jet yang hilang, tuduhan liwat?

Kenapa pihak polis ambil peduli hal-hal ini? Bukankah ini adalah isu-isu politik?. Kecualilah jika kita membuat rusuhan dan menganggu ketenteraman awam.

"Tetapi ini adalah perhimpunan-perhimpunan aman, kebanyakannya mempunyai permit. Setengah daripadanya adalah majlis minum teh dan majlis sambutan Tahun Baru Cina."

Kata Anwar, "kami dengan tegas memprotes terhadap tindakan polis ini. Kami menentang penyalah gunaan kuasa pihak polis yang ditunggangi oleh Umno di bawah pimpinan Najib dan Rosmah, untuk turut campur tangan dalam proses demokrasi dalam negara ini."

"Jika beginilah caranya mereka untuk menakut-nakutkan kami, saya jamin sekali-kali kami tidak akan terjejas."

Beliau menggesa pasukan polis menumpukan kepada masalah-masalah keselamatan dan jenayah, tidak membuang masa dengan ahli- ahli politik serta tidak menjadi hamba kepada pemimpin-pemimpin Umno yang korup.

Menurut Naib Presiden KEADILAN, Sivarasa Rasiah, dalam beberapa minggu yang lalu, 15 pemimpin PR telah disoal siasat oleh polis termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan beliau sendiri.

Detektif dan pegawai polis yang menjalankan soal siasat hari ini termasuklah ASP Mohamad Shukry Mohamad Ali, ASP Aidi, ASP Hairol dan Inspektor Morgan.

Turut hadir ialah Sivarasa dan Sim.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.