Khalid pertahan tindakan PKR pecat Zulkifli

Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM, 11 Mac: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad membuktikan semangat setia kawan atas nama Pakatan Rakyat (PR) dengan tampil mempertahankan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang secara keras mengkritik beberapa pemimpin tertinggi parti itu.

“Tindakan tegas ini memberi mesej yang jelas berhubung komitmen PKR dalam PR,” kata Khalid di dalam blognya, http://khalidsamad.com.

Menurut Khalid, sekiranya kepemimpinan PKR mementingkan diri dengan menganggap masalah disiplin yang membabitkan Zulkifli sebagai sesuatu yang remeh, pasti mereka akan mempertahankan kedudukan Ahli Parlimen itu sebagai representasi mereka di Dewan Rakyat.

Sebaliknya, menurut Khalid, PKR sebenarnya berupaya memberikan tindakan disiplin yang jauh lebih ringan, seperti memberi amaran keras secara bertulis demi mengelakan konflik kepentingan antara Zulkifli dan PKR.

Namun, Khalid berkata, PKR sanggup mempertahankan semangat setia kawan dalam Pakatan Rakyat, walaupun beliau sendiri tidaklah menuntut PKR bertindak jauh lebih tegas daripada itu.

Sehubungan itu, Khalid merakamkan penghargaan kepada PKR, terutama kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri kerana mempertahankan kedudukan beliau dalam isu kalimah ‘Allah’, walaupun beliau tidak pernah meminta parti itu berbuat sedemikian sewaktu Zulkifli menyerang peribadinya.

“Zul menyerang kawan (Khalid). Kita tidak boleh benarkannya. Kenapa dia (Zulkifli) perlu menyerang kawan,” kata Dr. Wan Azizah seperti yang terlapor Khalid di dalam blognya.

“Saya (Khalid) berasa terharu dengan semangat setiakawan serta kejujuran persepakatan (PR) yang ditunjukkan (oleh kepemimpinan PKR).”

Sebelum ini, Zulkifli dilaporkan seolah-olah dilihat mengikuti jejak lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Umno telah membuat laporan polis berhubung pendirian lantang Khalid mempertahankan hak masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’.

Khalid yang dilihat lantang menyuarakan hak masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ sebelum ini bukan sahaja menyebabkan beliau dihargai oleh para pemimpin Pakatan Rakyat, malah Anwar sendiri dilaporkan berkali-kali mengiktiraf sumbangan PAS dalam mempertahankan muafakat Pakatan Rakyat sehingga sekarang.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.